Tuesday, February 3, 2015

Wild Rose, misteri yang masih dihantui



Kecantikan Elisa membuatkannya dibunuh dengan kejam oleh
seorang lelaki yang baru dikenalinya.  - Gambar hiasan

Di sebuah perkampungan di Ireland, terdapat seorang wanita muda yang dikenali sebagai Wild Rose oleh penduduk setempat disebabkan kecantikan dan kejelitaan luar biasa yang dimilikinya. Wanita yang bernama Elisa Day itu sering dilihat mundar mandir di tepi sungai berhampiran dan tindakannya itu seperti ada sesuatu yang tidak kena. Namun, perlakuan Elisa itu tidak diendahkan penduduk kerana rata-rata mengetahui kelibat lembaga itu hanya merupakan jelmaan wanita tersebut yang sudah lama meninggal dunia.

Apa yang mengerikan, pada dahi wanita itu terdapat kesan darah yang menitik sehingga terkena bajunya yang berwarna putih, manakala ditangannya pula terdapat setangkai mawar merah. Menurut penduduk setempat, Elisa dibunuh kejam oleh seorang lelaki yang tidak dikenali yang berasal dari sebuah bandar berdekatan. Kisahnya bermula apabila lelaki itu melihat kecantikan Elisa yang tidak pernah dimiliki oleh mana-mana gadis yang pernah ditemuinya. Perasaan cinta yang membuak-buak menyebabkan lelaki itu berazam untuk memiliki dan mendekati Elisa dengan lebih dekat. Pada suatu hari, lelaki itu datang mengetuk pintu rumah Elisa lalu memperkenalkan diri dan tidak semena-mena lelaki itu terus memeluk lalu menciumnya.

Mawar liar

Ibarat terkena sumpahan, Elisa tidak membantah atau melawan sebaliknya hanya membiarkan sahaja perlakuan lelaki tersebut terhadap dirinya. Keesokan harinya, lelaki itu kembali semula ke rumah Elisa tetapi kali ini dia membawa setangkai ros berwarna merah untuk diberikan kepadanya. Lelaki itu memberitahu Elisa bahawa kecantikan yang dimilikinya itu diibaratkan seperti bunga mawar. Melalui pertemuan kedua itu, lelaki tersebut mengajak Elisa untuk berjumpa dengannya pada keesokan hari di tepi sungai berhampiran dimana tempat mawar liar tumbuh dengan mekar. Elisa pergi ke sungai itu pada hari yang dirancangkan untuk berjumpa dengan lelaki itu dan di situlah riwayat Elisa berakhir.


Kisah wanita yang digelar 'Wild Rose' itu turut dimuatkan dalam
buku berjudul Epic Book of Mind-Boggling Top 10 List


Mengikut cerita dalam buku Epic Book of Mind-Boggling Top 10 List, lelaki itu dikatakan menarik Elisa ke dalam sungai sambil memberikan ciuman terakhir kepada wanita malang itu secara perlahan-lahan. Ketika Elisa memalingkan muka ke arahnya, lelaki tersebut bertindak memukul kepala Elisa dengan seketul batu yang ada di tangannya sambil berbisik "semua yang cantik harus mati."

Balas dendam

Tindakan lelaki itu tidak berakhir di situ sahaja, dia kemudiannya meletakkan setangkai mawar pada mulut Elisa dan menghanyutkan mayat wanita itu mengikut aliran sungai. Jasad Elisa hilang begitu sahaja dan sehingga kini mayatnya masih tidak ditemui. Roh Elisa dikatakan tidak tenang dan ingin mencari lelaki itu untuk membalas dendam.

Kisah misteri Elisa menjadi perhatian ramai, malah pada tahun 1995 Vocalis band dari Australia, Nick Cave and The Bad Seeds telah menulis lirik mengenai kisah sedih Elisa dan menyanyikan lagu itu bersama penyanyi Kylie Minogue menerusi lagu Where The Wild Roses Grow.


Patung Elisa turut direka dan dijual
 seperti patung berhantu Chucky dan Annabelle

Bait-bait lirik yang dihasilkan menggambarkan Elisa mati secara tidak rela, malah kumpulan itu juga merekodkan klip video dengan menggambarkan keadaan sebenar bagaimana Elisa mati. Malah, patung Elisa juga turut dijual oleh sebuah syarikat di Amerika Syarikat, Living Dead Dolls yang turut menjual patung-patung berhantu lain seperti Chucky dan Annabelle.




1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...