Thursday, February 12, 2015

Lagu Maut ‘Gloomy Sunday’



Pada petang hari Ahad tahun 1933, Reszo Seress, seorang lelaki berketurunan Hungary duduk di hadapan piano di rumahnya sambil merenung langit menerusi kamar jendelanya. Dia melihat awan mendung, mencurahkan butiran hujan lalu membasahi bumi. "Ahad yang suram!" kata Seress.

Baru sebentar tadi Seress bertengkar hebat dengan tunangnya yang membawa kepada perpisahan mereka. Puncanya, tunangnya tidak setuju dengan keinginan Seress yang berazam mahu menjadi seorang pengubah lagu. Bagi si gadis, dia mahu Seress mencari pekerjaan tetap, bukannya meneruskan cita-cita yang tiada jaminan hidup, apatah lagi Seress sudah beberapa kali gagal sebelum apabila kesemua lagu gubahannya tidak pernah berjaya menarik minat para penerbit.

Petang ahad yang disirami dengan titisan hujan bagai meratapi kesedihan hati Seress. Bagaikan mendapat ilham daripada kepedihan hatinya, lantas jari-jemari Seress mula memetik piano, melantunkan melodi yang kedengaran amat menyedihkan, bagai menterjemahkan kekecewaannya. Seress lantas menulis nota lagu itu. Dalam masa 30 minit, lagu dalam bahasa Hungary itu siap dihasilkan. Lalu ia diberi nama Gloomy Sunday bererti Ahad yang suram dan menyedihkan.

Lagu itu kemudian dihantar kepada beberapa penerbit muzik. Tetapi, kesemua penerbit tidak mahu menerima lagu tersebut. Kata mereka, lagu itu terlalu menyedihkan. Namun akhirnya, seorang penerbit bersetuju untuk mencetak dan mengedarkan lagu Gloomy Sunday ke serata dunia dan ini membuat Seress gembira apabila lagu gubahannya diterima. Tetapi kegembiraan Seress tidak lama. 

Beberapa bulan selepas lagu Gloomy Sunday diperdengarkan di merata tempat, mula berlaku perkara aneh yang dikaitkan dengan lagu tersebut. Ramai pendengarnya yang mati, seolah-olah lagu itu membawa kedukaan pada si pendengar lantas menjemput ajal mereka. Di Berlin, seorang lelaki menembak kepalanya setelah mendengar lagu tersebut kerana dikatakan amat tertekan dengan melodi lagu itu yang sukar melupakannya. 


Seorang lelaki dari Berlin menembak kepalanya
setelah mendengar lagu Gloomy Sunday

Tidak lama kemudian di bandar yang sama, seorang wanita ditemui mati tergantung di rumahnya dan polis menemui salinan lagu Gloomy Sunday yang baru dipasang di dalam bilik tidur gadis tersebut. Kemudian, seorang setiausaha di New York juga membunuh diri dan meninggalkan sekeping nota yang meminta agar lagu Gloomy Sunday dimainkan pada hari pengebumiannya. 

Tidak lama selepas itu juga di New York, seorang lelaki berusia 82 tahun membunuh diri dengan melompat daripada tingkat tujuh pangsapurinya setelah memainkan semula lagu maut itu dengan pianonya. Di Rome pula, seorang remaja membunuh diri setelah mendengar lagu itu dengan melompat terjun daripada sebuah jambatan.

Seorang wanita di utara London memainkan lagu itu berpuluh-puluh kali tanpa henti hingga menaikkan kemarahan jirannya. Lantas jirannya mengetuk pintu rumah wanita itu tetapi tiada jawapan. Mereka akhirnya merempuh masuk dan didapati wanita itu sudah meninggal dunia dengan lagu Gloomy Sunday masih terus terpasang. Rupa-rupanya, keanehan lagu itu turut dirasai Seress yang menulis surat kepada bekas tunangnya, merayu agar mereka berbaik semula. Sebaliknya, Seress menerima berita mengejutkan apabila polis memberitahunya bahawa tunangnya telah mati membunuh diri dengan meminum racun. Dan di sisi tunangnya itu terdapat salinan lagu Gloomy Sunday.

