Showing posts with label Jepun. Show all posts
Showing posts with label Jepun. Show all posts

Wednesday, October 26, 2016

Korban budak perempuan rumah agam Himuro



Di Jepun, orang ramai dikatakan cukup gerun apabila mendengar perkataan rumah agam Himuro. Terletak di Tokyo, rumah agam yang juga dikenali dengan nama Himikyru itu menyimpan satu kisah pembunuhan paling ngeri di Jepun. Kononnya, pada zaman dahulu, sebuah keluarga iaitu keluarga Himuro telah turut serta dalam satu upacara pelik masyarakat Shinto yang bernama The Strangling Ritual atau upacara mengikat orang. Upacara tersebut dijalankan untuk tujuan menghalau roh jahat atau nasib malang daripada menimpa keluarga tersebut. Kononnya, upacara tersebut perlu dijalankan pada bulan Disember setiap 50 tahun. Sebelum menjalankan upacara tersebut, ketua keluarga tersebut perlu memilih seorang kanak-kanak perempuan dalam kalangan keluarga mereka dan kanak-kanak perempuan itu perlulah diasingkan daripada dunia luar.

Diikat

Dia tidak boleh bergaul dengan sesiapa pun kerana ia bertujuan untuk menghalang kanak-kanak tersebut daripada ditimpa musibah daripada dunia luar. Jika tidak, ia akan menyebabkan upacara tersebut gagal. Leher, lengan dan buku lali kanak-kanak itu kemudiannya akan diikat pada badan kuda dan kuda-kuda tersebut akan menarik tubuh kanak-kanak malang tadi sehingga ia terbelah menjadi empat. Tali yang digunakan tersebut akan dipenuhi dengan darah kanak-kanak perempuan tadi dan ia kemudian akan diletakkan di pintu rumah agam tersebut, kononnya bagi menghalau nasib malang. Ia akan berkekalan sehinggalah ritual sama diulang semula 50 tahun kemudian.

Menurut kisah masyarakat tempatan, upacara tersebut sudah tidak lagi dijalankan selepas satu insiden. Kira-kira 100 tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan dari satu keluarga telah dipilih sebagai korban dalam upacara The Strangling Ritual yang mengerikan itu. Kanak-kanak perempuan itu dikatakan telah jatuh cinta dengan seorang jejaka yang amat baik dan mereka amat mencintai antara satu sama lain.

lengan dan buku lali kanak-kanak perempuan akan diikat
 dalam The Strangling Ritual
Nasib malang

Lelaki tersebut tahu bahawa gadis idamannya terpaksa dibunuh dalam upacara tersebut, hanya kerana mahu menyelamatkan ahli keluarga yang lain daripada menerima nasib malang dalam hidup mereka. Lelaki itu cuba untuk menyelamatkan gadis malang itu daripada menjadi mangsa korban. Ketua keluarga tersebut amat marah setelah tahu tentang kisah percintaan kanak-kanak perempuan itu dengan kekasihnya. Memandangkan dia sedar upacara tersebut akan gagal dan keluarganya akan menerima nasib malang seumur hidup mereka, dia terus mencapai sebilah pedang dan membunuh kesemua ahli keluarganya sebelum membunuh diri.

Kisah pembunuhan tersebut cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Jepun dan selepas daripada insiden itu, rumah agam itu terbiar tidak berpenghuni sehingga kini. Ada yang mendakwa, mereka kerap melihat kelibat seorang gadis berbaju putih berkeliaran sekitar kawasan rumah tersebut kerana rohnya tidak tenteram. Daripada kisah seram itu, satu permainan computer bernama Fatal Frame yang dicipta oleh syarikat Tecmo yang berpengkalan di Amerika Utara. Rumah agam yang ada di dalam permainan tersebut dikatakan menyerupai rumah agam Himuro dan ia menimbulkan spekulasi dalam kalangan orang ramai. Begitu pun, ada yang mendakwa cerita disebalik permainan tersebut bukanlah diambil daripada kisah tersebut dan keadaan rumah yang seakan-akan sama dengan rumah agam Himuro itu cuma kebetulan sahaja.

Rumah agam Himuro yang dikatakan menyerupai
 rumah agam di dalam permainan computer bernama Fatal Frame







Wednesday, October 28, 2015

Zashiki-Warashi si pembawa tuah




Masyarakat kuno daripada pelbagai negara memang terkenal dengan kisah-kisah mitos dan kepercayaan yang pelbagai. Di negara Jepun, antara kisah paling popular dan diketahui sejak zaman berzaman ialah wujudnya hantu kanak-kanak lelaki yang dikatakan membawa tuah dan kesejahteraan berpanjangan dalam hidup masyarakat setempat. Kanak-kanak tersebut bernama Zashiki-Warashi. Zashiki dalam bahasa Jepun bermaksud bilik di dalam rumah tradisional Jepun, manakala Warashi pula bermaksud kanak-kanak atau seorang anak kecil. 

