Showing posts with label Mexico. Show all posts
Showing posts with label Mexico. Show all posts

Saturday, January 23, 2016

La Pascualita gadis pengantin yang disumpah




Patung yang memakai pakaian pengantin di sebuah butik di bandar Chihuahua di utara Mexico ini bukan sembarangan. Teori yang berlegar sejak dulu, La Pascualita sebenarnya bukanlah sekadar patung. Kononnya, La Pascualita berasal dari tubuh seorang gadis yang telah diawetkan menjadi patung! Ada juga yang menggelarnya sebagai pengantin yang mati akibat disumpah! Pada bulan Mac 1930, pertama kali patung La Pascualita dipertontonkan kepada umum disebalik kaca butik tersebut. Sebaik diletakkan di sebalik cermin, patung yang didandan dengan pakaian pengantin ini cukup mudah menarik perhatian mata pengunjung yang lalu lalang di situ.

Ramai yang memuji La Pascualita dianggap sebagai manequin yang terbaik kualitinya pada zaman itu. Raut wajah yang cantik dan mempersona, bola mata yang bulat dan galak serta kulit wajah yang cantik kemerahan, membuatkan mata yang memandang tidak lekang untuk terus melihat La Pascualita. Bagaikan ada kuasa magnet yang menarik mata pengunjung untuk terus memerhatikan susuk tubuh patung ini. Warga kota Chihuahua berasakan ada sesuatu kelainan pada manequin La Pascualita. Memandang patung ini bagaikan melihat seorang gadis hidup yang mempunyai jiwa.

Banyak ciri-ciri manusia yang terlihat pada patung ini. Rambutnya, raut wajahnya, kulit malah kukunya tampak seperti manusia asli. Apabila diamati, penduduk mendapati wajah La Pascualita mirip dengan wajah Pascuala Esparza, pemilik butik itu pada zaman berkenaan. Maka, tersebarlah khabar angin yang mengaitkan patung itu dengan anak pemilik butik tersebut. Penduduk mula percaya manequin La Pascualita adalah anak gadis Esparza yang telah menemui ajal akibat digigit labah-labah beracun pada hari perkahwinannya.

Esparza dituduh mengawet mayat anak gadisnya, lalu dipakaikan pakaian pengantin yang sepatutnya dipakai pada hari perkahwinan tersebut. Setelah itu, patung mayat anak gadisnya ditayangkan disebalik cermin butik itu. Saat gosip itu hebat diperkatakan, Esparza tampil menafikan dakwaan penduduk. Namun, tindakannya itu sudah terlambat. Tiada siapa yang percaya dengan penafiannya itu. Dari sudut positif, khabar angin itu berjaya menarik perhatian ramai pengunjung. Bukan saja dari kalangan penduduk tempatan, malah pengunjung dari luar termasuk para pengkaji sanggup datang untuk menyaksikan sendiri keanehan La Pascualita.

Ini kerana manequin berpakaian pengantin ini turut diiringi dengan pelbagai kisah seram. Kononnya anak mata patung ini boleh bergerak-gerak, mengikut gerak langkah pengunjung di dalam butik berkenaan. Ada yang mengatakan posisi patung ini sering berubah-ubah daripada posisi asal. Kononnya La Pascualita akan 'hidup' dan bergerak-gerak pancainderanya terutama pada waktu malam. Namun, apa yang lebih menggemparkan sejak tahun 70-an ialah kulitnya yang kelihatan 'hidup' terutama pada jari-jemari dan tangannya. Garisan tapak tangan dan kukunya kelihatan betul-betul seperti manusia. Bahkan, pada kakinya juga terlihat garisan varises atau urat nadi yang timbul, menguatkan lagi kepercayaan bahawa La Pascualita pada asalnya seorang manusia.

Anak mata yang kononnya boleh bergerak

kuku dan jari jemarinya tampak hidup

Wajah anak gadis pemilik butik Pascuala Esparza

Bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh sebuah muzium menafikan dakwaan itu. Ini kerana mustahil seseorang itu mampu mengawetkan mayat manusia dengan bentuk yang amat sempurna. Ditambah pula dengan kulitnya yang mulus seperti porselin walaupun sudah berusia puluhan tahun. Namun, penafian itu tidak berjaya mengekang kepercayaan pengunjung. Cukup ramai yang datang, bukan sekadar memerhati bahkan turut merenung berjam-jam lamanya ke arah patung ini. Jawapannya tetap sama, mereka percaya La Pascualita berasal daripada seorang manusia.