Pelbagai kematian yang dikaitkan dengan lagu berhantu ini akhirnya memaksa Perbadanan Penyiaran British mengharamkan untuk memainkan lagu tersebut pada penghujung tahun 1930-an . Malah, Seress yang mencipta lagu tersebut turut membunuh diri selepas terjun dari pangsapurinya pada tahun 1968.


Rezso Seress...pencipta lagu Gloomy Sunday


Wednesday, February 11, 2015

Misteri rumah paling berpuaka di England



Borley Rectory pernah diberi gelaran 'rumah paling berpuaka di England'. Rumah tersebut dikatakan berhantu oleh Harry Price, seorang pemburu hantu pada zaman ketika itu. Selama bertahun-tahun Price menyiasat Borley Rectory, ia menjadi terkenal kerana Price mengalami sendiri pelbagai aktiviti paranormal di rumah tersebut. Terdapat buku yang menunjukkan beberapa gambar rumah dan tulisan yang dikatakan muncul di dinding secara tiba-tiba, yang memberi amaran seperti 'rest' dan 'please get help' kepada wanita bernama Marianne.

Rumah itu dibina pada tahun 1862 oleh Rev Henry Bell untuk didiami isteri dan 14 orang anaknya. Rumah tersebut merupakan sebuah rumah agam era Victoria yang terletak di sebuah perkampungan wilayah Borley, Essex, England. Disebalik pembinaan rumah Borley Rectory pula terdapat satu lagi rumah lain di atas tapak tanah yang ingin dibina oleh Rev Henry Bell yang dimiliki oleh seorang paderi. Rev Henry Bell telah merobohkan rumah paderi itu bagi memberi ruang untuk rumah barunya. Antara perkara lain yang masih menjadi persoalan sama ada bangunan yang dirobohkan itu adalah sebuah tapak gereja lama. Dan terdapat juga kisah tragis tentang hubungan cinta terlarang antara paderi dan rahib berlaku di mana kedua-dua mereka ditemui mati.

Kehadiran makhluk halus

Laporan kejadian paranomal telah dilaporkan kurang setahun setelah rumah itu diduduki. Jelmaan rahib berterbangan dapat dilihat di situ. Rev. Bell Sr. akhirnya meninggal dunia pada tahun 1892 dan anaknya Rev. Harry Bell berpindah ke kediaman di Rectory dengan keluarga dan beberapa adik-beradiknya. Mereka juga telah melihat kelibat lembaga jelmaan rahib di rumah tersebut.

Tulisan misteri di dinding turut disaksikan oleh ramai
pengkaji paranormal dan pengunjung di rumah tersebut


Menyingkap fenomena Borley Rectory

SehinggaIah pada tahun 1928 apabila Rev. Smith dan keluarganya berpindah ke rumah tersebut, perkara-perkara aneh mula terjadi. Kekerapan kejadian pelik dan aneh berlaku menyebabkan keluarga Smiths menghubungi akhbar tempatan untuk mendapatkan bantuan. Wartawan yang bertugas mengendalikan kes itu menghubungi Harry Price dan persatuannya untuk melakukan penyiasatan tetapi Puan Smith merasakan Harry Price adalah individu yang bertanggungjawab di atas semua kejadian aneh yang berlaku.

Keluarga Smiths kemudiannya telah mengambil keputusan untuk berpindah keluar dan tidak lama selepas itu keluarga Foysters pula yang mengambil-alih tinggal di situ. Tetapi kejadian yang lebih pelik berlaku di mana tiba-tiba botol dibaling ke dinding dan tulisan-tulisan aneh muncul di dinding yang ditujukan kepada Puan Foyster. Puan Foyster juga diganggu semasa tidur di tengah-tengah malam dan dicampakkan batu.

Gangguan yang berterusan akhirnya memaksa keluarga Foysters berpindah keluar dari rumah tersebut dan seterusnya Harry Price pula menyewa rumah itu selama setahun. Dia tinggal bersama kumpulan paranormal yang mengkaji kejadian-kejadian aneh yang berlaku di rumah tersebut. Aktiviti paranormal masih berlaku tetapi tidak sekerap kejadian yang berlaku ketika keluarga Foysters masih tinggal di situ. Akhirnya, tempoh menyewa Harry Price pun berakhir dan Rev sekeluarga berpindah masuk pada tahun 1939.

