Monday, October 26, 2015

Kemunculan wajah misteri atas lantai




Di sebuah perkampungan di pinggir bandar Belmez, Cordoba, Sepanyol, misteri wajah hantu yang muncul pada lantai sebuah rumah menjadi buah mulut penduduk setempat. Bahkan, imej yang dikenali sebagai The face of Belmez atau The Belmez Faces itu menjadi salah satu tarikan pelancong ke daerah berkenaan. Diceritakan, kemunculan wajah Belmez pertama kali disedari oleh penghuni rumah tersebut ketika itu Maria Gomez Camara sekitar Ogos 1971 apabila imej seakan-akan wajah seorang wanita muncul pada lantai dapur rumahnya. Menurut cakap-cakap penduduk tempatan, Camara dan suaminya, Juan Pereira bertindak memecahkan simen lokasi wajah itu muncul dan menggantikannya dengan lapisan simen baru.

Misteri tercetus apabila wajah itu muncul kembali tidak lama kemudian dan tambah merungsingkan pasangan suami isteri itu, beberapa imej wajah lain turut muncul pada permukaan simen berkenaan. Berita mengenainya tersebar luas dan menjadi buah mulut masyarakat Sepanyol selama beberapa dekat. Dikatakan, sebuah rumah Camara pernah didatangi sehingga 5000 orang pengunjung termasuk ahli paranormal yang mahu melihat sendiri wajah misteri itu. Ia menjadi buah mulut penduduk setempat sehingga mendapat jolokan nama Belmez sempena nama bandar tersebut. Mereka percaya bahawa wajah Belmez bukanlah dilukis tangan sebaliknya dipengaruhi kewujudan unsur paranormal.

Kubur purba

Seorang penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Miguel berkata, jelmaan wajah Belmez mungkin berkait rapat dengan lokasi rumah tersebut yang dibina di atas kubur lama."Rumah ini dibina sekitar tahun 1830 di atas tapak perkuburan Kristian. Sebelum itu, kawasan ini adalah lokasi tanah perkuburan orang Islam dan tapak pengebumian masyarakat terdahulu ketika Empayar Rom," katanya seperti dipetik portal BBC. Proses penggalian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Madrid bagi merungkaikan misteri wajah Belmez menemui tulang, tengkorak dan rangka manusia di tanam antara 2.5 hingga 3 meter di bawah lantai dapur rumah Camara. Penemuan itu sekali gus membuktikan tapak rumah itu dibina di atas kubur lama dari abad ke-13.

Tengkorak dan rangka tulang itu kemudiannya dialih dan disemadikan secara sempurna di tanah perkuburan lain, manakala lantai dapur rumah Camara disimen semula. Bagaimanapun, tidak sampai dua minggu, wajah-wajah Belmez kembali menghantui hidup Camara sekeluarga. "Dalam tempoh 30 tahun, saya telah melihat berbagai-bagai rupa wajah hantu muncul di atas lantai dapur rumah ini. Walaupun sudah disimen baru, pasti akan ada wajah lain yang muncul," kata Camara.

Lantai rumah Camara sudah dipecahkan beberapa kali, namun
wajah Belmez masih muncul meskipun sudah disimen baru

Roh terperangkap

Kajian saintifik turut dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Seramik dan Gelas Sepanyol sekitar tahun 1990 dengan mengambil sampel simen pada wajah Belmez tersebut untuk dianalisis di makmal. Kedua-dua sampel dengan berat 30 gram (g) dan 80g itu didapati mengandungi elemen seperti zink, tembaga. fosforus dan berberapa unsur lain. "Kami tidak menemui sebarang unsur meragukan seperti cat dan pewarna," kata ketua penyelidik kajian tersebut, Manuel Carballal. Ada sesetengah penyelidik yang mengaitkan Camara dengan kemunculan wajah-wajah misteri itu menerusi hipotesis thoughtografik. Menerusi hipotesis berkenaan mereka mendakwa, Camara memiliki kuasa psikik semula jadi untuk menzahirkan imej wajah-wajah Belmez secara batin berdasarkan emosinya ketika itu.

Bagaimanapun, ramai beranggapan teori itu tidak tepat. Manakan tidak, selepas Camara meninggal dunia pada 3 Februari 2004, wajah-wajah Belmez pada lantai dapur rumahnya masih tidak hilang. Bahkan sehinga ke hari ini, fenomena pembentukan wajah misteri itu masih berlaku seperti biasa. Setiap hari ada sahaja imej wajah baru dengan ekspresi berlainan muncul dan misterinya masih belum dapat dirungkaikan. Ramai berpendapat wajah Belmez mungkin adalah roh tidak tenang yang terperangkap di alam lain.

Sehingga hari ini, Camara masih dihantui imej wajah-wajah Belmez



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...