Showing posts with label China. Show all posts
Showing posts with label China. Show all posts

Monday, October 3, 2016

Misteri puaka banglo Minxiong



Dalam remang-remang senja, rumah agam berbata merah yang tersergam berdiri disebalik semak-samun dan tumbuhan menjalar itu sudah cukup membuatkan sesiapa yang melihatnya berasa seram. Ditambah dengan akar-akar pokok besar yang meliputi bahagian dinding dan menerobos setiap pintu serta tingkapnya, rumah itu sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian misteri dan mistik. Tidak hairanlah banglo yang terletak di Minxiong, Chiayi, Taiwan itu cukup dikenali dengan nama Rumah Berhantu Minxiong dalam kalangan masyarakat setempat. Ditinggalkan tidak berpenghuni sejak tahun 1950-an, rumah agam tiga tingkat dengan seni bina gaya Sepanyol itu dibina pada tahun 1929 dan dimiliki oleh keluarga Liu yang kaya-raya.

Diceritakan, pemilik rumah yang juga tuan tanah, Liu Rong-yu menggaji ramai pekerja daripada tukang kebun sehinggalah pembantu rumah untuk membantu menguruskan rumah tersebut. Rong-yu jatuh cinta dengan salah seorang pembantu rumahnya dan menjalinkan hubungan sulit tanpa pengetahuan isteri serta tujuh orang anaknya. Pun begitu, hubungan mereka akhirnya dapat dihidu si isteri yang kemudiannya membalas dendam dengan mendera serta memaksa pembantu rumah itu melakukan kerja-kerja berat setiap kali Rong-yu tiada di rumah. Oleh kerana tidak tahan dengan seksaan si isteri, pembantu rumah malang itu mengambil keputusan untuk membunuh diri dengan terjun ke dalam perigi yang terletak di kawasan halaman rumah.

Penyakit misteri

Menurut cakap-cakap masyarakat tempatan, sejak tragedi itu, keluarga Liu tidak dapat hidup dalam keadaan aman kerana sering diganggu roh pembantu rumah tersebut. Kononnya, setiap malam Rong-yu dan isterinya diganggu sehingga mereka sukar untuk melelapkan mata. Gangguan itu berlarutan dan semakin teruk sehingga memaksa keluarga Liu berpindah keluar daripada rumah agam tersebut. Diceritakan lagi, nasib malang terus menghantui keluarga Liu meskipun mereka telah berpindah jauh dari situ. Lebih menakutkan seorang demi seorang ahli keluarga Liu mati sama ada dilanggar kereta, terbabit dalam kemalangan jalan raya atau menderita penyakit misteri.

Terdapat versi lain yang mengatakan selepas keluarga Liu meninggalkan rumah agam tersebut, ia menjadi lokasi perlindungan sementara buat sekumpulan tentera. Pun begitu, seorang demi seorang jatuh sakit dan meninggal dunia akibat penyakit misteri. Ada juga di antara mereka yang nekad membunuh diri kerana tidak tahan menanggung kesakitan yang dialami. Kehadiran roh-roh yang tidak tenang menambah seram kepada rumah agam itu sehingga ia diberi jolokan Rumah Berhantu Minxiong dalam kalangan masyarakat tempatan.

Terdapat mitos yang mengatakan sesiapa yang mendekati
rumah ini akan terkena penyakit misteri

Telaga ini menjadi lokasi pembantu rumah keluarga Liu
membunuh diri, namun ia sudah ditimbus dengan pasir dan batu

Kabus putih

Selain itu, banyak kejadian misteri dan insiden tragik menghantui rumah agam itu sejak ia ditinggalkan tidak berpenghuni. Ada penduduk setempat mendakwa, mereka akan terdengar bunyi lolokan dan suara mersik tangisan disertai hilai ketawa di sekitar kawasan rumah agam berkenaan. "Tiada sesiapa berani menghampiri apatah lagi masuk ke kediaman terbiar itu. Kemunculan kabus atau kepulan asap putih setiap kali tiba waktu senja juga membuatkan orang ramai takut untuk melalui kawasan ini pada waktu malam," kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Li Shan seperti dipetik portal China Post.

Kini, selepas lebih 65 tahun, Rumah Berhantu Minxiong menjadi salah satu tarikan pelancong ke Chiayi, malah sebuah kafe yang dipanggil Kedai Kopi Berhantu dibuka di dalam kawasan rumah agam itu. "Lokasi ini sangat digemari orang muda khususnya pelajar kolej. Mereka yang datang ke sini boleh singgah berehat minum kopi sambil melihat kawasan sekitar," ujar Li Shan.


Patung-patung kecil diletakkan di sekitar Rumah Berhantu
Minxiong bagi menarik pengunjung ke lokasi tersebut

Kedai Kopi Berhantu di Rumah Berhantu Minxiong menjadi
antara tarikan pengunjung ke rumah agam itu







Thursday, February 4, 2016

Jiangshi hantu puntianak Cina



Rambutnya panjang mencecah pinggang dan ditocang ke belakang, wajahnya pula pucat manakala kukunya panjang, tajam serta berwarna kehitaman. Seperti yang biasa dilihat di kaca televisyen, hantu cina itu akan mengejar mangsanya dengan meluruskan tangan ke hadapan sambil melompat seperti pocong. Memakai pakaian tradisional daripada sutera yang dipanggil Changsan serta perhiasan kepala, hantu tersebut lebih dikenali sebagai Jiangshi dalam lagenda masyarakat Cina. Berdasarkan mitos, Jiangshi ialah orang yang telah mati tetapi tidak melalui upacara pengebumian yang sempurna.

