Dorian Gray merupakan seorang pemuda inggeris yang terkaya di kota London pada zaman era Victoria. Seperti pemuda-pemuda yang lain, dia amat menggemari seni dan juga wanita-wanita cantik. Dorian bukan sahaja kaya malah kacak, matanya berwarna biru cerah dan rambutnya pula perang keemasan. Wajahnya yang tampan menyebabkan ramai wanita yang tergila-gilakannya.
Seorang pelukis potret terkenal, Basil Hallward ingin mengabadikan wajah jejaka tampan itu dalam lukisannya. Bagaimanapun permintaan tersebut ditolak. Setelah puas dipujuk, barulah Dorian bersetuju dengan permintaan Basil. Tetapi sebaik sahaja melihat potret wajahnya yang telah siap, Dorian cuba memusnahkannya.
Lukisan itu terlalu indah sehinggakan Dorian tidak dapat menerima kenyataan. Menurutnya dia akan tua dan hodoh manakala potretnya akan terus muda dan tampan. Basil cuba menghalang niat Dorian itu dan berjaya memujuknya agar menggantungkan potret itu di dalam perpustakaan di rumahnya. Beberapa hari kemudian, beberapa kejadian ganjil telah berlaku. Kelakuan Dorian mula berubah. Dia memutuskan pertunangannya dengan seorang pelakon, Sybil Vane. Lama kelamaan sikapnya semakin buruk. Bekas tunangnya yang terlalu kecewa membunuh diri dengan meminum racun.
Sehari selepas kematian tunangnya, Dorian masuk ke perpustakaan. Sewaktu dia melihat potretnya, satu kejadian aneh telah berlaku. Dia ternampak kedut-kedut halus di sekeliling mulut mulai muncul pada potretnya. Lalu Dorian mengalihkan potretnya ke sebuah bilik di tingkat atas supaya tiada sesiapa dapat melihat potretnya yang semakin hari semakin hodoh dan menyeramkan.
Tahun demi tahun berlalu, kisah mengenai kelakuan buruknya semakin tersebar di kota London. Tetapi mereka berasa terkejut melihat wajah Dorian yang masih tampan dan tidak sedikit pun berubah. Suatu hari, pelukis potretnya, Basil telah berkunjung ke rumahnya untuk melihat lukisan itu. Bagaimanapun Dorian tidak membenarkannya. Tanpa pengetahuan Dorian, Basil berjaya melihat potret lukisannya. Namun dia begitu terkejut apabila melihat dalam potret itu adalah wajah seorang lelaki tua.
Tiba-tiba Dorian masuk ke bilik itu dan menyalahkan Basil kerana melukis potret yang sangat indah daripada wajahnya yang sebenar. Akibat terlalu marah, dia menikam Basil dan tidak semena-mena lukisan potret tangannya berlumuran darah. Selepas kejadian itu Dorian masih meneruskan kelakuan buruknya sehinggalah satu ketika dia jatuh cinta dengan seorang gadis jelita yang baik hati. Dia bertekad untuk kembali ke pangkal jalan.
Memikirkan potret itu mungkin boleh membuka lembaran baru dalam hidupnya, Dorian merenung potret wajahnya. Tapi apa yang dilihatnya hanyalah wajah bengis, sementara darah ditangan lebih merah daripada biasa. Melihatkan keadaan itu Dorian menikam potret itu bertubi-tubi dengan pisau yang digunakan untuk membunuh Basil. Dia yakin dengan menikam potretnya itu, dia boleh memusnahkan kisah silamnya dan memulakan lembaran baru dalam hidupnya. Apa yang berlaku seterusnya tidak diketahui.
Selepas beberapa hari Dorian tidak muncul, pembantu rumahnya mula mencari, sebaik sahaja masuk ke biliknya, seorang lelaki tua dan hodoh ditemui mati dengan pisau tertusuk didadanya. Lelaki berkenaan dikenali sebagai Dorian daripada cincin yang dipakainya. Berhampiran dengan mayat tersebut terdapat sebuah potret dengan wajah Dorian Gray yang masih muda, kacak dan tersenyum mesra.
No comments:
Post a Comment