Sunday, January 25, 2015

Roh Zona muncul ceritakan punca kematiannya


Di rumah inilah mayat Zona ditemui

Bulan Oktober tahun 1896, bibit percintaan mula bersemi antara seorang gadis dan pemuda yang datang menetap ke bandar Greenbrier di bahagian barat Virginia, Amerika Syarikat. Gadis tempatan itu bernama Elva Zona Heaster. Manakala pemuda yang bekerja sebagai tukang besi itu adalah Erasmus Stribbling Trout Shue yang juga dikenali sebagai Edward. Sekelip mata jatuh cinta, Pasangan itu mengambil keputusan berkahwin, walaupun hubungan itu ditentang hebat oleh Mary Jane Heaster, ibu Zona. Jauh di sudut hati, Mary merasakan Edward bukan seorang lelaki yang baik.


Mary Jane Heaster


Tidak sampai tiga bulan hidup bersama, satu tragedi menimpa pada tanggal 23 Januari 1897. Seorang budak lelaki yang datang ke rumah pasangan itu setelah disuruh Edward untuk melihat isterinya, dikejutkan dengan penemuan mayat Zona yang terbaring kaku di kaki katil. Budak itu berlari pulang memberitahu ibunya tentang Zona, lalu si ibu menghubungi Dr. George W. Knapp. Hanya sejam kemudian, baru doktor itu tiba di rumah Zona. Ketika itu, Edward sudah pulang. Dia telah mengangkat mayat isterinya dan dibaringkan di atas katil. Dia turut membersihkan, dan menukarkan pakaian Zona, memakaikan mayat isterinya dengan gaun berkolar tinggi. Edward terus memangku leher Zona dan menangis teresak-esak saat Dr. Knapp menjalankan pemeriksaan ke atas mayat itu. Namun, apabila hendak memeriksa bahagian leher dan kepala mayat, ia terhalang kerana tindakan Edward yang tidak mahu berenggang daripada mayat isterinya.

Keesokannya, mayat Zona sedia untuk dikebumikan. Namun, tingkah laku Edward agak pelik. Dia sentiasa berdiri di samping keranda Zona dan tidak membenarkan pelawat datang terlalu dekat dengan keranda. Dia turut menyangga kepala mayat isterinya dengan bantal. Edward turut menutup bahagian leher mayat itu dengan mengikatkan sehelai selendang yang tidak sesuai. Bila ditegur, Edward berkeras mengatakan itu adalah selendang kegemaran isterinya. Tetapi tidak bagi Mary, ibu Zona. Sejak dari awal, naluri keibuannya kuat mengatakan ada sesuatu tidak kena dengan kematian anaknya. Apatah lagi sewaktu membasuh kain pelapik keranda, Mary terhidu bau yang kurang menyenangkan. Air basuhan dalam besen bertukar kemerahan seketika sebelum jernih semula.

Kejadian pelik itu meyakinkan hati Mary bahawa Zona sebenarnya telah dibunuh. Lalu, setiap malam Mary akan berdoa meminta anaknya 'kembali' untuk menceritakan perkara yang sebenar. Empat minggu kemudian, doa Mary dijawab. Zona hadir dalam mimpi Mary empat malam berturut-turut. Dalam mimpi itu, Zona menceritakan bahawa dia telah diseksa oleh Edward. Pada malam sebelum kematiannya, berlaku pertengkaran hanya kerana berang dengan masakan Zona, Edward menyerang dan memusing leher isterinya hingga patah dan menemui ajal.

Mayat digali semula

Hanya berdasarkan penceritaan daripada 'roh' anaknya, Mary bersungguh-sungguh meyakinkan John Alfred Preston, seorang pendakwa untuk membuka kertas siasatan baru. Walaupun teragak-agak dan belum dibuat dakwaan berdasarkan kejadian yang diceritakan oleh 'hantu', namun Preston setuju membantu. Dr. Knapp dipanggil semula dan mengakui dia tidak dapat menjalankan pemeriksaan lengkap pada mayat Zona kerana tingkah laku Edward yang tidak mahu melepaskan mayat isterinya ketika itu. Lantas, Preston mendapatkan arahan agar mayat Zona digali semula untuk dilakukan autopsi menyeluruh. Pada 22 Februari 1897, mayat Zona dikeluarkan walaupun ditentang oleh Edward.

Hasil pemeriksaan mendapati, leher Zona mengalami kecederaan parah. Ligamennya koyak dan pecah. Pada bahagian kerongkongnya, terdapat bekas jari menandakan dia turut dicekik. Berdasarkan hasil autopsi, ditambah dengan cerita jiran tetangga tentang kelakuan pelik sewaktu pemakaman Zona, akhirnya lelaki itu ditahan dan dihadapkan ke muka pengadilan atas tuduhan membunuh isterinya.

Sewaktu Edward dalam tahanan menanti perbicaraan, siasatan terus dilakukan terhadap masa silamnya. Didapati Edward pernah berkahwin dua kali sebelum itu. Perkahwinan pertama berakhir dengan penceraian. Bekas isterinya menceritakan, Edward seorang yang kejam dan suka mengasarinya. Perkahwinan kedua pula hanya bertahan kurang dari setahun apabila isterinya mati dalam keadaan misteri.

Atas segala bukti dan fakta yang berjaya dikumpulkan, Preston berjaya mengaitkan penglibatan Edward dengan kematian Zona. Setelah mendengar segala keterangan, para juri sepakat mendapati Edward bersalah, lalu menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat. Edward menemui ajal dalam penjara pada September 1916 angkara wabak penyakit yang menyerang pada zaman itu. Kes ini mendapat liputan meluas kerana untuk pertama kalinya disebut dalam perbicaraan tentang 'hantu' yang membantu merungkaikan kematian tersebut. Malah, kerana bantuan 'hantu' juga, pesalah akhirnya berjaya didakwa dan dijatuhi hukuman.


Tempat persemadian Elva Zona Heaster

Tanda peringatan yang didirikan untuk memperingati kes Zona


Kerana itu, satu penanda peringatan telah didirikan berhampiran kubur Zona. Pada papan tanda itu tertulis kisah Zona, gadis yang ditemui mati pada tahun 1897 sebelum rohnya muncul dalam mimpi ibunya, memberitahu tentang perbuatan suaminya yang kejam. Kisah Zona turut dikenali dengan julukan The Greenbrier Ghost.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...