Showing posts with label Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Malaysia. Show all posts

Sunday, November 20, 2016

Kisah naga berkepala tujuh



Pada zaman dahulu, berbondong-bondong rakyat jelata dari pelbagai pelusuk negeri datang ke Istana, untuk melihat ketampanan rupa tujuh orang putera raja dari pelbagai pelusuk dunia. Peliknya, setiap seorang memegang kepala seekor naga. Ternyata semakin pening rakyat untuk memikirkan siapakah salah seorang dari mereka yang bakal dipilih oleh Raja untuk menjadi menantunya. Sebelum itu, kesemua rakyat jelata telah dimaklumkan, betapa barang sesiapa yang dapat membunuh seekor naga berkepala tujuh yang sentiasa mendatangkan kecelakaan kepada seluruh rakyat jelata di jajahan Selatan, akan baginda kahwinkan dengan anakanda baginda Puteri Dewi Kencana.

Sebaik saja, baginda raja muncul dan bersemayam di Istana, maka dimaklumkan oleh Bendahara, akan kehadiran tujuh orang putera raja yang gagah perkasa dari serata dunia yang ingin memaklumkan kejayaan mereka membunuh naga berkepala tujuh. "Tujuh orang? Macam mana boleh jadi macam itu," kata baginda. "Susahlah kalau mahu dipilih seorang daripadanya menjadi menantu," ujar baginda lagi. Baginda lalu memerintahkan setiap putera raja itu, masuk ke Istana secara bergilir-gilir dan setiap seorang dari mereka dibenarkan untuk menceritakan bagaimanakah cara mereka membunuh naga berkepala tujuh itu.

Tidak lama kemudian, ketujuh-tujuh orang putera raja itu, satu persatu menceritakan kehebatan mereka dalam menewaskan naga berkepala tujuh itu. Ada yang mendakwa, pertarungan itu berlangsung selama berminggu-minggu. Ada pula yang mengatakan, pertarungan itu hanya sekejap kerana putera itu menggunakan jampi penunduk yang dimilikinya. Setelah selesai, maka baginda raja meminta menangguhkan keputusan memilih calon menantu untuk tempoh seminggu. Akhirnya, pada hari yang dinantikan, baginda memanggil kesemua tujuh putera raja itu untuk mengadap baginda. Baginda berhasrat mengadakan satu pertandingan dan pemenang pertandingan itu akan layak menjadi menantu baginda.

Seterusnya, sebaik saja Raja, Pembesar, Putera raja bertujuh dan hamba rakyat berkumpul di Istana, maka seorang pengawal datang menghadap untuk memaklumkan kepada baginda akan kedatangan seorang lagi anak muda, orang biasa dari Jajahan Selatan yang mengaku membunuh Naga berkepala tujuh itu. "Lapan? Dari tujuh dah jadi lapan?" bisik Raja itu kepada Bendahara dan memerintahkan pemuda itu dibawa mengadap baginda. "Hai anak muda. Berkata benarlah kamu dan jika tidak beta tidak teragak-agak akan memenggal kepala kamu,"ujar baginda sebaik sahaja pemuda itu datang menghadap sembah.

"Ampun tuanku. Tiadalah niat patik mencari kesempatan dan tidaklah patik tahu bahawa sesiapa yang membunuh naga berkepala tujuh itu ada habuannya. Apa yang patik lakukan untuk membunuh naga itu, tiada apa-apa maksud, sekadar tanggungjawab patik kerana naga itu seringkali membuat onar dan angkara di tempat patik." kata pemuda itu. "Maksud kamu, kamulah orangnya yang membunuh naga itu dan bukan putera-putera raja ini?" ujar Raja dengan nada yang sedikit tinggi. "Amat benarlah tuanku. Pada mulanya patik hanya berdiam diri saja, tetapi apabila ada perkabaran yang tuanku menghadapi masalah, kerana terlalu ramai orang mengaku membunuh naga berkepala tujuh ini, maka patik muncul untuk menjelaskan kedudukan kisah yang sebenarnya," jawab pemuda itu.