Borley Rectory akhirnya terbakar pada tahun 1939. Sebuah lampu minyak terjatuh lalu menimpa sejumlah kotak sewaktu mereka mengemas rumah dan kejadian ini telah menyebabkan kebakaran yang memusnahkan rumah tersebut. Sebahagian tapak rumah itu masih ada sehinggalah rumah tersebut dirobohkan pada tahun 1944. Harry Price meninggal dunia pada tahun 1948, kejadian paranormal yang menghantui Borely Rectory telah membuatkan Price terkenal dalam dunia Paranormal.


Keadaan Borley Rectory selepas musnah dalam kebakaran 



Sunday, February 8, 2015

Emily penunggu jambatan tua



Stowe, Vermont - merupakan sebuah pekan kecil dalam daerah Lamoille di Amerika Syarikat. Tiada apa yang menarik tentang pekan kecil yang kebanyakannya dihuni kaum peladang. Namun, kisah 'jambatan Emily' banyak mewarnai pekan ini hingga menarik orang luar datang berkunjung. Semuanya mahu tahu kebenaran cerita seorang gadis yang kononnya mati akibat cinta.

Pada tahun 1844, sebuah jambatan kecil dibina di pekan itu. Ia merupakan sebuah jambatan kayu yang mempunyai dinding dan berbumbung sepanjang 49 kaki. Setelah jambatan siap, ia dinamakan sebagai Gold Brook Covered Bridge. Ada juga memanggilnya sebagai Stowe Hollow Bridge. Namun, lama kelamaan nama jambatan ini mula berubah. Ia lebih dikenali sebagai Emily Bridge. Semuanya bermula daripada 'hantu' gadis bernama Emily yang dikatakan menghuni  kawasan jambatan tersebut.

Terdapat pelbagai versi kisah hantu Emily yang diceritakan. Ada yang mengatakan, gadis bernama Emily ini bercinta dengan seorang pemuda, namun tidak direstui keluarga. Mereka mengatur pertemuan di jambatan itu. Tapi harapannya lebur. Pemuda yang dicintainya tidak muncul. Akibat kecewa Emily dikatakan bertindak membunuh diri dengan menggantung diri di jambatan tersebut. 

Versi lain pula, Emily dikatakan sedang bergembira pada hari perkahwinannya. Namun, pengantin lelaki tidak muncul-muncul. Kerana kecewa dan malu, Emily yang memakai gaun pengantin, melarikan diri dengan memecut kereta kuda. Sebaik sampai di jambatan tersebut, Emily gagal mengawal kenderaan yang dipacunya menyebabkan ia terbabas dan terhumban. Emily terbunuh dalam kemalangan itu. Kemudian pelbagai cerita seram mula muncul dan dikaitkan dengan nama Emily. 

Ada yang berkata, mereka mendengar suara jeritan wanita dan bunyi cakaran aneh sewaktu melalui jambatan kayu tersebut. Ada juga yang mendakwa, kenderaan mereka yang di parkir di situ turut diganggu. Mereka mendengar seakan ada lembaga berjalan di atas kenderaan. Ada kalanya, kedengaran ia seperti mencakar-cakar kereta. Tak kurang juga yang bercerita, mereka turut berasa seperti dicakar sesuatu. Suara aneh juga sering kedengaran di jambatan ini. Ada pula yang melaporkan, mereka terlihat bayangan lembaga putih dan lenyap secara tiba-tiba. Semakin lama, kian popular nama Emily - hantu yang kecewa kerana cinta tidak kesampaian dan terus mengganggu pengguna jambatan.

Sebenarnya, tiada bukti kukuh yang menyokong kisah Emily. Tiada hitam putih menyatakan kewujudan gadis itu. Bahkan, tidak ada kisah hantu menyelubungi jambatan tersebut sehinggalah pada tahun 1960-an. Nama hantu itu hanya muncul pada tahun 1968. Kali pertama jambatan itu dikatakan berhantu apabila seorang pelajar sekolah tinggi bernama Susan menulis kisah Emily, entiti yang 'berborak' dengannya di jambatan itu menggunakan papan Ouija. Menurut Susan, hantu tersebut memperkenalkan diri sebagai Emily dan menceritakan ia dibunuh di situ oleh ibu tunangnya.

