Stowe, Vermont - merupakan sebuah pekan kecil dalam daerah Lamoille di Amerika Syarikat. Tiada apa yang menarik tentang pekan kecil yang kebanyakannya dihuni kaum peladang. Namun, kisah 'jambatan Emily' banyak mewarnai pekan ini hingga menarik orang luar datang berkunjung. Semuanya mahu tahu kebenaran cerita seorang gadis yang kononnya mati akibat cinta.
Pada tahun 1844, sebuah jambatan kecil dibina di pekan itu. Ia merupakan sebuah jambatan kayu yang mempunyai dinding dan berbumbung sepanjang 49 kaki. Setelah jambatan siap, ia dinamakan sebagai Gold Brook Covered Bridge. Ada juga memanggilnya sebagai Stowe Hollow Bridge. Namun, lama kelamaan nama jambatan ini mula berubah. Ia lebih dikenali sebagai Emily Bridge. Semuanya bermula daripada 'hantu' gadis bernama Emily yang dikatakan menghuni kawasan jambatan tersebut.
Terdapat pelbagai versi kisah hantu Emily yang diceritakan. Ada yang mengatakan, gadis bernama Emily ini bercinta dengan seorang pemuda, namun tidak direstui keluarga. Mereka mengatur pertemuan di jambatan itu. Tapi harapannya lebur. Pemuda yang dicintainya tidak muncul. Akibat kecewa Emily dikatakan bertindak membunuh diri dengan menggantung diri di jambatan tersebut.
Versi lain pula, Emily dikatakan sedang bergembira pada hari perkahwinannya. Namun, pengantin lelaki tidak muncul-muncul. Kerana kecewa dan malu, Emily yang memakai gaun pengantin, melarikan diri dengan memecut kereta kuda. Sebaik sampai di jambatan tersebut, Emily gagal mengawal kenderaan yang dipacunya menyebabkan ia terbabas dan terhumban. Emily terbunuh dalam kemalangan itu. Kemudian pelbagai cerita seram mula muncul dan dikaitkan dengan nama Emily.
Ada yang berkata, mereka mendengar suara jeritan wanita dan bunyi cakaran aneh sewaktu melalui jambatan kayu tersebut. Ada juga yang mendakwa, kenderaan mereka yang di parkir di situ turut diganggu. Mereka mendengar seakan ada lembaga berjalan di atas kenderaan. Ada kalanya, kedengaran ia seperti mencakar-cakar kereta. Tak kurang juga yang bercerita, mereka turut berasa seperti dicakar sesuatu. Suara aneh juga sering kedengaran di jambatan ini. Ada pula yang melaporkan, mereka terlihat bayangan lembaga putih dan lenyap secara tiba-tiba. Semakin lama, kian popular nama Emily - hantu yang kecewa kerana cinta tidak kesampaian dan terus mengganggu pengguna jambatan.
Sebenarnya, tiada bukti kukuh yang menyokong kisah Emily. Tiada hitam putih menyatakan kewujudan gadis itu. Bahkan, tidak ada kisah hantu menyelubungi jambatan tersebut sehinggalah pada tahun 1960-an. Nama hantu itu hanya muncul pada tahun 1968. Kali pertama jambatan itu dikatakan berhantu apabila seorang pelajar sekolah tinggi bernama Susan menulis kisah Emily, entiti yang 'berborak' dengannya di jambatan itu menggunakan papan Ouija. Menurut Susan, hantu tersebut memperkenalkan diri sebagai Emily dan menceritakan ia dibunuh di situ oleh ibu tunangnya.
Apabila Susan menulis kisah tersebut dalam akhbar sekolahnya, ia serta merta-merta jadi popular dan merebak dengan cepat. Malah, kisah itu antara terhangat pernah dipaparkan dalam penulisan berita sekolah tersebut. Namun, muncul pula cerita daripada penduduk asal pekan yang mengatakan, kisah Emily sebenarnya sudah wujud sejak awal tahun 1950-an, iaitu sebelum Susan menulis dan menjadikannya popular. Malah, sewaktu Susan ditemu ramah pada tahun 2012 tentang legenda Emily yang pernah ditulisnya, dia mengakui telah mendengar kisah Emily sebelum menulisnya. Lantas dia mendapat idea untuk menulis kisah itu dengan cara menggunakan papan Ouija sebagai sumber penulisan. Dan taktik itu menjadi. Kisah hantu jambatan Emily meletup, jadi bualan orang ramai.
Terdapat gangguan di jambatan itu menyebabkan penduduk enggan melalui jambatan itu pada waktu malam |
Walaupun tiada bukti yang mengesahkan kisah Emily dan hanya dikatakan sebagai dongeng, namun hingga kini orang masih memperkatakan tentang gangguan di jambatan itu. Malah, penduduk enggan melalui jambatan itu pada waktu malam. Para pengkaji paranormal juga pernah datang ke jambatan yang diiktiraf sebagai National Register of Historic Places pada tahun 1974. Tetapi mereka tidak menemui sebarang entiti. Mungkin Emily tidak ada mood hendak mengusik mereka. Atau mungkinkah yang mengganggu itu bukan Emily, tapi entiti lain?
No comments:
Post a Comment