"Kamu tahukan akan akibat dari kata-kata kamu ini. Kalau begitu cuba kamu tunjukan buktinya yang kamulah orang yang membunuh naga-naga itu." ujar Raja. "Ampun tuanku, jika mendapat keizinan, patik memohon tuanku mengarahkan kesemua putera raja ini untuk mengeluarkan lidah dari kepala naga-naga itu." Baginda Raja bersetuju dengan permintaan pemuda itu dan mengarahkan agar setiap putera raja itu memotong lidah naga itu. Lalu, setiap seorang dengan segera membuka mulut naga dan sepantas itu juga mereka terkejut, kerana kesemua kepala naga itu sudah tidak mempunyai lidah lagi. Keadaan ini menimbulkan suasana hiruk-pikuk di dalam Istana itu.

Setelah mengetahui, kesemua kepala naga itu tidak mempunyai lidah, maka pemuda itu segera membuka sebuah bungkusan yang digalasnya. Sebaik bungkusan kain itu dibuka terdapat tujuh buah lidah naga milik ketujuh-tujuh kepala naga itu. "Inilah buktinya tuanku yang patiklah orang yang sebenar-benarnya membunuh naga itu. Tentu saja tidak mungkin, patik boleh memotong lidah naga ini kalau naga ini belum mati. Jelas sekali tuanku, orang yang berbohong di situ bukan patik tapi ketujuh-tujuh putera raja ini." Melihat keadaan itu, baginda raja menjadi terlalu berang. "Beginilah sifat manusia yang suka mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain. Mereka umpama perumpamaan," Lembu yang punya susu, sapi yang kerap dijaja nama. Orang lain yang bersusah-payah, kamu yang senang-senang mendapatkan kebanyakan laba," zahir baginda dengan perasaan yang amat marah sekali. 

Tidak lama kemudian, baginda memerintahkan ketujuh-tujuh putera raja tersebut diusir dari negeri itu dan tidak dibenarkan menjejakkan kakinya ke bumi itu sampai bila-bila. Sejurus selepas itu, pemuda dari kampung terpencil tersebut, dikahwinkan dengan anakanda baginda sebagaimana yang baginda janjikan dan kemudian dilantik menjadi Putera Mahkota.

pemuda itu mendakwa dialah yang membunuh naga itu dengan
 memotong kesemua tujuh buah lidah naga tersebut

Nota
: Kisah naga berkepala tujuh adalah sebuah cerita rakyat negeri Perak dahulu kala pada zaman sebelum kedatangan Islam atau awal Islam dimana masih berbekas amalan Hindu-Buddha atau kepercayaan animisme dalam masyarakat Melayu dahulu kala.







Monday, January 18, 2016

Misteri jelmaan Nona Baker di Sungai Lembing




Siapakah Nona Baker?

Nama perawan Inggeris itu memang popular sewaktu tinggal di Sungai Lembing dan boleh berbahasa Melayu dengan penduduk tempatan. Sebelum pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941, perawan Inggeris ini berhijrah ke Pahang semata-mata mahu menemani abangnya, V.B.C Baker yang ketika itu bertugas sebagai pengurus besar lombong bijih timah di Sungai Lembing. Namun, tanpa disangka perawan Inggeris ini menempuh pengalaman pahit yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayatnya apabila dia dan abangnya terpaksa melarikan diri ke dalam hutan untuk mencari perlindungan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Semasa melarikan diri ke hutan, ditakdirkan abangnya menemui ajal akibat serangan wabak penyakit dan tinggallah Nona Baker sendirian. Khabarnya Nona Baker tiada pilihan dan bergabung pula dengan pihak tentera anti Jepun di hutan. Selepas Jepun menyerah kalah, Nona Baker dipercayai terus bersama kumpulan gerila di hutan. Sejak itulah, terdengar khabar tentang perawan Inggeris itu memperjuangkan ideologi songsangnya di samping bertanggungjawab menulis risalah subversif.