Zashiki-Warashi yang disebut-sebut sejak dulu lagi oleh masyarakat dari Negara Matahari Terbit itu dikatakan merupakan jelmaan seorang kanak-kanak berambut pendek paras bahu atau rambut potongan bob. Ia dipercayai boleh melindungi penghuni sesebuah kediaman zaman dahulu daripada sebarang kejadian buruk. Anak kecil itu dikatakan berumur dalam lingkungan lima atau enam tahun dan jantinanya adalah lelaki. Kelibatnya hanya boleh dilihat mulai lewat malam oleh sesetengah orang sahaja.

Nasib malang

Menurut cakap-cakap orang di Jepun, Zashiki-Warashi yang selalunya akan memakai kimono berwarna biru atau putih. Ia akan masuk ke bilik utama rumah-rumah tertentu dan akan duduk di atas perut penghuninya ketika sedang tidur. Kadangkala, ia juga gemar menarik bantal daripada kepala orang yang sedang tidur untuk mengusik tuan rumah yang disinggahinya. Berdasarkan kepercayaan masyarakat setempat, pada zaman pemerintahan Maharaja Meiji iaitu pada tahun 1868-1912, sesebuah keluarga yang kehilangan Zashiki-Warashi dari kediamannya menandakan keluarga itu bakal menerima nasib malang. 

Kehilangan Zashiki-Warashi dari sesebuah rumah kuno Jepun juga dikatakan menjadi petunjuk awal kepada kejatuhan keluarga yang menghuni kediaman itu. Jiran yang tinggal di kediaman berdekatan sering menggunakan alasan kehilangan kelibat kanak-kanak itu sebagai cara untuk menakutkan jiran lain dan memberitahu akan nasib malang yang bakal menimpa mereka. Untuk mengekalkan tuah sesebuah keluarga itu, kanak-kanak itu perlu dijaga dan diberi perhatian. Kehadirannya juga dikatakan perlu sentiasa diketahui oleh penghuni rumah. Jika ia dijaga dengan baik, ia akan selalu singgah di kediaman tuannya dan akan mengekalkan tuah penghuni rumah itu. Bagaimanapun, jika diberi terlalu banyak perhatian, ia akan lari. Masyarakat Jepun juga percaya akan kenakalan budak itu. Dia dikatakan gemar 'mengusik' tuan rumah sama seperti kanak-kanak normal lain.


Sesiapa yang ternampak Zashiki-Warashi
dirumahnya dipercayai akan mendapat tuah

Bunyi kagura

Zashiki-Warashi dipercayai gemar menyelerakkan bantal-bantal dan kadangkala akan meninggalkan jejak kakinya menggunakan abu. Selain itu, ia juga gemar menghasilkan bunyi kagura iaitu sejenis muzik asli Jepun yang dikatakan muzik kegemaran dewa Jepun. Muzik itu akan dihasilkan biasanya dari bilikyang tidak dihuni di dalam sesuatu kediaman. Kanak-kanak itu disifatkan sebagai hantu yang tidak berbahaya dan tidak perlu digeruni kerana ia tidak akan mengganggu mahupun menakutkan orang ramai. Ia juga disifatkan sebagai unik kerana tidak akan sesekali melakukan sesuatu yang buruk terhadap tuan rumahnya seperti membunuh atau membalas dendam. Selain itu, ia suka singgah di kediaman yang cantik dan dijaga rapi. Zashiki-Warashi merupakan hantu yang 'baik'.

Zashiki Warashi dikatakan tidak berbahaya
dan tidak menakutkan orang ramai


Friday, August 28, 2015

Kisah puaka 'Lautan pokok'




Lokasinya yang terletak jauh terpencil di kawasan pedalaman menambahkan lagi sisi seram hutan Aokigahara yang menyimpan 1001 cerita di sebalik hutan tebal itu. Berkeluasan kira-kira 32 kilometer persegi, hutan Aokigahara yang terletak di kaki gunung Fuji di antara barat laut kota Kawaguchiko hingga Narizawa di wilayah Yamanashi, Jepun turut digelar sebagai 'lautan pokok' kerana diliputi dengan pohon-pohon yang padat dan tebal.

