Pasukan polis Los Angeles melalui titik hitam apabila menghadapi suatu kes pembunuhan yang masih belum terungkai sehinggalah ke hari ini. Kes yang menjadi tabu dalam pasukan polis ini melibatkan pembunuhan ngeri seorang wanita yang diberikan jolokan, Black Dahlia. Pada 15 Januari 1947, seorang suri rumah, Betty Bersinger menjumpai sekujur mayat wanita muda ketika sedang bersiar-siar bersama-sama anaknya yang berumur tiga tahun di kawasan lapang sebuah taman di Liemert Park, Los Angeles. Mayat tersebut ditemui terbaring di dalam semak. Tubuhnya dikerat dua, terpisah dari bahagian pinggang tanpa seurat benang. Manakala sebahagian lagi, kedua-dua belah tangannya di letakkan di bawah kepala seolah-olah seperti sedang beraksi dalam sesi fotografi.
Kepala mayat mendongak setinggi 45 darjah. Wajahnya dikelar-kelar dari hujung bibir hingga pipi sepanjang lima sentimeter. Terdapat kesan lebam kelihatan pada bahagian buku lali mangsa. Kedua-dua belah kakinya terkangkang. Pada pergelangan tangan mangsa terdapat kesan tali dipercayai mangsa telah diikat dan dibelasah sebelum dibunuh. Di bahagian paha mayat kelihatan torehan jelas susunan abjad 'BD'. Dua detektif Harry Hansen dan Finis Brown dikerah untuk merungkai kes ini. Bahagian forensik bertungkus lumus mencari bahan-bahan bukti seperti darah dan cap jari tetapi hampa. Pihak polis telah membuat andaian, mangsa telah dibunuh setelah dicampak ke situ. lebih merumitkan struktur tubuh mangsa yang terbelah dua itu telah pun dicuci sebelum dihumban ke taman berkenaan.
Media memainkan peranan penting dalam kes Black Dahlia |
Selain itu, pihak polis turut membuat andaian bahawa pembunuh adalah seorang yang pakar membuat kerja-kerja pemotongan. Mangsa telah dibawa ke hospital dan dibedah siasat. Mangsa dicam dan dikenali sebagai Elizabeth Short, dilahirkan pada 29 Julai 1924 di Hyde Park, Massachusetts. Pada tahun 1940-an, hubungan media dan polis begitu akrab. Pihak polis menggunakan bantuan alatan pembesar cap jari daripada akhbar. Secara tidak langsung, akhbar menerima maklumat tunjang daripada pihak polis dan peluang ini dijadikan sebagai scoop berita untuk mensensasikan kes ini.
Akhbar Examiner menggunakan kelebihan ini untuk menjejaki ibu kepada Elizabeth dan mendapatkan maklumat lanjut semasa hayatnya. Untuk mengorek rahsia, pihak akhbar terlebih dahulu memberitahu ibunya yang Elizabeth baru saja memenangi peraduan ratu cantik. Selepas ibunya selesai bercerita tentang anaknya, barulah pihak akhbar memberi pengkhabaran tragis yang menimpa anak gadisnya. 'Kecantikan Seks & kekejaman'. Begitulah tajuk berita yang terpampang didada-dada akhbar di seluruh negara keesokan harinya. Siasatan demi siasatan dijalankan untuk mencari pembunuh gadis cantik ini. Apakah motif pembunuhan? Pihak polis masih buntu. Setelah menyiasat, barulah satu demi satu kisah Black Dahlia didedahkan.