Riwayat hidup Nona Baker dibukukan bertajuk 'Pai Naa: The Story Of Nona Baker' hasil penulisan Dorothy Thatcher dan Robert Cross. Antara episod yang diceritakan memoir itu bagaimana abang Nona Baker iaitu General Manager PCCL, V.B.C Baker mematikan lima unit pam yang mengeluarkan air dari lombong bawah tanah yang selama ini berfungsi tanpa gagal. Memoir itu membongkar rahsia bagaimana abangnya telah menenggelamkan lombong di Sungai Lembing ketika tentera Jepun menduduki Tanah Melayu. Lombong bawah tanah itu diletupkan satu demi satu bagi menghalang dibangunkan semula tentera Jepun selepas Tanah Melayu ditakluki pada 1941. Tujuan utama V.B.C Baker bertindak begitu bagi mengelakkan Jepun mengambil alih serta mendapat hasil lumayan hasil lombong yang telah diusahakan oleh British dan pekerja-pekerja tempatan ketika itu. Ketika itu pengurus besar lombong itu diberikan sebuah banglo yang diberi nama 'The European Bungalow 1' atau singkatannya EB1. Di sinilah juga Nona Baker dan abangnya menghabiskan masa sewaktu malam tiba dan cuti umum berseronok bersama rakan-rakannya di rumah kelab yang hanya dikhaskan untuk warga Eropah. Mereka minum arak, bersuka ria dan menyanyi bagi menghiburkan hati selepas penat bekerja.

Lombong bawah tanah Sungai Lembing

Antara peralatan pejabat pentadbiran di Syarikat PCCL
pada sekitar tahun 1940an ke 1950an

Banglo Pengurus PCCL ini dijadikan sebagai Muzium Sungai Lembing

Papan tanda ini terdapat di bahagian pintu masuk

Pekerja tempatan yang terdiri dari kaum Melayu dan Cina tinggal di beberapa buah rumah bersambung  yang dibina di sepanjang Sungai Kenau. Kawasan ini digelar 'Banglo Orang Asia' yang terpisah dari kawasan kediaman orang Eropah. Pada zaman kegemilangannya, Sungai Lembing tidak pernah sunyi dari segala hiruk pikuk manusia dari Eropah dan 2,500 para pekerja dari Asia termasuk kaum Melayu dan Cina. Ketika itu Pak Itam atau nama sebenarnya Muhamad Sharif Muhammad dan para pekerja lombong berpeluang membeli belah barangan berjenama yang diimport di gudang premis syarikat itu seperti kemeja Arrow, Burdle dan kasut pula jenama Clarks dan John White yang bebas cukai, jauh lebih murah berbanding dari Kuantan atau Kuala Lumpur. Banyak kedai menjual pelbagai barangan keperluan harian dibuka untuk menjual barangan import termasuk rokok, arak dan buah-buahan tanpa dikenakan cukai. Nona Baker dan abangnya telah memperkenalkan suatu gaya hidup masyarakat Inggeris  yang ekslusif. Rumah kelab adalah tempat untuk mereka bersosial dan keahlian terbuka kepada komuniti Eropah sahaja. Rumah kelab juga merupakan sumber maklumat terkini Nona Baker mengetahui hal ehwal Eropah kerana di sini terdapat majalah dan surat khabar seperti London Illustrated, Time dan Life.

Setiap kali tiba hari Krismas, Nona Baker dan dan abangnya turut mengadakan sambutan besar-besaran dan meriah di Rumah Kelab Sungai Lembing. Mereka berdua menjemput kenalan pelbagai kaum untuk menghadiri perayaan itu. Sebagai memenuhi masa lapang, Nona Baker dan komuniti di Sungai Lembing turut berpeluang menonton filem dari Britain dan Hollywood  di sebuah panggung wayang yang dibina di situ sebagai hiburan. Ketika itu hidupan sosial di sungai lembing begitu bebas. Percampuran antara lelaki dan perempuan dianggap perkara biasa hasil gaya hidup yang dibawa oleh warga Eropah. Malah nama PCCL itu sendiri menjadi gurauan dikalangan bekas pekerja tempatan seperti Pak Itam sehingga sekarang yang menyarankan pelbagai makna antaranya 'Putus Cinta Cari Lain'.

