Ketika mula-mula mengenali Mi-ho, Dae Woong berasa takut kalau-kalau wanita itu akan membunuhnya. Manakan tidak, Mi-ho yang dibebaskan selepas terperangkap dalam lukisan dewa kelahiran, Samshin-halmuni merupakan gumiho atau musang berekor sembilan. Bagaimanapun, wanita itu tidak mahu apa-apa daripada Dae Woong melainkan membantunya menjadi manusia normal. Selepas saling mengenali, kedua-dua watak itu jatuh cinta antara satu sama lain dan disebalik kesukaran yang dihadapi, mereka bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhir hayat.
Itu merupakan antara babak dalam drama Korea romantik komedi popular Korea, My girlfriend is a Gumiho lakonan aktor Lee Seung-gi dan aktres Shin Min-ah. Meskipun digambarkan sebagai naif dan kebudak-budakan dalam drama tersebut, menurut legenda Korea, Gumiho sebenarnya adalah makhluk yang kejam dan jahat. Diceritakan Gumiho boleh berubah menjadi seorang wanita cantik dengan niat memikat mana-mana lelaki yang dikehendaki untuk memakan hati atau jantungnya. Terdapat juga versi yang mengatakan Gumiho suka berkeliaran di kawasan perkuburan pada waktu malam untuk mencari mayat bagi memakan organ tersebut.
Roh musang
"Gumiho memburu jantung atau hati untuk terus hidup di dunia. Jika ada wanita cantik menggoda anda, ia bukan Gumiho," demikian kata penduduk setempat. Terdapat juga versi lain yang mengatakan Gumiho boleh hidup abadi di muka bumi jika ia mampu bertahan daripada memburu jantung serta hati kaum lelaki selama 100 hari. Legenda musang berekor sembilan itu juga terkenal di China dan dikenali sebagai Huli Jing, manakala dalam mitos masyarakat Jepun, ia dikenali sebagai Kitsune. Berdasarkan cerita rakyat China, Gumiho memburu mangsa untuk mendapatkan esen kehidupan yang dipanggil 'qi' untuk terus hidup.
Mitos musang berekor sembilan juga terkenal di negara China dan Jepun |
Dalam sebuah novel China yang berjudul Fengshen Yanyi yang diterbitkan pada zaman Dinasti Ming pada abad ke-16, Gumiho digambarkan sebagai roh musang yang boleh menjelma sebagai wanita cantik dan menggoda lelaki dengan kecantikannya. Bagaimanapun, ia perlu mengahwini lelaki tersebut bagi membolehkannya menyedut keluar 'qi' daripada pasangan mereka. Selepas dikahwini, Gumiho akan merasuk pasangannya lalu menyedut keluar 'qi' sehingga mereka ditinggalkan dalam keadaan tidak bernyawa. ia kemudiannya akan kembali mencari lelaki lain untuk dikahwini dan terus melakukan perkara yang sama untuk meneruskan hidup. Kisah musang berekor sembilan ini juga turut terdapat dalam Filem Hong Kong, Painted Skin lakonan Zhao Wei, Zhou Xun dan Chen Kun.
Dalam mitos masyarakat Jepun pula, Gumiho berubah menjadi wanita biasa untuk mencari cinta sejati tanpa mengharapkan rupa, kekayaan mahupun status daripada pasangannya. Menurut mitos tersebut, jika Gumiho berjaya menemui cinta sejati, ia akan berubah menjadi manusia normal dan hidup di dunia selama-lamanya. Ada juga versi berbeza yang mengatakan Gumiho perlu merahsiakan identiti daripada pengetahuan kekasihnya untuk hidup sebagai manusia biasa. Berdasarkan ketiga-tiga legenda, Gumiho dipercayai berasal daripada musang yang hidup lebih daripada 1,000 tahun sehingga ia memperoleh kuasa untuk berubah rupa dan bentuk.
Ada juga versi mitos lain yang mengatakan, Gumiho perlu meratah 1,000 hati lelaki dalam tempoh 1,000 tahun untuk memiliki kuasa tersebut. Meskipun boleh menjelma sebagai manusia, terdapat juga ciri-ciri musang yang tidak dapat disorokkan antaranya telinga yang runcing serta kesembilan-sembilan ekornya.
No comments:
Post a Comment