Awal pagi 20 September 1988, Tara Leigh Calico memulakan rutin hariannya dengan berbasikal. Sudah menjadi kebiasaan bagi gadis manis berambut perang itu untuk berbasikal sejauh 45 kilometer sekitar kawasan perumahannya di New Mexico. Bezanya hari itu, Tara tidak menaiki basikalnya sendiri kerana tayar basikalnya pancit, dia meminjam basikal berwarna merah jambu milik ibunya, Patty Doel. Pukul 9.30 pagi, Tara keluar meninggalkan perkarangan rumahnya di New Mexico dengan memakai baju sejuk berwarna jingga. Sudah menjadi kebiasaan buat gadis berhidung mancung itu untuk mendengar lagu di perakam kaset miliknya hanya sekadar mahu menghilangkan rasa bosan.
Tara Leigh Calico |
Tara digambarkan sebagai seorang gadis yang sangat teratur dan gemar merancang jadual sehariannya. Kerana itu, Tara telah meminta ibunya untuk datang mencarinya jika dia tidak pulang pada pukul 12.00 tengah hari, kerana Tara telah berjanji untuk bermain tenis bersama kekasihnya sebelum menghadiri kuliah pada pukul 4.00 petang hari yang sama. Tara adalah pelajar di Universiti New Mexico pada ketika itu. Pada pukul 12.05 tengah hari, Doel keluar mencari Tara kerana anak gadisnya itu masih belum pulang ke rumah. Doel melalui jalan yang biasa dilalui oleh Tara setiap kali berbasikal namun gagal menemui anak gadisnya itu. Bimbang sesuatu yang buruk terjadi kepada Tara, Doel akhirnya menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan mencari Tara Leigh Calico.
24 jam berlalu namun masih tiada berita mengenai Tara. Doel yang runsing bertindak melalui jalan yang biasa dilalui oleh Tara dan akhirnya menjumpai perakam kaset milik Tara ditinggalkan di tepi jalan raya beberapa kilometer dari rumah mereka. Doel percaya kaset itu ditinggalkan di sana ialah salah satu cara Tara meninggalkan 'jejak'nya. Berhampiran kawasan perakam kaset itu dijumpai, terdapat kesan tayar yang dipercayai merupakan kawasan berlakunya pergelutan. Namun, kelibat basikal dan anaknya masih tidak kelihatan. Menurut saksi yang mengaku ada terlihat Tara berbasikal pada hari dia dilaporkan hilang, terdapat sebuah trak pikap berwarna kelabu mengekori Tara sewaktu dia berbasikal. Namun tidak dapat dipastikan sama ada trak itu mempunyai kaitan dengan kes kehilangan Tara.
Hari demi hari, misteri kehilangan Tara masih belum dapat dirungkai. Pihak penyiasat menemui jalan buntu kerana tiada langsung bukti yang boleh membawa kepada penangkapan suspek mahupun penemuan Tara. Hampir setahun selepas kehilangan Tara, sekeping gambar polaroid ditemui di Port St. Joe, Florida. Gambar itu menunjukkan seorang perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki yang tangannya diikat dan mulut mereka berdua ditampal tape. Menurut saksi, sebuah kereta Toyota dipercayai di parkir di kawasan di mana gambar tersebut dijumpai. Menurut pakar analisis, gambar tersebut telah diambil dalam sebuah kereta Toyota tanpa tingkap yang mana menguatkan lagi dakwaan saksi kejadian yang menjumpai gambar tersebut.
Gambar tersebut juga dipercayai diambil selepas bulan Mei 1989, kerana filem polaroid yang digunakan hanya wujud selepas tarikh tersebut. Sebuah novel VC Andrews berjudul 'My Sweet Audrina' cawan plastik dan sebuah pistol air adalah antara barangan yang dapat dilihat dengan jelas dalam gambar polaroid itu. Mungkin hanya kebetulan, tetapi VC Andrews merupakan salah seorang penulis yang diminati oleh Tara. Penyiasat juga menemui tulisan nombor yang seperti sengaja ditulis di atas novel tersebut namun ada beberapa nombor yang ditulis tidak kelihatan jelas menjadikan sukar bagi pihak penyiasat untuk menentukan nombor yang sebenarnya. Pihak berkuasa percaya bahawa gadis didalam gambar tersebut merupakan gadis yang dikatakan dilihat berjalan di tepian pantai Port St. Joe sejurus sebelum gambar tersebut ditemui. Beberapa orang saksi turut mendakwa melihat gadis itu di tepian pantai dan diawasi oleh beberapa orang lelaki yang dikatakan memberikan arahan kepada gadis itu.
Gambar polaroid yang seakan-akan memberi harapan untuk kes misteri ini selesai |
Ada yang mendakwa kanak-kanak lelaki di dalam gambar tersebut merupakan Michael Henley, seorang kanak-kanak yang berusia sembilan tahun yang dikatakan hilang pada tahun 1988 di kawasan berdekatan dengan tempat Tara kali terakhir dilihat. Ibu kepada Michael mendakwa kanak-kanak di dalam gambar polaroid tersebut merupakan anaknya yang hilang. Namun, rangka mayat Michael telah dijumpai di Gunung Zuni pada tahun 1990. Pihak FBI yang turut sama menyiasat kes ini tidak dapat memberi kata putus sama ada individu dalam gambar tersebut benar-benar Tara mahupun tidak. Rambut dan telinga gadis di dalam gambar tersebut mirip Tara namun tidak dapat dipastikan sama ada gambar tersebut sengaja 'direka' mahupun benar kedua-dua individu itu diikat tanpa kerelaan mereka. Dua keping gambar polaroid turut ditemui beberapa tahun selepas gambar yang pertama ini ditemui. Gambar yang pertama ditemui pada tahun 1989, di California.
Gambar misteri yang ketiga ditemui pada tahun 1990, dimana gambar itu menunjukkan seorang gadis yang matanya ditutup dengan kain pembalut luka. Doel tidak pasti sama ada gadis di dalam gambar itu merupakan anaknya dan dia menyifatkan gambar tersebut mungkin hanya diambil untuk dijadikan jenaka. Pihak polis mendapat maklumat yang mana mengatakan sewaktu hari kehilangannya, Tara diekori oleh dua orang remaja lelaki yang dipercayai tidak sengaja telah terlanggar belakang basikal Tara dengan trak mereka. Penyiasat membuat andaian bahawa remaja lelaki tersebut membawa Tara pergi dari tempat kejadian menaiki trak mereka dan kemungkinan Tara telah dibunuh bagi mengelakkan Tara melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa. Namun ia hanyalah andaian kerana sehingga kini, tiada langsung suspek yang ditahan dan kes Tara tergantung tanpa noktah.
Ibu Tara, Doel terus tinggal di rumah mereka sehingga 15 tahun selepas kehilangan Tara, sebelum berpindah ke Florida. Ibu Tara meninggal dunia pada tahun 2006. Ayah kandung Tara meninggal pada tahun 2002. Manakala ayah tiri serta adik-beradik Tara yang lain masih hidup dan masih menanti khabar mengenai Tara sehingga ke hari ini. Misteri kehilangan Tara dan gambar polaroid yang ditemui kekal menjadi tanda tanya kepada semua.
No comments:
Post a Comment