Tang! Tang! Tang! Dentingan aneh loceng Lombong

Suatu malam Pak Itam bertugas sebagai pemandu Q. Tugas Pilot Q bukan mudah. Pak Itam ditugaskan menurunkan pekerja-pekerja lombong menggunakan lif yang disediakan mengikut arahan tekong. Setiap kumpulan biasanya terdapat 50 orang pekerja. Setiap pekerja perlu menekan loceng mengikut destinasi yang hendak dituju mengikut kedalaman lombong yang hendak dimasuki. Biasanya dalam setiap kumpulan itu salah seorang akan ditugaskan menarik loceng. Jika pekerja hendak turun ke dalam lombong sedalam 1,000 kaki isyarat pertama perlu mereka lakukan ialah membunyikan tiga kali 'dentingan' loceng dan diikuti dengan 10 kali 'denting'. Satu 'denting' bermakna seratus kaki.

Tang! Tang! Tang! Sesudah tiga kali dentingan loceng lif itu dibunyikan barulah Pak Itam faham ada pekerja yang perlu dihantar ke destinasi yang dituju. Suatu malam, Pak Itam diarah bertugas lagi sebagai pemandu Q. Sebaik masuk bertugas malam berkenaan, dia terdengar bunyi dentingan sebanyak tiga kali. Tang! Tang! Tang! Bunyi itu bergema-gema. Pak Itam mendiamkan diri. Pak Itam amat arif dengan setiap bunyi dentingan. Jika berbunyi tiga kali 'denting' sekali gus itu petanda ada penghuni sedang berada di dalam lif tersebut. Tetapi jika bunyi dentingan melebihi tiga kali itu hanya mainan semata-mata dan Pak Itam tidak perlu ambil berat. Lif tidak boleh bergerak selagi bunyi dentingan itu belum dilengkapkan sepenuhnya mengikut kedalaman lombong yang hendak dituju seseorang. Tang! Tang! Tang! Tang! Tang! Tang! Bunyi dentingan bertalu tanpa memenuhi syarat ditetapkan. Kenapa dentingannya terhenti setakat enam kali. Kenapa tiada dentingan seterusnya? 10 atau 8. Kenapa senyap?

Siapakah gerangan yang membunyikan loceng itu tanpa mencukupkan bilangannya? "Esoknya Pak Itam bertanya rakan-rakanny. Ada tak sesiapa yang turun semalam?" Jawapannya memang tiada! Aneh. Jadi siapakah yang membunyikan loceng lif itu bertalu-talu pada malam tadi? Sudah berpuluh tahun Pak Itam bertugas di Lombong Sungai Lembing. Sejak itulah beliau sudah lali dengan 'permainan' bunyi dentingan yang sengaja dibunyikan bagi menakutkan penjaga loceng malam seperti Pak Itam tetapi Pak Itam tak pernah takut dan tahu 'makhluk' itu sengaja mahu mempermainkannya. Pernah suatu malam ketika Pak Itam sedang bertugas, tiba-tiba dia ternampak sebiji bebola api sebesar tong dram jatuh tak jauh dari tempatnya berdiri. Peliknya sewaktu dia mengamati tempat objek itu jatuh, tiada apa-apa yang terbakar. Keanehan itu belum berakhir. Ketika dia sedang bertugas pada pukul 10 malam di dalam lombong Pak Itam pernah bertembung dengan seorang budak kecil berusia kira-kira dua tahun melintas di hadapannya. Lembaga berbentuk kanak-kanak itu muncul selama 10 minit sebelum menghilangkan diri.