Apabila Susan menulis kisah tersebut dalam akhbar sekolahnya, ia serta merta-merta jadi popular dan merebak dengan cepat. Malah, kisah itu antara terhangat pernah dipaparkan dalam penulisan berita sekolah tersebut. Namun, muncul pula cerita daripada penduduk asal pekan yang mengatakan, kisah Emily sebenarnya sudah wujud sejak awal tahun 1950-an, iaitu sebelum Susan menulis dan menjadikannya popular. Malah, sewaktu Susan ditemu ramah pada tahun 2012 tentang legenda Emily yang pernah ditulisnya, dia mengakui telah mendengar kisah Emily sebelum menulisnya. Lantas dia mendapat idea untuk menulis kisah itu dengan cara menggunakan papan Ouija sebagai sumber penulisan. Dan taktik itu menjadi. Kisah hantu jambatan Emily meletup, jadi bualan orang ramai.


Terdapat gangguan di jambatan itu menyebabkan
penduduk enggan melalui jambatan itu pada waktu malam

Walaupun tiada bukti yang mengesahkan kisah Emily dan hanya dikatakan sebagai dongeng, namun hingga kini orang masih memperkatakan tentang gangguan di jambatan itu. Malah, penduduk enggan melalui jambatan itu pada waktu malam. Para pengkaji paranormal juga pernah datang ke jambatan yang diiktiraf sebagai National Register of Historic Places pada tahun 1974. Tetapi mereka tidak menemui sebarang entiti. Mungkin Emily tidak ada mood hendak mengusik mereka. Atau mungkinkah yang mengganggu itu bukan Emily, tapi entiti lain?



Friday, February 6, 2015

Sumpahan anak patung Mandy


Anak patung Mandy dikunci di dalam kotak khas secara
bersendirian supaya tidak mengganggu patung lain

Bagi sesiapa yang pernah berkunjung ke Muzium Quesnel di British Colombia, Kanada, anak patung berpakaian gaun putih yang diletakkan di dalam sebuah bekas kaca di ruang pameran muzium itu pasti mencuri perhatian. Kurator muzium berkenaan, Ruth Stubbs memberitahu, awalnya anak patung yang digelar dengan nama Mandy itu tidak mempunyai kedudukan tetap dan ditempatkan dibahagian pintu masuk utama bersama artifak bersejarah lain yang rata-rata terdiri daripada patung lama.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, kedudukannya terpaksa diubah kerana ia dikatakan mengganggu patung-patung berkenaan. "Kini, ia dikunci di dalam sebuah bekas kaca khas dan diletakkan di ruang berlainan secara bersendirian bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku," kata Stubbs. Pun begitu, Mandy dikatakan tidak suka dibiarkan bersendirian dan membuat perangai bagi melepaskan kemarahannya.


Misteri kisah anak patung Mandy telah menarik perhatian ramai
ahli pengkaji aktiviti paranormal dari seluruh negara

"Kakitangan muzium menemui kertas bertaburan di atas lantai di dalam bilik ia dikurung. Dari mana kertas itu datang pun kami tidak pasti. Mandy juga dikatakan suka bermain dengan barangan elektrik sehingga rosak tanpa diketahui puncanya." cerita Stubbs lagi.

Suara menangis

Selain itu, kata Stubbs, ada beberapa pengunjung yang mendakwa, berasa sedih dan kurang senang apabila berada berdekatan dengan Mandy. "Mereka berasa seperti sedang diperhatikan. Ada yang mengatakan pernah ternampak Mandy mengerdipkan kedua-dua belah matanya. Jari dan kepalanya juga pernah dilaporkan kelihatan bergerak sendiri dan ia benar-benar menyeramkan," ujarnya.

Anak patung yang diperbuat daripada porselin itu dipercayai dihasilkan di England atau Jerman sekitar tahun 1910 hingga 1920-an dan didermakan kepada Muzium Quesnel pada tahun1991. Sejak itu, kisah misteri anak patung Mandy menarik perhatian ramai ahli pengkaji paranormal dari pelbagai pelosok negara untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman berdepan dengan anak patung berpuaka itu.

