Ritual kejam itu bermula pada tahun 1600. Di usia 40 tahun, kecantikan Elizabeth Báthory kian pudar. Kulitnya mulai kedut. Walau segala usaha dilakukan, ia gagal menghalang kecantikannya daripada dimamah usia. Suatu hari, seorang gadis pelayan seperti biasa menyikat rambut wanita bangsawan itu. Tidak sengaja dia tertarik kuat rambut Elizabeth. Kerana marah, gadis itu ditampar. Darah dari hidungnya tersembur mengenai tapak tangan Elizabeth. Dari sinilah ritual kejam ini bermula.
Elizabeth percaya darah gadis muda mampu mengembalikan semula kecantikannya. Lantas, dia mengarahkan pengawal untuk menggantung gadis pelayan tadi secara terbalik di atas tab mandian. Nadi gadis itu dipotong. Titisan darah mengisi tab tersebut. Kemudian, Elizabeth masuk ke dalam tab itu bermandi darah. Baginya, dia sudah mendapat jawapan rahsia awet muda yang dicarinya selama ini.
Hari demi hari, seorang demi seorang pelayan istananya dikorbankan demi kepercayaan gila Elizabeth. Apabila pelayan semakin berkurang, dia mula membuka peluang kerja kepada gadis-gadis desa dengan ganjaran wang yang lumayan. Nasib serupa menimpa mereka. Nyawa berakhir di bath-tub Elizabeth. Sesekali, Elizabeth turut meminum darah mangsa-mangsanya. Baginya itu salah satu rawatan untuk 'kecantikan dalaman'. Kegilaan Elizabeth tidak berakhir di situ. Dia mula mahukan darah yang lebih 'berkualiti'. Kali ini dia cuba mendapatkan mangsa dari kalangan gadis-gadis bangsawan kelas bawahan. Dia turut menculik gadis-gadis itu untuk dijadikan korban.
Siapa Elizabeth?
Siapa Elizabeth?
Elizabeth Báthory lahir dalam keturunan bangsawan tinggi Hungary pada tahun 1560. Orang tuanya iaitu Georges dan Anna merupakan bangsawan paling kaya ketika itu. Kalangan keluarga Elizabeth adalah orang berpengaruh, memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran Hungary. Salah seorang bapa saudaranya iaitu Stepehen pernah menjadi raja Poland.
Kehidupan Elizabeth sama seperti gadis bangsawan yang lain ketika itu. Dia dijodohkan dengan suaminya, Ferenc Nadasdy sewaktu berusia 15 tahun. Ferenc yang merupakan seorang askar kerap meninggalkan Elizabeth sendirian kerana bertempur di medan perang. Oleh sebab tu, Elizabeth sentiasa berlaku curang semasa ketiadaan suaminya. Bukan itu saja, wanita ini juga terlibat dalam hubungan sejenis bersama para dayangnya sendiri.
Elizabeth rapat dengan salah seorang pembantunya, Dorka. Pelayan inilah yang berjaya mempengaruhi majikannya untuk terpedaya dengan fahaman satanisme yang dibawanya. Ajaran itu menjadi kepercayaan Elizabeth. Dia mula menyenangi kepuasan yang disusuli dengan seksaan. Akibat kepercayaan ini juga, istana Csejthe yang menjadi tempat tinggal wanita bangsawan itu mula berubah menjadi pusat kekejaman dan penyeksaan seksual. Malah, Elizabeth gembira apabila melihat orang lain menderita. Dia pernah menyeksa pencuri yang dijahit pada badan kuda yang hampir mati dan dibiarkan mereput.
Siasatan bermula
Siasatan bermula
Kehilangan anak-anak gadis bangsawan kelas bawahan mendapat perhatian hingga sampai ke pengetahuan raja. Gyorgy Thurzo, seorang pegawai tertinggi kerajaan diarahkan untuk menyiasat. Lebih 300 saksi dipanggil untuk memberi keterangan. Menurut saksi, kebanyakan mangsa Elizabeth adalah anak gadis petani yang diumpan wang lumayan untuk bekerja di istananya. Manakala anak gadis bangsawan yang dihantar ke istananya untuk belajar etika kehidupan turut menjadi korban. wanita itu menggunakan pelbagai cara kejam untuk menyeksa mangsa-mangsanya sehingga mati. Selain dipukul. dia turut membakar dan menggigit bahagian tubuh mangsa. Mereka didera dan dibiarkan mati dalam kesejukan dan kelaparan.
Saksi-saksi kejadian mendakwa telah melihat banyak kesan penderaan pada badan mayat yang ditemui. Ada juga saksi yang mengaku pernah melihat sendiri kekejaman Elizabeth mendera dan membunuh beberapa orang pelayannya. Elizabeth tidak bergerak sendirian. Dia mempunyai sumber untuk mendapatkan mangsanya. Namun, 'pembekal' mangsanya itu tidak pernah ditangkap. Kekejaman Elizabeth telah menjadi buah mulut penduduk tempatan. Mereka menggelarnya 'puntianak' kerana suka minum darah mangsanya.
Tahun 1610, sepasukan tentera menyerbu istana Elizabeth. Terkejut dengan apa yang disaksikan, mereka melihat seorang gadis yang pucat kehabisan darah di atas meja makan. Manakala seorang gadis lagi telah tinggal nyawa-nyawa ikan, terikat pada tiang dengan urat nadinya disiat hampir putus. Elizabeth dan empat pembantunya ditahan lalu dibicarakan. Kekejaman wanita itu telah mengorbankan 650 nyawa demi tuntutan nafsu anehnya.
Walaupun didapati bersalah, pengaruh keluarga bangsawan membuat Elizabeth terlepas daripada hukuman berat. Empat pembantunya pula dijatuhi hukuman mati. Wanita itu hanya dikurung di dalam istananya. Elizabeth dikunci dalam sebuah bilik sempit yang hanya mempunyai ruang kecil untuk pengudaraan dan sebuah lubang untuk tempat meletakkan makanan. Hiduplah 'puntianak bangsawan' itu menghabiskan sisa usia sehingga tahun 1614, Elizabeth didapati telah mati dalam bilik tersebut pada usia 54 tahun.
Mayat Elizabeth pada mulanya disemadikan di gereja Csejthe, namun orang awam menentang kehadiran pembunuh kejam itu disitu. Akhirnya, mayat Elizabeth dialihkan ke tempat lahirnya di Ecsed, di mana dia disemadikan dalam makam keluarganya. Kisah kekejaman wanita ini pernah difilemkan pada tahun 2008 berjudul Báthory. Bahkan nama Báthory juga seakan menjadi ikon dalam satanic (pemujaan syaitan) dan sering digunakan dalam klip video underground, menyelitkan babak bermandi darah mirip kelakuan wanita paling kejam itu.
No comments:
Post a Comment