Sebenarnya bukan Pak Itam seorang yang pernah bertembung dengan kanak-kanak itu malah sudah ramai yang mengadu bertemu lembaga aneh berkenaan. Siapakah kanak-kanak berkenaan? Adakah budak itu ada kaitan dengan Nona Baker? Cerita-cerita keanehan tentang keanehan Nona Baker, dentingan loceng lif, bebola api, jelmaan kanak-kanak serta bunyi aneh deringan telefon antik, mesin taip berbunyi sendiri masih belum terjawab. Segala-galanya tinggal misteri seiring dengan penutupan lombong Sungai Lembing yang pernah mendapat jolokan El-Dorado Timur itu.

Sungai Lembing pernah digelar El-Dorado Timur
banyak menyimpan sejarah yang tak ternilai

Nota: Bermula sebagai sebuah bandar perlombongan yang makmur pada penghujung abad ke-19 hingga pertengahan 1980-an, Sungai Lembing terbiar sepi selepas operasi dihentikan lantaran harga bijih timah jatuh merudum sehingga tidak lagi menguntungkan para pelabur. Penutupan lombong bersejarah pada 1986, meninggalkan kesan mendalam ke atas penduduknya. Keputusan itu menyebabkan ribuan pekerja sama ada penduduk tempatan atau luar terpaksa meninggalkan Sungai Lembing untuk mencari pekerjaan baru di tempat lain. Rumah-rumah banglo Eropah dan Asia ditinggalkn sepi. Rumah kedai pula dijual kepada penduduk tempatan manakala panggung wayang telah ditukar menjadi dewan orang ramai.

Sejak itulah bandar ini digelar 'ghost town' yang menyeramkan sesiapa saja. Lombong bersejarah di pinggir Sungai Kenau dikelilingi Gunung Tapis itu hanya tinggal kenangan belaka. Tanda-tanda Sungai Lembing kembali bernafas kembali bermula pada Jun 2001 apabila Muzium Sungai Lembing dibuka kepada umum setelah Jabatan Muzium dan Antikuiti membaik pulih rumah banglo pengurus besar lombong yang usang menghadap ke arah Sungai Kenau itu.  





Wednesday, January 28, 2015

Hantu Purdah merayau-rayau mencari mangsanya!





Masih ingat kisah misteri hantu purdah yang tersebar meluas sekitar tahun 1997? Hantu purdah ini dikatakan memburu mangsa dengan menaiki kereta kancil merah. Menariknya, ianya bermula dengan kisah seorang gadis IPT yang mengamalkan ilmu hitam bertujuan ingin mencantikkan wajahnya. Antara pantang larang hantu ini dikatakan tidak boleh melihat cermin selama 40 hari.

Setelah gadis itu menjadi cantik semua orang memuji-muji kejelitaannya menyebabkan dia melanggar pantang larang dengan menatap cermin pada hari yang kesepuluh. Akibatnya mukanya mula ditumbuhi bisul. Nanah hanyir bercampur darah mulai keluar dari luka-luka bisul tersebut. Setelah itu dia menemui semula bomohnya dan diberitahu bahawa mukanya hanya akan kembali cantik setelah dia menghisap darah anak dara sunti seramai 40 orang. 

Sebab itulah gadis berpurdah hitam tersebut merayau-rayau mengetuk pintu dari rumah ke rumah bagi mencari anak dara sunti sambil memberi salam 'kum-kum.' Sesetengah pendapat mengatakan, kisah hantu purdah sejenis jembalang yang sering berkeliaran sekitar 1970-an sengaja dicipta ketika kebangkitan semula Islam dikalangan orang-orang Melayu. Ketika itu, para gadis mula mengenakan hijab. Keadaan ini amat tidak disenangi oleh kumpulan gadis yang suka memakai pakaian seksi lalu terciptalah kisah hantu purdah semata-mata untuk memburukkan imej wanita yang menutup aurat. Ada juga pihak yang mengatakan kisah ini sengaja diada-adakan untuk menakut-nakutkan gadis-gadis remaja yang gemar berpeleseran sehingga dinihari.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...