Terkenal sebagai salah satu lokasi pelancongan popular di Jepun kerana keindahan alam semula jadi dan struktur batuan yang cantik. Ia menjadikan lokasi hutan itu menjadi tumpuan ramai pelancong. Namun begitu, panorama indah yang dijanjikan bukanlah bahagian paling menarik tentang hutan itu, sebaliknya adalah kisah tentang hutan Aokigahara yang sering menjadi pilihan ratusan penduduk Jepun untuk menamatkan hidup dengan membunuh diri.

Hutan Aokigahara juga tersenarai sebagai tempat paling berhantu di Jepun turut diabadikan dalam bentuk novel bertajuk Koroi Jukai yang dihasilkan oleh penulis terkenal, Seichi Matsumoto. Novel diterbitkan pada tahun 1960 itu menceritakan kisah sepasang kekasih yang berjanji untuk sehidup semati. Mereka akhirnya menamatkan riwayat kisah cinta di dalam hutan berpuaka itu. Bagaimanapun menurut kisah penduduk setempat, aura kematian dalam hutan Aokigahara telah lama wujud sejak tradisi yang dipanggil ritual Ubasute dilakukan sejak abad ke-19 suatu masa dahulu.

Ritual Ubasute

Ritual Ubasute yang turut dikaitkan dengan unsur pemujaan syaitan dan hantu merupakan satu amalan yang mengkehendaki seseorang itu masuk ke dalam hutan seorang diri dan dibiarkan sehingga mati. Dalam masyarakat kuno Jepun sendiri, amalan membunuh diri atau dipanggil Harakiri telah diamalkan oleh panglima perang yang bergelar samurai. Para samurai yang tewas di medan perang akan membunuh diri sebagai tanda berani selain untuk menutup rasa malu akibat kekalahan. Bagaimanapun, tradisi membunuh diri oleh para samurai telah disalah tafsir dengan pelbagai perkara seperti membunuh diri kerana putus cinta, kemurungan, kemiskinan dan tekanan hidup.

Amalan tradisi Harakiri turut disalah tafsir dengan pelbagai perkara
seperti membunuh diri kerana cinta, kemurungan dan tekanan hidup

Berdasarkan laporan sejak tahun 1950, lebih 500 orang telah mengakhiri hidup mereka dengan membunuh diri dalam hutan Aokigahara, atau secara purata sebanyak 30 orang setiap tahun. Apa yang mengejutkan, laporan pada tahun 2003 mendapati, seramai 78 mayat telah dijumpai tergantung dan mereput di dalam hutan sekaligus mangatasi rekod sebelum ini iaitu sebanyak 73 mayat pada tahun 1998. Akibat peningkatan jumlah kes bunuh diri dalam hutan Aokigahara, pihak kerajaan Jepun terpaksa mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan maklumat tentang jumlah bilangan kes bunuh diri dengan tujuan untuk menurunkan populariti hutan Aokigahara sebagai lokasi membunuh diri.

Sebagai langkah membendung budaya membunuh diri di hutan Aokigahara, pihak kerajaan Jepun turut memasang papan tanda larangan membunuh diri di kawasan tersebut selain menubuhkan satu pasukan khas yang ditugaskan untuk membuat pemantauan selain bertugas untuk mencari dan membawa keluar mayat. 

Bahagian rangka manusia yang telah membunuh diri
di dalam hutan Aokigahara
Papan tanda amaran turut dipasang di kawasan
dalam hutan Aokigahara 
Pita dipasang sebagai panduan untuk membantu
mereka keluar dari kawasan hutan

Tekanan hidup

Mayat yang ditemui akan diletakkan di dalam sebuah bilik khas bagi mangsa bunuh diri sebelum para pekerja hutan akan membuat undian sesama mereka bagi menentukan siapa yang akan ditugaskan untuk menjaga dan tidur bersama mayat tersebut. Ini kerana, mengikut kepercayaan, mayat yang dibiarkan keseorangan akan menyebabkan roh mereka yang dipanggil Yurei menjadi tidak tenteram. Mayat itu kononnya akan menjerit sepanjang malam, malah mayat tersebut akan bergerak dengan sendirinya ke tempat lain.

"Amalan membunuh diri biasanya meningkat pada bulan Mac apabila ramai orang datang ke sini untuk membunuh diri kerana masalah kemiskinan dan tekanan hidup," ujar Imasa Watanabe yang merupakan pegawai kerajaan di Yamanashi Prefecture. Mungkin ini adalah harga yang perlu dibayar oleh penduduk Jepun di mana kebanyakan rakyatnya perlu bekerja siang dan malam bagi menampung kos hidup yang terlampau tinggi. Kebanyakan antara mereka berpendapat bahawa membunuh diri adalah jalan penyelesaian terbaik.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...