Ada juga versi yang mengatakan Jiangshi dihidupkan semula dalam upacara Xiangxi Ganshi bagi membolehkan mayat tersebut mencari jalan ke tanah perkuburan. "Ia satu kaedah kuno yang diamalkan oleh masyarakat Cina terdahulu sekiranya ada saudara mara mereka mati jauh daripada pangkuan keluarga. Sekiranya ahli keluarga tidak mampu menyewa kenderaan untuk mengambil mayat berkenaan, mereka akan mengupah seorang sami yang mengamalkan ajaran Tao untuk menghidupkan mayat tersebut," kata seorang penduduk tempatan.

Menurut mitos itu lagi, Jiangshi akan dibebaskan untuk mencari jalan pulang pada waktu malam. "Loceng akan dibunyikan terlebih dahulu sebagai pemberitahuan kepada orang awam supaya mereka dapat bersembunyi di dalam rumah. Ia dikatakan petanda malang jika mereka terserempak dan bertentangan mata dengan Jiangshi ketika lembaga itu sedang berkeliaran,"katanya. Upacara Xiangxi Ganshi yang bermaksud 'membawa pulang mayat' dilakukan supaya roh si mati dapat disemadikan di tempat asalnya agar dia tidak berasa rindu terhadap kampung halamannya kelak.

Sembunyi ditempat yang gelap

Jiangshi memperoleh namanya daripada perkataan 'Jiang' yang bermaksud keras atau kaku dalam bahasa Mandarin. Menurut kepercayaan, ekoran tidak mampu menggerakkan sendi-sendi yang keras, Jiangshi bergerak secara melompat dan ia dikatakan boleh menyerap tenaga kehidupan yang dipanggil 'qi' daripada masyarakat di sekelilingnya. Tidak seperti puntianak, Jiangshi tidak menghisap darah atau memerlukan darah untuk hidup selama-lamanya. Pun begitu, terdapat versi berbeza dalam menggambarkan Jiangshi sebagai mayat hidup yang gemar menghisap darah manusia. Menurut seorang cendiakawan China, Ji Xiaolan dalam bukunya yang berjudul Yuewei Caotong Biji, hantu itu dipercayai wujud pada abad ke-18 ketika zaman Dinasti Qing.

Jiangshi memperoleh namanya daripada perkataan 'Jiang' yang
bermaksud keras atau kaku dalam bahasa Cina

Katanya, memandangkan Jiangshi bersifat seperti zombi, ia akan bersembunyi dalam keranda atau tempat yang gelap seperti gua pada waktu siang dan keluar mencari mangsa pada waktu malam. "Tidak ubah seperti puntianak, Jiangshi membunuh mangsanya dengan menggigit leher bagi menyedut keluar darah. Ia dikatakan suka meminum darah manusia untuk menyedut 'qi'. Mangsanya juga dipercayai akan berubah menjadi Jiangshi apabila sudah tidak bernyawa," jelasnya. Seperti dipetik buku tersebut, Xiaolan memberitahu, mayat yang kembali hidup dan bertukar menjadi Jiangshi boleh jadi orang yang baru sahaja mati lalu kembali hidup atau mayat yang telah dikuburkan tetapi tidak membusuk.

"Mayat yang tidak busuk mungkin disebabkan oleh komposisi kimia di tanah perkuburan yang tidak sesuai dengan organisma hidup sehingga tiada bakteria yang hadir dalam proses pereputan. "Rambut dan kuku tumbuh semakin panjang dan lama-kelamaan, mayat akhirnya bertukar kepada Jiangshi dari semasa ke semasa. Ada juga kepercayaan yang mengatakan ilmu hitam digunakan oleh ahli sihir untuk menghidupkan kembali orang mati menjadi Jiangshi.

Takut cermin

Selain itu, orang yang mati membunuh diri sehingga rohnya terperangkap dalam tubuh sendiri juga boleh bertukar kepada Jiangshi. "Ada kepercayaan lain yang mendakwa mayat yang tidak dikuburkan dengan sempurna, ia boleh hidup semula jika disambar petir atau sekiranya ada kucing hitam melintas diatasnya. Mayat ini kemudiannya menjadi Jiangshi dalam kepercayaan kuno masyarakat Cina," katanya. Berdasarkan kepercayaan, sekeping kertas azimat yang sudah dibacakan jampi serapah diletakkan di dahi Jiangshi supaya ia patuh pada arahan sami. Bagi menjauhkan gangguan Jiangshi, sekeping papan berukuran 15 sentimeter yang hujungnya dipaku diletakkan dibawah pintu untuk menghalang Jiangshi daripada memasuki rumah.

Kertas azimat ditampal pada dahi Jiangshi agar ia patuh
pada arahan sami yang menyerunya bangkit daripada kematian

Cermin juga dikatakan boleh menakutkan-nakutkan Jiangshi kerana ia dikatakan takut melihat refleksnya sendiri. Selain itu, Jiangshi dikatakan takut pada kokokan ayam jantan selain penyapu dan kapak.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...