Friday, February 10, 2017

Sumpahan Ivan Vassili


Kisah-kisah seram yang melibatkan sebuah kapal kargo milik Rusia iaitu Ivan Vassili dikatakan merupakan satu kisah benar. Sehingga kini, tiada sesiapa pun yang tahu apa yang menyebabkan kapal tersebut cukup digeruni. Dibina pada tahun 1897, kapal besar itu dikatakan cukup stabil dan semasa mula-mula beroperasi, tiada apa-apa perkara aneh yang berlaku di atas kapal tersebut. Begitu pun, pada tahun 1903, satu insiden yang menakutkan telah terjadi di atas Ivan Vassili dan kapal itu terus menjadi bualan dalam kalangan masyarakat di Rusia.

Pada tahun itu, kerajaan Rusia dikatakan sedang bersedia untuk berperang dengan Jepun dan Ivan Vassili ditugaskan untuk membawa peralatan-peralatan perang untuk digunakan sepanjang tempoh tersebut. Dalam salah satu misinya, kapal itu telah ditugaskan ke Cape Town, Afrika Selatan untuk mengambil arang batu tetapi dalam pelayaran itu, kesemua anak kapal terasa mereka seolah-olah sedang diperhatikan. Kawasan di dek kapal terasa muram dan negatif seolah-olah ada sesuatu yang tidak baik akan menimpa mereka.

Pergaduhan

Begitu pun, mereka tetap meneruskan perjalanan seperti biasa. Sehingga pada satu malam, salah seorang anak kapal memberitahu kapten, dia ternampak satu lembaga hitam yang sedang berjalan menuju ke bahagian belakang kapal sebelum tiba-tiba hilang. Pada malam yang sama juga, mereka tiba-tiba terdengar satu jeritan yang cukup kuat yang datangnya daripada salah seorang anak kapal yang sedang berehat, sebelum kesemua anak kapal yang lain tiba-tiba sahaja bergaduh sesama sendiri. Mereka seolah-olah sedang dirasuk dan keadaaan menjadi bertambah buruk apabila salah seorang daripada mereka tiba-tiba terjun ke dalam laut. Terkejut dengan keadaan itu, mereka semua mendiamkan diri dan tidak sedar dengan apa yang berlaku.

Kesemua anak-anak kapal tidak menyedari mereka sedang
bergaduh sesama sendiri semasa menaiki Ivan Vassili

Beberapa hari kemudian, insiden yang sama berulang dan kali ini lebih ramai anak kapal yang terjun ke dalam laut selepas bergaduh sesama sendiri. Mereka kemudian tetap meneruskan perjalanan sehingga tiba ke destinasi. Kerajaan Rusia kemudian mengambil keputusan untuk menghentikan khidmat kapal Ivan Vassili buat sementara waktu selepas insiden misteri itu. Begitu pun, beberapa bulan kemudian, Ivan Vassili mula kembali beroperasi seperti biasa dan ia belayar ke Hong Kong. Kesemua anak kapal masih lagi ragu-ragu untuk menaiki kapal itu kerana bimbang insiden sama berulang.

Kekal misteri

Dalam pelayaran ke Hong Kong itu, anak-anak kapal dirasuk lagi dan mereka mula bergaduh dan bercakaran sesama sendiri sehingga lebih ramai anak kapal yang terjun ke dalam laut dan mati. Insiden tersebut berlaku berlanjutan selama beberapa hari sehinggalah kesemua mereka tiba di Hong Kong. Setibanya ke negara itu, kapten kapal bertindak membunuh diri dengan menembak kepalanya. Kerajaan Rusia kemudiannya melantik kapten baru dan Ivan Vassili kembali belayar ke San Francisco, Amerika Syarikat. Sebaik sahaja tiba disana, kapten baru itu juga membunuh diri dan tiada siapa yang tahu mengapa dia bertindak demikian.

Anak-anak kapal yang masih hidup tahu ada sesuatu yang tidak kena pada kapal itu dan bertekad tidak akan menaiki Ivan Vassili lagi. Kapal itu dihantar pulang ke Rusia dan kerajaannya mengambil langkah membakarnya. Ketika dibakar, beberapa orang bekas anak kapal terdengar jeritan yang amat kuat dari dalam kapal tersebut dan mereka terdiam kerana terlalu takut. Sehingga kini, tiada siapa pun tahu makhuk apa sebenarnya yang tinggal di dalam Ivan Vassili dan menganggu anak-anak kapal di situ.

Salah seorang anak kapal mendakwa pernah terlihat
satu lembaga hitam misteri di atas kapal tersebut





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...