Sunday, August 16, 2015

Misteri Pulau Anak Patung



Dari jauh kelihatan sebuah pulau kecil yang mempamerkan suasana suram dan menyeramkan dengan ratusan anak patung sengaja dibiarkan tergantung pada pokok-pokok di pulau tersebut. Terletak di bahagian selatan Bandar Raya Mexico berhampiran dengan terusan Xichimico, pulau kecil itu yang dikenali sebagai Isla de las Munecas atau Pulau Patung telah menjadi tarikan pengunjung untuk mengalami sendiri suasana berada di pulau yang menyeramkan itu.

Menurut cerita penduduk tempatan, pulau itu telah ditemui oleh seorang lelaki bernama Julian Santana Barrera sebelum dia mengubah pulau tersebut menjadi Pulau Patung dengan alasan untuk menenangkan roh seorang kanak-kanak perempuan. Kisahnya bermula apabila Barrera menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai mati lemas di perairan pulau tersebut kira-kira 50 tahun lalu. Beberapa hari kemudian, lelaki itu menemui sebuah anak patung tidak berapa jauh dari lokasi mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui dan percaya kemungkinan anak patung tersebut milik kanak-kanak malang itu.

Sejak daripada peristiwa itu, Barrera mendakwa seringkali terlihat kelibat roh kanak-kanak selain terdengar suara seperti orang yang kelemasan sedang meminta tolong.

Hormat dan simpati

Bagi menenangkan roh kanak-kanak itu yang dipercayai tidak tenteram, Barrera telah menggantung patung yang ditemuinya sebagai cara untuk menunjukkan rasa hormat dan simpati atas kematian kanak-kanak itu. Bagaimanapun, usaha tersebut gagal apabila roh kanak-kanak misteri itu terus menghantui hidupnya sebelum Barrera menghias pulaunya dengan ratusan anak patung yang digantung pada pokok-pokok untuk mententeramkan roh kanak-kanak tersebut.

Pada tahun 2001, lelaki tersebut telah ditemui mati secara misteri yang dipercayai kerana lemas di sekitar perairan yang sama mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui. Akhirnya, kisah misteri yang menghantui pulau itu tersebar luas sehingga menarik minat orang ramai untuk mengunjungi pulau tersebut dan merasai pengalaman berada di situ. Menurut pengalaman pengunjung yang pernah berada di Pulau Patung itu, suasana di pulau tersebut cukup menyeramkan, malah kelihatan suram dan gelap walaupun pada waktu tengah hari.

Dirasuk

Patung-patung yang tergantung pada pokok menambahkan lagi suasana tidak menyenangkan apabila ada di antara patung tersebut tidak mempunyai tangan dan kepala selain mata anak patung yang dicungkil. Beberapa saksi mendakwa, mereka pernah terlihat kepala dan tangan anak patung yang digantung bergerak, malah turut mendengar anak patung tersebut berbisik antara satu sama lain. Persoalan tentang jumlah ratusan anak patung yang terdapat di pulau itu telah menimbulkan tanda tanya dari mana Barrera mendapat anak patung tersebut.

Seorang kenalan kepada lelaki itu yang enggan dikenali memberitahu, selepas Barrera sering diganggu roh kanak-kanak itu, dia kelihatan seperti dirasuk dengan terus mengumpul anak patung yang dibeli dan menggantungnya diseluruh pulau tersebut. Orang ramai mendakwa bahawa Barrera telah dirasuk  oleh semangat atau roh jahat yang ada di pulau tersebut dan membunuh diri dengan terjun ke dalam tasik di Pulau Patung itu. 

Sejak kematian Barrera, Pulau Patung menjadi terkenal dan telah dikomersialkan sebagai salah satu destinasi tarikan pelancongan menarik di Mexico pada hari ini.

Ada juga patung yang digantung berada dalam keadaan
menyeramkan dengan mata yang dicungkil

Ada antara anak patung yang dibawa sendiri oleh pengunjung bagi
menunjukkan rasa simpati pada roh yang ada di Pulau Patung

Keadaan anak patung yang reput dan berlumut
kerana terlalu lama terdedah dengan cuaca

Ada pengunjung mendakwa anak patung di pulau ini
seolah-olah merenung dan berbisik kepada mereka

Kepala anak patung yang kelihatan seperti berdarah




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...