Patung yang memakai pakaian pengantin di sebuah butik di bandar Chihuahua di utara Mexico ini bukan sembarangan. Teori yang berlegar sejak dulu, La Pascualita sebenarnya bukanlah sekadar patung. Kononnya, La Pascualita berasal dari tubuh seorang gadis yang telah diawetkan menjadi patung! Ada juga yang menggelarnya sebagai pengantin yang mati akibat disumpah! Pada bulan Mac 1930, pertama kali patung La Pascualita dipertontonkan kepada umum disebalik kaca butik tersebut. Sebaik diletakkan di sebalik cermin, patung yang didandan dengan pakaian pengantin ini cukup mudah menarik perhatian mata pengunjung yang lalu lalang di situ.
Ramai yang memuji La Pascualita dianggap sebagai manequin yang terbaik kualitinya pada zaman itu. Raut wajah yang cantik dan mempersona, bola mata yang bulat dan galak serta kulit wajah yang cantik kemerahan, membuatkan mata yang memandang tidak lekang untuk terus melihat La Pascualita. Bagaikan ada kuasa magnet yang menarik mata pengunjung untuk terus memerhatikan susuk tubuh patung ini. Warga kota Chihuahua berasakan ada sesuatu kelainan pada manequin La Pascualita. Memandang patung ini bagaikan melihat seorang gadis hidup yang mempunyai jiwa.
Banyak ciri-ciri manusia yang terlihat pada patung ini. Rambutnya, raut wajahnya, kulit malah kukunya tampak seperti manusia asli. Apabila diamati, penduduk mendapati wajah La Pascualita mirip dengan wajah Pascuala Esparza, pemilik butik itu pada zaman berkenaan. Maka, tersebarlah khabar angin yang mengaitkan patung itu dengan anak pemilik butik tersebut. Penduduk mula percaya manequin La Pascualita adalah anak gadis Esparza yang telah menemui ajal akibat digigit labah-labah beracun pada hari perkahwinannya.
Esparza dituduh mengawet mayat anak gadisnya, lalu dipakaikan pakaian pengantin yang sepatutnya dipakai pada hari perkahwinan tersebut. Setelah itu, patung mayat anak gadisnya ditayangkan disebalik cermin butik itu. Saat gosip itu hebat diperkatakan, Esparza tampil menafikan dakwaan penduduk. Namun, tindakannya itu sudah terlambat. Tiada siapa yang percaya dengan penafiannya itu. Dari sudut positif, khabar angin itu berjaya menarik perhatian ramai pengunjung. Bukan saja dari kalangan penduduk tempatan, malah pengunjung dari luar termasuk para pengkaji sanggup datang untuk menyaksikan sendiri keanehan La Pascualita.
Ini kerana manequin berpakaian pengantin ini turut diiringi dengan pelbagai kisah seram. Kononnya anak mata patung ini boleh bergerak-gerak, mengikut gerak langkah pengunjung di dalam butik berkenaan. Ada yang mengatakan posisi patung ini sering berubah-ubah daripada posisi asal. Kononnya La Pascualita akan 'hidup' dan bergerak-gerak pancainderanya terutama pada waktu malam. Namun, apa yang lebih menggemparkan sejak tahun 70-an ialah kulitnya yang kelihatan 'hidup' terutama pada jari-jemari dan tangannya. Garisan tapak tangan dan kukunya kelihatan betul-betul seperti manusia. Bahkan, pada kakinya juga terlihat garisan varises atau urat nadi yang timbul, menguatkan lagi kepercayaan bahawa La Pascualita pada asalnya seorang manusia.
Anak mata yang kononnya boleh bergerak |
kuku dan jari jemarinya tampak hidup |
Wajah anak gadis pemilik butik Pascuala Esparza |
Bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh sebuah muzium menafikan dakwaan itu. Ini kerana mustahil seseorang itu mampu mengawetkan mayat manusia dengan bentuk yang amat sempurna. Ditambah pula dengan kulitnya yang mulus seperti porselin walaupun sudah berusia puluhan tahun. Namun, penafian itu tidak berjaya mengekang kepercayaan pengunjung. Cukup ramai yang datang, bukan sekadar memerhati bahkan turut merenung berjam-jam lamanya ke arah patung ini. Jawapannya tetap sama, mereka percaya La Pascualita berasal daripada seorang manusia.
No comments:
Post a Comment