Sunday, November 20, 2016

Kisah naga berkepala tujuh



Pada zaman dahulu, berbondong-bondong rakyat jelata dari pelbagai pelusuk negeri datang ke Istana, untuk melihat ketampanan rupa tujuh orang putera raja dari pelbagai pelusuk dunia. Peliknya, setiap seorang memegang kepala seekor naga. Ternyata semakin pening rakyat untuk memikirkan siapakah salah seorang dari mereka yang bakal dipilih oleh Raja untuk menjadi menantunya. Sebelum itu, kesemua rakyat jelata telah dimaklumkan, betapa barang sesiapa yang dapat membunuh seekor naga berkepala tujuh yang sentiasa mendatangkan kecelakaan kepada seluruh rakyat jelata di jajahan Selatan, akan baginda kahwinkan dengan anakanda baginda Puteri Dewi Kencana.

Sebaik saja, baginda raja muncul dan bersemayam di Istana, maka dimaklumkan oleh Bendahara, akan kehadiran tujuh orang putera raja yang gagah perkasa dari serata dunia yang ingin memaklumkan kejayaan mereka membunuh naga berkepala tujuh. "Tujuh orang? Macam mana boleh jadi macam itu," kata baginda. "Susahlah kalau mahu dipilih seorang daripadanya menjadi menantu," ujar baginda lagi. Baginda lalu memerintahkan setiap putera raja itu, masuk ke Istana secara bergilir-gilir dan setiap seorang dari mereka dibenarkan untuk menceritakan bagaimanakah cara mereka membunuh naga berkepala tujuh itu.

Tidak lama kemudian, ketujuh-tujuh orang putera raja itu, satu persatu menceritakan kehebatan mereka dalam menewaskan naga berkepala tujuh itu. Ada yang mendakwa, pertarungan itu berlangsung selama berminggu-minggu. Ada pula yang mengatakan, pertarungan itu hanya sekejap kerana putera itu menggunakan jampi penunduk yang dimilikinya. Setelah selesai, maka baginda raja meminta menangguhkan keputusan memilih calon menantu untuk tempoh seminggu. Akhirnya, pada hari yang dinantikan, baginda memanggil kesemua tujuh putera raja itu untuk mengadap baginda. Baginda berhasrat mengadakan satu pertandingan dan pemenang pertandingan itu akan layak menjadi menantu baginda.

Seterusnya, sebaik saja Raja, Pembesar, Putera raja bertujuh dan hamba rakyat berkumpul di Istana, maka seorang pengawal datang menghadap untuk memaklumkan kepada baginda akan kedatangan seorang lagi anak muda, orang biasa dari Jajahan Selatan yang mengaku membunuh Naga berkepala tujuh itu. "Lapan? Dari tujuh dah jadi lapan?" bisik Raja itu kepada Bendahara dan memerintahkan pemuda itu dibawa mengadap baginda. "Hai anak muda. Berkata benarlah kamu dan jika tidak beta tidak teragak-agak akan memenggal kepala kamu,"ujar baginda sebaik sahaja pemuda itu datang menghadap sembah.

"Ampun tuanku. Tiadalah niat patik mencari kesempatan dan tidaklah patik tahu bahawa sesiapa yang membunuh naga berkepala tujuh itu ada habuannya. Apa yang patik lakukan untuk membunuh naga itu, tiada apa-apa maksud, sekadar tanggungjawab patik kerana naga itu seringkali membuat onar dan angkara di tempat patik." kata pemuda itu. "Maksud kamu, kamulah orangnya yang membunuh naga itu dan bukan putera-putera raja ini?" ujar Raja dengan nada yang sedikit tinggi. "Amat benarlah tuanku. Pada mulanya patik hanya berdiam diri saja, tetapi apabila ada perkabaran yang tuanku menghadapi masalah, kerana terlalu ramai orang mengaku membunuh naga berkepala tujuh ini, maka patik muncul untuk menjelaskan kedudukan kisah yang sebenarnya," jawab pemuda itu.

"Kamu tahukan akan akibat dari kata-kata kamu ini. Kalau begitu cuba kamu tunjukan buktinya yang kamulah orang yang membunuh naga-naga itu." ujar Raja. "Ampun tuanku, jika mendapat keizinan, patik memohon tuanku mengarahkan kesemua putera raja ini untuk mengeluarkan lidah dari kepala naga-naga itu." Baginda Raja bersetuju dengan permintaan pemuda itu dan mengarahkan agar setiap putera raja itu memotong lidah naga itu. Lalu, setiap seorang dengan segera membuka mulut naga dan sepantas itu juga mereka terkejut, kerana kesemua kepala naga itu sudah tidak mempunyai lidah lagi. Keadaan ini menimbulkan suasana hiruk-pikuk di dalam Istana itu.

Setelah mengetahui, kesemua kepala naga itu tidak mempunyai lidah, maka pemuda itu segera membuka sebuah bungkusan yang digalasnya. Sebaik bungkusan kain itu dibuka terdapat tujuh buah lidah naga milik ketujuh-tujuh kepala naga itu. "Inilah buktinya tuanku yang patiklah orang yang sebenar-benarnya membunuh naga itu. Tentu saja tidak mungkin, patik boleh memotong lidah naga ini kalau naga ini belum mati. Jelas sekali tuanku, orang yang berbohong di situ bukan patik tapi ketujuh-tujuh putera raja ini." Melihat keadaan itu, baginda raja menjadi terlalu berang. "Beginilah sifat manusia yang suka mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain. Mereka umpama perumpamaan," Lembu yang punya susu, sapi yang kerap dijaja nama. Orang lain yang bersusah-payah, kamu yang senang-senang mendapatkan kebanyakan laba," zahir baginda dengan perasaan yang amat marah sekali. 

Tidak lama kemudian, baginda memerintahkan ketujuh-tujuh putera raja tersebut diusir dari negeri itu dan tidak dibenarkan menjejakkan kakinya ke bumi itu sampai bila-bila. Sejurus selepas itu, pemuda dari kampung terpencil tersebut, dikahwinkan dengan anakanda baginda sebagaimana yang baginda janjikan dan kemudian dilantik menjadi Putera Mahkota.

pemuda itu mendakwa dialah yang membunuh naga itu dengan
 memotong kesemua tujuh buah lidah naga tersebut

Nota
: Kisah naga berkepala tujuh adalah sebuah cerita rakyat negeri Perak dahulu kala pada zaman sebelum kedatangan Islam atau awal Islam dimana masih berbekas amalan Hindu-Buddha atau kepercayaan animisme dalam masyarakat Melayu dahulu kala.







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...