Tuesday, January 27, 2015

Kereta berhantu tagih nyawa



Tragedi tidak diduga ini bermula pada pagi 28 Jun 1914. Pasangan diraja, Franz Ferdinand bersama isterinya ditembak mati sewaktu berada di dalam kereta ketika sedang mengadakan kunjungan ke Sarajevo yang ketika itu merupakan wilayah dalam kekuasaan Austria. Franz merupakan pewaris raja Austria-Hungary. Kematiannya telah menyebabkan pengisytiharan perang oleh Austria terhadap Serbia yang akhirnya mencetuskan Perang Dunia Pertama. Namun, bukan kisah Franz yang hendak diceritakan, tetapi kereta berkapasiti enam penumpang yang dipandu sewaktu ajalnya tiba. Sejak kali pertama meragut nyawa bangsawan diraja itu, kereta ini terus menagih mangsa.

Kereta ini dibina pada tahun 1910. Ia direka khas dengan bumbung terbuka untuk kegunaan keluarga diraja. Asalnya ia dimiliki oleh Count Franz Von Harrach, seorang pegawai dalam pengangkutan tentera Austria. Pada hari kejadian, kereta yang asalnya berwarna merah itu dipinjamkan untuk kegunaan pasangan diraja itu melawat Sarajevo. Selepas kematian Franz, kereta itu digunakan oleh seorang jeneral Austia. Malang mula menimpanya. Bukan saja mendapat malu kerana tenteranya kalah dalam medan peperangan, jeneral itu mengalami masalah mental dan mati dalam keadaan gila.

Kemudian, kereta itu diambil oleh seorang kapten ketenteraan. Sewaktu sedang memandu, dia telah melanggar dua orang petani dan menyebabkan keretanya terbabas dan merempuh pokok. Ketiga-tiga mereka menemui ajal. Kereta itu telah berpindah kepada pemilik baru iaitu seorang Gabenor Yugoslavia. Semasa dalam tempoh menggunakan kereta tersebut, gabenor itu telah mengalami empat kemalangan berasingan yang turut mengorbankan sebelah lengannya. Akhirnya dia tidak mahu terus menyimpan kereta itu kerana berpendapat ia telah 'disumpah' dan sesiapa yang menggunakannya akan mendapat musibah.

Temannya Dr. Srikis tidak percaya lalu membeli kereta itu. Hanya dalam tempoh enam bulan menggunakannya, doktor itu terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kereta itu terbalik lantas meragut nyawanya. Seorang peniaga barang kemas yang kaya raya kemudian membeli kereta itu. Pun tidak lama apabila kemudiannya dia membunuh diri. Sekalipun dikaitkan dengan 'badi', kereta itu masih menggamit pembeli. Pemilik baru, seorang pelumba kereta berbangsa Swiss. Dia turut kemalangan dalam satu perlumbaan ketika memandu kereta tersebut. Dia menemui ajal apabila tubuhnya tercampak keluar lalu terhentak pada dinding batu.

Tidak lama untuk kereta itu berehat apabila mendapat pemilik baru, seorang petani berbangsa Serbia. Kerana kereta itu ada masalah untuk dihidupkan, dia mahu menunda kereta itu untuk dibaiki. Entah bagaimana tiba-tiba kereta itu tersengguk-sengguk lalu meluncur dan melanggarnya sehingga menyebabkan petani itu terbunuh.

Tiber Hirshfield, merupakan orang terakhir yang menjadi pemilik kereta 'penagih nyawa' itu. Sewaktu pulang dari majlis perkahwinan seorang rakan, Tiber memandu kereta itu. Turut sama empat rakan baiknya. Sewaktu sedang memecut untuk memotong kenderaan lain, tiba-tiba kereta itu hilang kawalan menyebabkan kereta itu berpusing-pusing dan akhirnya berlanggar dan meragut nyawa kesemua lima orang sahabat itu. Satu demi satu kematian yang dikaitkan dengan kereta itu. Akhirnya pihak berkuasa tidak membenarkan lagi kereta itu bertukar pemilik baru. Sebaliknya, kereta itu ditempatkan di sebuah muzium di Vienna untuk pameran.

Jika ada pengunjung yang bertanya bolehkah mereka memanjat naik ke dalam kereta itu, jarang petugas muzium mengizinkan. Jelas petugas itu, kereta itu telah mencetuskan peperangan Dunia Pertama yang telah mengorbankan lebih 20 juta nyawa. Setiap pemiliknya pasti akan ditimpa bencana dan menemui ajal. Kereta masih 'berhantu' dan tidak akan pernah berhenti menagih nyawa jika ada sesiapa yang cuba menaikinya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...