Black Dahlia merupakan nama jolokan Elizabeth Short, seorang gadis kampung yang berhijrah ke Hollywood untuk menjadi anak wayang. Dia tinggal dengan bapanya di restoran California dan bekerja sebagai pelayan. Namun selepas beberapa bulan tinggal dengan bapanya, Elizabeth keluar dari rumah. Lampu neon kota Hollywood dan tubuh yang cantik menjadikan gadis ini lupa diri. Black Dahlia mula berpeleseran dan berpoya-poya di kelab-kelab malam untuk berhibur dan menghabiskan wang lelaki-lelaki yang dikenalinya. Susuk tubuhnya seakan seorang wanita yang matang dengan kulit putih mulus menjadikan gadis ini kegilaan lelaki-lelaki hidung belang di kelab-kelab malam. Elizabeth diberi jolokan Black Dahlia kerana gadis ini dikatakan sering mengenakan busana bewarna hitam. Rambut asal yang bewarna perang juga diwarnakan hitam.
Akhirnya pada Disember 1944, Black Dahlia menghentikan tabiat playgirlnya selepas bertemu cinta dengan Matt Gordon, seorang tentera udara berpangkat mejar. Tetapi pada bulan Ogos 1945, ketika perang Amerika-Jepun tamat, Matt yang bertugas dilaporkan terbunuh dalam nahas kapal terbang. Selepas kematian cintanya, Black Dahlia kembali menjadi liar dan hilang arah tuju. Dia merancakkan semula kehidupan di kelab-kelab malam dan menghabiskan wang jantan-jantan miang di Miami. Sasarannya, askar, ahli perniagaan, lelaki tua atau muda, yang penting mereka semua berduit. Enam bulan sebelum hari-hari terakhirnya, Black Dahlia hilang punca dalam hidupnya. Dia keluar masuk hotel, apartment dan bilik-bilik sewa di California. Selagi boleh menginap secara percuma, Black Dahlia akan tidur. Pernah sekali Black Dahlia tinggal di sebuah rumah bersama 12 wanita lain.
Gadis ini sering bertukar bertukar pasangan setiap malam, selain tidak mempunyai teman rapat, dia rela diusung orang-orang asing ke hulu ke hilir. Situasi ini merumitkan pihak polis membuat siasatan terhadap kematian Black Dahlia. Lebih seribu orang disoal siasat dan berpuluh-puluh suspek ditahan, tetapi tiada satu pun yang dapat merungkaikan kes ini. Individu terakhir yang dikatakan bersama Black Dahlia turut disoal siasat serta menjadi suspek utama polis. Malangnya, tiada satu pun bukti yang dapat mengaitkan Robert Manley sebagai pembunuh kerana beliau hanyalah salah seorang jantan-jantan poyo yang mahu berasmara dengan Black Dahlia.
Lebih 40 anggota dikerahkan untuk membantu siasatan kes ini. Polis menyerbu beberapa buah rumah yang disyaki untuk mencari bahan bukti. Parit-parit besar, kedai dobi layan diri, tong-tong sampah digeledah namun usaha ini gagal. Apabila kes ini seakan tidak berpenghujung, akhbar Examiner dikejutkan dengan kehadiran bungkusan yang memuatkan gambar-gambar Black Dahlia, sijil kelahirannya, kad keselamatan sosial, surat pengesahan kematian kekasihnya, Matt Gordon serta petunjuk baru. 75 nama lelaki lengkap bersama alamat. Pengirimnya tidak diketahui. Polis segera memanggil dan menyiasat kesemua 75 orang, namun usaha ini turut gagal serta menemui jalan buntu. Deretan nama-nama lelaki ini hanyalah beberapa kali saja menemui Black Dahlia. Tiada motif dapat dibuktikan untuk membawa mereka ke muka pengadilan.
Akhirnya kes Black Dahlia tiada berpenghujung. Tidak ada lagi pihak yang tampil untuk membantu siasatan melainkan beratus-ratus surat cemuhan dan usikan yang dihantar kepada jabatan polis Los Angeles. Kes Black Dahlia telah menjadi inspirasi kepada berpuluh-puluh novel, pembuat filem dan memberi inspirasi kumpulan muzik tetapi malangnya pembunuh Black Dahlia sehinggalah sekarang atau mungkin juga sudah lama menemui ajalnya tanpa diadili undang-undang! Kes Black Dahlia terus diselubungi misteri!
No comments:
Post a Comment