Pulau Poveglia merupakan salah sebuah pulau yang terdapat di Venice, Italy. Berbeza dengan pulau-pulau lain yang menjadi daya tarikan pelancong ke negara ini, Pulau Poveglia pula diselubungi misteri yang menyebabkan tiada siapa yang berani untuk menghampiri pulau tersebut. Suara misteri menjerit meminta bantuan, bayangan manusia yang dikatakan berlegar-legar di persekitaran kepulauan ini menjadi buah mulut masyarakat setempat.
Sejarah hitam Pulau Poveglia bermula sewaktu era pemerintahan Rom. Menurut kisah, pada ketika itu, Pulau Poveglia digunakan sebagai tempat untuk mengasingkan mereka yang dijangkiti penyakit berbahaya bagi mengelakkan penularan wabak. Sekitar tahun 1347-1351, benua Eropah diserang satu pandemik Black Death - wabak penyakit terburuk yang pernah menimpa manusia setakat ini. Black Death merupakan singkatan nama wabak penyakit radang paru-paru yang dibawa oleh tikus. Wabak berbahaya ini dikatakan telah membunuh lebih 70 juta orang, yang mana lebih separuh daripada jumlah itu merupakan orang Eropah.
Penduduk Italy tidak terkecuali daripada terkena tempias wabak yang merebak dengan pantas itu. Mereka yang meninggal dunia kerana wabak Black Death semuanya ditempatkan di Pulau Poveglia. Mayat mereka dicampakkan dalam satu lubang besar dan kemudiannya dibakar. Pada ketika itu, sesiapa sahaja yang menunjukkan simptom-simptom dijangkiti penyakit tersebut akan dihantar ke pulau berkenaan. Pesakit-pesakit akan dicampakkan di atas timbunan mayat yang sedang mereput.
Lelaki, wanita mahupun kanak-kanak, kesemua mereka dibiarkan mati dalam kesakitan, sekalipun ada yang menangis dan merayu minta diselamatkan. Soal perikemanusiaan seakan-akan sudah lenyap ketika itu. Dianggarkan lebih kurang 160,000 mayat telah 'dikebumikan' di sana dalam tempoh berkenaan. Keadaan tersebut menyebabkan Pulau Poveglia dicemari dengan bau busuk yang sangat menyesakkan hidung. Tanah yang bercampur dengan mayat yang dibakar dan dibuang di sana menghasilkan lapisan abu melekit yang sangat tebal. Reputasi pulau tersebut kian merudum selepas bencana pandemik yang melanda.
Pulau Poveglia dibiarkan sepi tanpa penghuni selama beberapa abad. Sehinggalah pada tahun 1922, sebuah hospital psikiatri telah dibina lengkap dengan menara loceng yang amat besar di pulau tersebut. Di sini, misteri bermula. Pesakit yang dimasukkan ke hospital tersebut mula mengadu yang mereka sering terserempak dengan jelmaan dan hantu yang dipercayai roh-roh mangsa wabak terdahulu. Setiap malam, para pesakit telah diganggu dengan bunyi jeritan dan esak tangis roh yang meminta bantuan. Mereka yang sudah tidak tahan kerap kali mengadu kepada pihak pengurusan hospital. Tetapi atas alasan pesakit di sana memang mempunyai masalah mental, aduan mereka langsung tidak diendahkan.
Belum cukup dengan misteri yang melanda hospital tersebut, seorang doktor dikatakan cuba untuk membina namanya di Italy dengan mencari penawar bagi penyakit mental yang dialami pesakit di situ. Dia mula menjalankan 'eksperimennya' dengan menyeksa pesakit-pesakit. Saban malam, suara pesakit yang diseksa kedengaran memecah kesunyian kawasan kepulauan tersebut. Menurut sejarah, si doktor gila telah menggunakan pelbagai peralatan seperti pahat dan tukul. Ritual tersebut didakwa dijalankan untuk mencari 'penawar' bagi penyakit gila yang dihadapi pesakit di sana.
Pesakit yang tidak mempunyai waris pula menerima nasib yang lebih malang. Mereka dibawa ke menara loteng dan akan menerima pelbagai jenis seksaan sehingga meninggal dunia. Kebanyakan pesakit mati dalam keadaan yang sangat mengerikan. Gangguan demi gangguan makhluk halus terus dirasai oleh pesakit di hospital tersebut. Dalam masa yang sama, mereka juga terpaksa menanggung seksaan si doktor gila. Pesakit sentiasa hidup dalam keadaan ketakutan sepanjang berada di situ. Selepas bertahun-tahun menjalankan kegiatan gilanya, doktor tersebut dikatakan mula diganggu dengan bayangan-bayangan mangsanya yang datang menuntut keadilan terhadap kematian mereka. Menurut kisah, doktor berkenaan telah menamatkan riwayatnya sendiri dengan terjun dari menara, iaitu tempat dia menyeksa semua pesakit di dalam hospital itu.
Menurut seorang jururawat yang merupakan saksi kejadian, doktor gila itu tidak mati serta-merta ekoran kesan jatuh dari menara. Tetapi sewaktu dia sedang berbaring di bawah, tiba-tiba muncul satu jelmaan kabus besar yang kemudian mencekik dirinya sehingga mati. Selepas kejadian itu, bunyi loceng besar di menara tersebut didengari setiap hari. Hospital berkenaan ditutup tidak berapa lama kemudian. Kerajaan Italy mengambil alih pengurusan Pulau Poveglia buat seketika sebelum ianya dijual semula. Tidak banyak bukti bertulis yang diketahui tentang pulau ini namun apa yang pasti, pemilik terakhir Pulau Poveglia meninggalkannya sekitar tahun 1960-an.
Antara kesan peninggalan hospital |
Timbunan tulang yang terdapat di Pulau Poveglia |
Menara loceng Poveglia |
Kelibat roh yang dikatakan tidak tenteram |
Terdapat sebuah keluarga yang cuba untuk membeli pulau misteri ini dan berhasrat membangunkannya menjadi sebuah pusat peranginan. Mereka bermalam semalaman dikawasan pulau berkenaan, namun bertindak meninggalkannya awal pagi keesokan harinya. Keluarga tersebut enggan mengulas lanjut tentang apa yang berlaku sepanjang malam di sana, namun apa yang pasti muka anak perempuan mereka telah ditoreh dan telah mendapat 14 jahitan.
Beberapa orang yang dikatakan mempunyai kuasa psikik juga pernah melawat kawasan hospital di pulau berhantu itu. Namun kesemua mereka bergegas meninggalkan tempat tersebut kerana bimbang dengan apa yang dapat dikesan oleh deria keenam mereka. Salah seorang daripada kumpulan itu mengatakan dia dapat merasakan kehadiran roh-roh yang berkeliaran. Kesemua mereka dalam keadaan yang tidak tenteram dan ingin menuntut keadilan terhadap kekejaman yang dialami oleh mereka. Hari ini, Pulau Poveglia bukan sahaja dibiarkan sepi tanpa penghuni, malah sebarang aktiviti pelancongan ke sana juga diharamkan oleh kerajaan Italy.
Nelayan tempatan juga mengelak daripada berlayar berhampiran dengan kawasan pulau ini kerana bimbang ada tulang manusia yang bakal tersangkut pada jaring jala mereka. Kalau anda ke Italy, cuba-cubalah singgah di kawasan perairan Pulau Poveglia. Jika bernasib baik, mungkin anda juga boleh mendengar 'rayuan' penduduk yang terperangkap di sana.
No comments:
Post a Comment