Wednesday, October 21, 2015

Kisah hantu pembunuh Kentucky




Penduduk di sekitar timur Kentucky, Amerika Syarikat (AS) hidup dalam ketakutan gara-gara kisah hantu seorang pembunuh yang bangkit untuk membalas dendam atas kematiannya. Peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1938 itu dilaporkan turut mempunyai kaitan dengan beberapa kematian misteri yang dipercayai berpunca daripada perbuatan hantu seorang lelaki bernama Carl Pruitt yang mati kerana membunuh diri selepas mencekik isterinya yang curang. Menurut cerita yang disebarkan penduduk tempatan, kejadian itu bermula pada bulan Julai tahun yang sama sewaktu Pruitt mendapati isterinya telah berlaku curang dengan lelaki lain semasa pulang dari bekerja.

Akibat terlalu marah dan kecewa, Pruitt telah mencekik isterinya sehingga mati dengan menggunakan seutas rantai, manakala lelaki simpanan wanita itu sempat melarikan diri dengan melompat keluar dari tingkap ketika kejadian. "Menyedari isterinya telah mati, lelaki itu berasa amat takut lalu membunuh diri di dalam rumah mereka," ujar Elizabeth, 58, seorang penduduk tempatan yang mengetahui kisah tersebut daripada mendiang ibunya. Tambahnya lagi, mayat pasangan suami isteri yang ditemui mati beberapa hari kemudian telah dikebumikan di dua tanah perkuburan berbeza dan jauh antara satu sama lain.

Bunyi rantai

Beberapa minggu selepas kematian pasangan suami isteri itu, pelbagai peristiwa aneh berlaku terutama pada kubur Pruitt apabila ramai orang mendakwa terdengar bunyi seperti rantai yang digoncang selain daripada bunyi suara seseorang seperti dalam kemarahan. Penduduk setempat yang mengetahui kejadian tersebut telah memberitahu pegawai tempatan agar batu nisan lelaki itu dihancurkan kerana percaya roh pembunuh itu berada dalam keadaan tidak tenteram, namun cadangan itu tidak dipedulikan.

Kejadian yang tidak diduga berlaku sebulan kemudian apabila seorang kanak-kanak yang melalui kawasan perkuburan itu bersama sekumpulan rakannya telah bertindak membaling batu ke arah batu misan Pruitt. Kanak-kanak tersebut, James Collins, 10, berbuat demikian untuk membuktikan dia tidak takut dan tidak percaya pada cerita seram yang didengari tentang roh pembunuh itu. Semasa dalam perjalanan pulang, basikal yang ditunggangi Collins tiba-tiba meluncur laju dengan sendiri dan akhirnya terbabas sehingga melintasi jalan raya sebelum kanak-kanak itu merempuh sebatang pokok dan meninggal dunia.

Terdapat perkara aneh pada kejadian tersebut apabila saksi yang berada di tempat kejadian memberitahu, rantai basikal milik kanak-kanak itu tercabut lalu menjerut lehernya sehingga menyebabkan kematian. Lebih mengejutkan,hasil pemeriksaan ke atas batu nisan Pruitt tidak menemui apa-apa tanda atau kesan kerosakan walaupun selepas dibaling beberapa ketul batu oleh kanak-kanak malang tersebut. 

Kisah kematian Collins akhirnya tersebar dengan meluas apabila penduduk kampung mula mendakwa roh Pruitt menjadi punca kepada kejadian itu sehingga menyebabkan ibu kepada kanak-kanak malang tersebut berang sebelum dia bertindak menghancurkan batu nisan pembunuh itu dengan sebilang kapak. Seperti biasa, hasil pemeriksaan ke atas kubur Pruitt mendapati batu nisan lelaki itu masih dalam keadaan sempurna walaupun ada saksi mendakwa ia telah dipecahkan oleh ibu kanak-kanak malang itu.

Jelmaan hantu Pruitt sering dilihat membawa
rantai yang didakwa sinonim dengannya

Kematian misteri

Kejadian misteri terus membelenggu penduduk di timur Kentucky tidak beberapa lama kemudian apabila seorang lagi mangsa menjadi korban yang didakwa angkara amukan hantu Pruitt. Dalam satu kejadian lain, seorang petani bersama tiga anggota keluarganya telah melalui kawasan perkuburan Pruitt dengan menaiki kereta kuda sebelum petani tersebut bertindak melepaskan beberapa das tembakan dengan pistol ke arah batu nisan Pruitt. Akibat terkejut dengan bunyi tembakan, kuda yang menarik pedati keluarga petani itu berlari bertempiaran sehingga menyebabkan ahli keluarga petani tersebut terpaksa melompat keluar untuk menyelamatkan diri. Bagaimanapun, petani itu tidak bernasib baik apabila dia terjatuh lalu lehernya tersangkut pada tali yang digunakan untuk mengawal kuda dan dia akhirnya mati tercekik.

Setelah beberapa kematian tragik yang berlaku, penduduk tempatan mula berasa takut dan mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat lain hingga menyebabkan penempatan tersebut terbiar dan dipenuhi semak samun. Pada tahun 1958, pegawai tempatanakhirnya mengambil keputusan menghancurkan kawasan perkuburan tersebut termasuk kubur Pruitt yang pernah menggemparkan penduduk di timur Kentucky suatu masa dahulu.

Kawasan perkuburan yang menjadi lokasi mayat Pruitt dikebumikan
akhirnya dimusnahkan selepas terbiar sekian lama



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...