Tuesday, February 14, 2017

Misteri hantu Tiyanak pemburu manusia



Tangisan bayi kecil yang didengari itu benar-benar menakutkan sesiapa sahaja terutama jika ia terjadi pada lewat tengah malam. Rata-rata dalam masyarakat Filipina, mereka percaya bahawa suara tangisan anak kecil itu bukanlah suara dari seorang bayi yang mungkin terjaga di tengah malam kerana dahagakan susu ataupun minta untuk ditukarkan lampin. Sebaliknya, ia adalah suara tangisan daripada hantu Tiyanak atau Tianak yang dahagakan darah manusia. Dalam kepercayaan masyarakat Filipina, terdapat sejenis hantu yang dinamakan Tiyanak dan digambarkan seperti seorang bayi kecil.

Tangisan seolah-olah seperti bayi itu adalah bertujuan untuk menarik perhatian manusia bagi mendekatinya dan dijadikan mangsa dengan membunuh dan menghisap darahnya. Ketika dihampiri mangsa, Tiyanak akan berubah dengan mempamerkan wajah yang menyeramkan dan akan menghisap darah mangsanya sehingga mati. Walaupun Tiyanak dikhabarkan mempunyai pelbagai cerita, namun kebanyakan kisah mempunyai versi yang sama iaitu Tiyanak akan menyamar sebagai seorang bayi dan akan menangis dengan kuat untuk memikat mangsanya.

Roh bayi

Sewaktu zaman penjajahan Sepanyol di Filipina pada abad ke-16, mitos Tiyanak telah diceritakan mengikut kepercayaan agama Kristian. Di dalam versi tersebut, Tiyanak diceritakan sebagai roh bayi yang telah mati sebelum sempat menjalani upacara keagamaan untuk menyucikan diri. "Bayangkan jika sedang berjalan di sebuah kawasan perkampungan, tiba-tiba terlihat sekujur tubuh bayi sedang menangis. Sebagai manusia yang mempunyai hati, pasti kita tidak akan membiarkan bayi itu tersebut menangis begitu sahaja," ujar seorang penduduk dari suku kaum Mandaya di kepulauan sekitar Mindanao.

Semasa mangsa mengangkat bayi tersebut untuk diselamatkan, secara tiba-tiba wajah bayi itu akan berubah dengan mengeluarkan taring dan kuku yang tajam sebelum merobek-robek tubuh mangsanya. Bagi masyarakat Mandaya, mereka percaya bahawa Tiyanak adalah roh seorang bayi yang mati bersama ibunya semasa berada di dalam kandungan dan dikebumikan bersama-sama. Dalam kepercayaan lain, mereka menyatakan bahawa Tiyanak adalah roh daripada bayi yang mati akibat dibunuh dengan kejam atau bayi yang ditinggalkan oleh ibunya sehingga mati akibat kelaparan dan menjadikan darah manusia sebagai minumannya.

Hantu Tiyanak akan memburu mangsa dengan suara tangisan
sebelum menunjukkan rupa sebenar yang menakutkan

Beberapa khabar mengatakan bahawa Tiyanak juga ditemui menyerupai susuk tubuh seorang lelaki tua dengan kulitnya yang berkedut, bermisai panjang, hidung yang panjang dan mata hitamnya kelihatan besar. Bagi masyarakat Filipina, mereka sangat-sangat berhati-hati jika ternampak wanita yang membawa bayi pada waktu malam, kerana diberitahu, Tiyanak juga boleh menyamar untuk menjadi individu lain. kononnya, Tiyanak suka menyerang pengembara yang tersesat di dalam hutan atau orang luar yang baru berpindah di sesuatu kawasan penempatan itu kerana mereka belum mengenali penduduk yang ada disitu sekali gus memudahkan Tiyanak untuk mendekati mereka.

Hantu Tiyanak biasanya akan menyamar menjadi seorang bayi biasa
sambil menangis dan menghisap darah mangsanya sehingga mati




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...