Filem-filem ini hebat, hangat dan mendapat sambutan ramai di seluruh dunia. Tetapi di sebalik pelbagai populariti yang dikecapi, bagai ada kutukan maut mengiringi produksi filem itu. Adakah hanya kebetulan atau ia bagai satu sumpahan?
The Exorcist
Filem seram The Exocist amat popular sekitar tahun 70-an. Filem ini ditulis berdasarkan kisah benar yang menimpa seorang budak lelaki yang dirasuk hantu pada tahun 1940-an. Sebenarnya bukan hanya setakat dalam filem, namun pelbagai kisah seram dan misteri turut berlaku di luar set penggambaran. Pernah set penggambaran ini terbakar tanpa sebab hingga set baru terpaksa dibina semula. Pelakon utamanya, Linda Blair turut dirasuk ketika berada di set penggambaran. Malah, beberapa kru filem ini menemui ajal semasa filem tersebut masih dalam penggambaran.
Bukan hanya terjadi pada kru, malah banyak kecederaan dan kematian juga dilaporkan melibatkan ahli keluarga mereka yang terlibat dalam penggambaran ini. Malah, sewaktu dipertontonkan kepada umum, banyak kes histeria dilaporkan berlaku kepada penonton The Exocist sehingga filem ini diharamkan tayangannya di England. Segala misteri dan tragedi berkaitan filem ini dikaitkan dengan sumpahan makhluk halus. Kononnya, roh-roh jahat bertindak mengganggu kelancaran filem ini kerana ia diambil berdasarkan kisah benar.
Poltergeist
Salah satu genre filem seram yang popular dikaitkan dengan pelbagai misteri dan kutukan ialah Poltergeist. Kebanyakkannya dikaitkan dengan nasib malang yang menimpa para pelakonnya. Walaupun filem ini mencetuskan fenomena dan pecah panggung sekitar tahun 80-an, tetapi ia juga popular dengan kematian yang dikaitkan dengan para pelakonnya.
Kutukan dikatakan bermula apabila Dominique Dunne, salah seorang pelakon dalam Poltergeist I mati dibunuh oleh bekas kekasihnya pada tahun 1982. Kemudian pada tahun 1985, Julian Beck yang berlakon sebagai roh jahat dalam Poltergeist II pula meninggal dunia kerana penyakit kanser perut. Sumpahan itu berterusan apabila pemain watak roh baik dalam Poltergeist II iaitu Will Sampson turut menemui ajal pada tahun 1987 sewaktu menjalani pembedahan pemindahan jantung.
Tahun 1988 pula, pelakon watak budak kecil dalam filem itu iaitu Heather O'Rouke pula meninggal sewaktu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ususnya yang tersumbat akibat jangkitan kuman. Seorang lagi pelakon filem itu, Louis Perryman pula mati dibunuh di rumahnya pada April 2009. Louis berusia 67 tahun sewaktu menemui ajal. Selain itu, James Kahn juga pernah menceritakan peristiwa pelik yang dialaminya sewaktu menulis skrip filem tersebut. Sebaik selesai menulis ayat untuk skripnya yang berbunyi 'lightning ripped open the sky', sejurus itu bangunan tempat tinggalnya disambar kilat.
The Crow
Filem The Crow lakonan Brandon Lee, iaitu anak kepada mendiang Bruce Lee ini pernah ditayangkan pada tahun 1994. Filem ini juga sering dikaitkan dengan kutukan dan sumpahan kerana banyak peristiwa pelik dikaitkan sewaktu penggambaran. Antaranya. seorang petugas telah terbakar tubuhnya setelah kren yang dipandu melanggar talian bervoltan tinggi. Seorang lagi petugas pula kemalangan setelah keretanya terbabas ke dalam sebuah kedai. Dan kemuncaknya, apabila pelakon utamanya iaitu Brandon Lee maut apabila salah seorang pelakon dalam filem tersebut secara tidak sengaja menembaknya menggunakan peluru hidup sewaktu beliau sedang menjalani penggambaran filem berkenaan.
Anehnya, tiada siapa tahu bagaimana peluru hidup boleh digunakan dalam pistol berkenaan. Sedangkan pada asalnya, tiada peluru hidup digunakan sewaktu Brandon Lee melakonkan adegan tembak menembak itu.
No comments:
Post a Comment