Friday, February 6, 2015

Sumpahan anak patung Mandy


Anak patung Mandy dikunci di dalam kotak khas secara
bersendirian supaya tidak mengganggu patung lain

Bagi sesiapa yang pernah berkunjung ke Muzium Quesnel di British Colombia, Kanada, anak patung berpakaian gaun putih yang diletakkan di dalam sebuah bekas kaca di ruang pameran muzium itu pasti mencuri perhatian. Kurator muzium berkenaan, Ruth Stubbs memberitahu, awalnya anak patung yang digelar dengan nama Mandy itu tidak mempunyai kedudukan tetap dan ditempatkan dibahagian pintu masuk utama bersama artifak bersejarah lain yang rata-rata terdiri daripada patung lama.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, kedudukannya terpaksa diubah kerana ia dikatakan mengganggu patung-patung berkenaan. "Kini, ia dikunci di dalam sebuah bekas kaca khas dan diletakkan di ruang berlainan secara bersendirian bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku," kata Stubbs. Pun begitu, Mandy dikatakan tidak suka dibiarkan bersendirian dan membuat perangai bagi melepaskan kemarahannya.


Misteri kisah anak patung Mandy telah menarik perhatian ramai
ahli pengkaji aktiviti paranormal dari seluruh negara

"Kakitangan muzium menemui kertas bertaburan di atas lantai di dalam bilik ia dikurung. Dari mana kertas itu datang pun kami tidak pasti. Mandy juga dikatakan suka bermain dengan barangan elektrik sehingga rosak tanpa diketahui puncanya." cerita Stubbs lagi.

Suara menangis

Selain itu, kata Stubbs, ada beberapa pengunjung yang mendakwa, berasa sedih dan kurang senang apabila berada berdekatan dengan Mandy. "Mereka berasa seperti sedang diperhatikan. Ada yang mengatakan pernah ternampak Mandy mengerdipkan kedua-dua belah matanya. Jari dan kepalanya juga pernah dilaporkan kelihatan bergerak sendiri dan ia benar-benar menyeramkan," ujarnya.

Anak patung yang diperbuat daripada porselin itu dipercayai dihasilkan di England atau Jerman sekitar tahun 1910 hingga 1920-an dan didermakan kepada Muzium Quesnel pada tahun1991. Sejak itu, kisah misteri anak patung Mandy menarik perhatian ramai ahli pengkaji paranormal dari pelbagai pelosok negara untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman berdepan dengan anak patung berpuaka itu.

Pemilik terakhir Mandy, Mereanda berkata, dia terpaksa menyerahkan anak patung itu kepada muzium berkenaan selepas tidak tahan kerana sering diganggu dengan suara kanak-kanak perempuan menangis pada setiap malam. "Suara itu datang dari bilik bawah tanah di rumah saya. Gangguan itu hilang selepas Mandy diletakkan di situ (muzium) tetapi ia kini dikatakan menghantui muzium itu pula," katanya.

Anak patung Mandy kini ditempatkan
di Muzium Quesnel di British Colombia, Kanada


Berdasarkan legenda, anak patung antik yang berusia lebih 100 tahun itu dipercayai dimiliki oleh seorang kanak-kanak perempuan.

Kejadian menyeramkan

Pada suatu hari, kanak-kanak itu bermain dengan anak patung itu di dalam sebuah bilik bawah tanah di rumahnya. Bagaimanapun, dia terperangkap di dalam ruang sempit itu dan mati bersama-sama patung mainan kesayangannya itu. Roh kanak-kanak itu kemudiannya dikatakan masuk ke dalam tubuh anak patung itu. Menurut cerita penduduk tempatan, rumah itu ditinggalkan kosong selama beberapa tahun kerana tiada sesiapa yang berani mendudukinya.

Kata seorang penduduk, Kyle, penduduk setempat sering terdengar suara kanak-kanak perempuan menangis di rumah itu, namun apabila diperiksa, mereka hanya menemui sebuah anak patung. "Bajunya kotor manakala wajahnya terdapat kesan rekahan yang agak besar. Ketika dijumpai, ada penduduk yang ingin mengambil untuk dijadikan patung permainan buat anak-anak mereka tetapi lain jadinya apabila mereka sering diganggu dengan pelbagai kejadian aneh dan menyeramkan.

"Mereka terdengar bunyi derapan kaki berlari-lari di dalam rumah, suara kanak-kanak menangis dan macam-macam lagi. Gangguan itu hanya akan hilang jika anak patung Mandy dibuang daripada simpanan," jelasnya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...