Friday, January 23, 2015

Misteri The Blair Witch Project



Masih ingatkah anda akan filem seram The Blair Witch Project di mana tiga orang pelajar filem yang cuba membongkar kisah legenda puaka ahli sihir yang bernama Blair yang menjadi penunggu hutan Burkittsville di Maryland? Ketiga-tiga pelajar yang terlibat dalam projek itu Michael William, Heather Donahue dan Joshua Leonard telah dilaporkan hilang.




Walaupun filem The Blair Witch Project merupakan filem rekaan semata-mata, namun terdapat peristiwa-peristiwa yang digambarkan di dalam filem tersebut sememangnya berlaku dalam kehidupan sebenar. Dalam tempoh lima tahun, 10 orang telah dilaporkan hilang di kawasan berhampiran Green Mountains Vermont. Pendudduk-penduduk tempatan mengatakan kawasan di hutan itu dipercayai berhantu dengan bayang-bayang pelik dan menyeramkan.

Pada 12 November 1945, Middie Rivers, 74, seorang pemburu berpengalaman sedang mengetuai sekumpulan lelaki untuk berburu di kawasan pergunungan Glastenbury di Vermont, New England. Dalam perjalanan pulang melalui lereng gunung tersebut, Rivers yang berada jauh di hadapan tiba-tiba hilang. Jejaknya tidak dapat dikesan. Pasukan penyelamat melakukan gerakan untuk mencari Rivers namun menemui jalan buntu. Yang ditemui hanya katrij peluru yang masih bersisa berdekatan sungai. Anehnya, kemana Rivers menghilang? Adakah masih hidup atau mati? Sukar sekali untuk mengatakan Rivers sesat kerana dia begitu arif dengan laluan di kawasan tersebut. 

Semasa kehilangan Rivers masih menjadi bualan, setahun kemudian iaitu pada tarikh 1 Disember 1946, seorang pelajar perempuan tahun dua di Kolej Bennington pula didapati hilang di pergunungan tersebut. Paula Wedden, 18, didapati hilang semasa sedang mendaki berseorangan. Anehnya, Paula mendaki di laluan yang disediakan. Malah, ada pendaki yang nampak kelibatnya berada dihadapan mereka pada jarak lebih kurang 100 kaki. Namun ketika pendaki itu sampai di selekoh yang sebelum itu turut dilalui Paula, kelibat gadis itu tidak lagi kelihatan. Pencarian dilakukan, bahkan turut mendapat bantuan agensi FBI, termasuk tawaran sebanyak lima ribu dolar untuk sesiapa yang berjaya menemui Paula. Namun, jangankan mayat, jejak gadis itu juga tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini.


Paula hilang ketika mendaki

Misteri kehilangan masih terus berlaku. Tiga tahun setelah Paula hilang, seorang lelaki tua bernama James E Tetford pula menerima nasib yang sama. Ia berlaku pada 1 Desember 1949, sewaktu Tetford dalam perjalanan pulang ke Bennington setelah melawat saudaranya di Alabama. Tetford pernah berkhidmat sebagai tentera dan tinggal di Soldier's Home di Bennington dikatakan tidak pernah turun dari bas apabila sampai di destinasinya. Pihak polis melaporkan beg dan barang miliknya masih ada didalam bas tersebut. Kehilangan Tetford menimbulkan misteri dan tanda tanya.

Misteri ini masih belum berakhir, pada 12 Oktober 1950, seorang kanak-kanak pula didapati hilang. Paul Jepson yang berusia lapan tahun mengikut ibunya menaiki truk. Ibunya berhenti seketika dan meninggalkan Paul di dalam truk sementara dia turun untuk memberi makan haiwan ternakan. Sejam kemudian apabila dia kembali ke truk, didapati Paul telah hilang. Jepson yang berjaket merah tidak berjaya ditemui di dalam hutan. Bahkan anjing pengesan yang mengikut jejak Paul juga terhenti di jalan raya dan gagal mengesan jejak seterusnya.

Misteri kehilangan mangsa-mangsa di atas berlaku di pekan Bennington di bahagian selatan daerah Vermont, Amerika Syarikat. Dikawasan ini juga terletak gunung Glastenbury yang terkenal dikalangan pendaki. Kesemua mangsa yang hilang secara misteri berdekatan kawasan pergunungan ini juga merupakan penduduk tempatan Bennington. Disebabkan itu, kawasan tersebut digelar 'Segi tiga Bennington' yang menggambarkan sebuah wilayah yang menyebabkan kehilangan misteri terhadap mangsa-mangsanya. 

Segelintir penduduk asli di kawasan tersebut percaya, kawasan segi tiga Bennington selalu 'menghilangkan' manusia itu adalah kawasan terkutuk yang dipenuhi kuasa jahat. Pelbagai andaian dibuat terhadap misteri kehilangan mangsa disini. Tak kurang juga yang mengaitkan kejadian ini dengan penculikan dan pembunuhan berantai. Walaubagaimanapun, tiada bukti kukuh untuk dakwaan ini. Apa yang pasti, sehingga kini pergunungan ini tetap menjadi kunjungan pelancong dan pendaki, termasuklah pengkaji paranormal untuk mengkaji misteri yang dikaitkan dengan Bennington.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...