Pemilik terakhir Mandy, Mereanda berkata, dia terpaksa menyerahkan anak patung itu kepada muzium berkenaan selepas tidak tahan kerana sering diganggu dengan suara kanak-kanak perempuan menangis pada setiap malam. "Suara itu datang dari bilik bawah tanah di rumah saya. Gangguan itu hilang selepas Mandy diletakkan di situ (muzium) tetapi ia kini dikatakan menghantui muzium itu pula," katanya.

Anak patung Mandy kini ditempatkan
di Muzium Quesnel di British Colombia, Kanada


Berdasarkan legenda, anak patung antik yang berusia lebih 100 tahun itu dipercayai dimiliki oleh seorang kanak-kanak perempuan.

Kejadian menyeramkan

Pada suatu hari, kanak-kanak itu bermain dengan anak patung itu di dalam sebuah bilik bawah tanah di rumahnya. Bagaimanapun, dia terperangkap di dalam ruang sempit itu dan mati bersama-sama patung mainan kesayangannya itu. Roh kanak-kanak itu kemudiannya dikatakan masuk ke dalam tubuh anak patung itu. Menurut cerita penduduk tempatan, rumah itu ditinggalkan kosong selama beberapa tahun kerana tiada sesiapa yang berani mendudukinya.

Kata seorang penduduk, Kyle, penduduk setempat sering terdengar suara kanak-kanak perempuan menangis di rumah itu, namun apabila diperiksa, mereka hanya menemui sebuah anak patung. "Bajunya kotor manakala wajahnya terdapat kesan rekahan yang agak besar. Ketika dijumpai, ada penduduk yang ingin mengambil untuk dijadikan patung permainan buat anak-anak mereka tetapi lain jadinya apabila mereka sering diganggu dengan pelbagai kejadian aneh dan menyeramkan.

"Mereka terdengar bunyi derapan kaki berlari-lari di dalam rumah, suara kanak-kanak menangis dan macam-macam lagi. Gangguan itu hanya akan hilang jika anak patung Mandy dibuang daripada simpanan," jelasnya.



Thursday, February 5, 2015

Ouija Board, alat pemanggil roh si mati




'The Spirit of The Coin' juga dikenali sebagai 'Ouija Board' merupakan salah satu cara untuk menjalankan aktiviti spiritual iaitu dengan memanggil roh si mati dari alam ghaib. Perkataan ‘Ouija’ dipetik dari bahasa Jerman dan Perancis yang bermaksud ‘Ya’ - Oui dan Ja. Papan ‘Ouija Board’ terdiri daripada pelbagai jenis dan bentuk tetapi kebiasaannya ia berbentuk papan datar yang mempunyai huruf-huruf abjad,satu siri nombor, beberapa tanda banca, perkataan ‘YA’ dan ‘TIDAK’ serta ‘SELAMAT TINGGAL’. 

Orang yang menggunakan Ouija Board akan meletakkan tangan mereka tangan mereka di atas satu penunjuk dan soalan akan diberikan kepada roh. Seandainya komunikasi itu berjaya, penunjuk akan bergerak ke huruf-huruf abjad di papan Ouija sebagai memberi respon kepada pemain Ouija Board.

Digelar “The Mysterious Talking Oracle“, Ouija Board menjadi kegilaan masyarakat barat pada pertengahan abad ke - 19. Ini berikutan dengan minat orang ramai yang ingin menyiasat alam paranormal. Ia kerap digunakan oleh amatur-amatur yang ingin mencuba dan menghubungi roh-roh si mati terutamanya ditempat yang berlakunya bencana dan kes pembunuhan. Kajian saintifik telah dijalankan ke atas papan tersebut dan hasilnya jawapan yang diberikan oleh roh si mati hampir sama dengan sesuatu kejadian.

Ramai ahli psikik memberi pendapat adalah bahaya menggunakan Ouija Board kerana pemain papan tersebut bukan sahaja berjaya berkomunikasi dengan roh si mati tetapi juga dengan entiti yang tidak dikenali. Malah,ramai mendakwa bahawa papan Ouija Board sendiri adalah berhantu.

Rayuan roh si mati 


Pada 11 tahun yang lalu, terdapat satu kisah tentang Ouija Board yang pernah berlaku di Amerika Syarikat. John yang meminati perkara-perkara misteri mencadangkan kepada rakan-rakannya, Gareth, Andrea dan Suzanne bermain Ouija Board. Lalu John mengambil Ouija Board yang telah lama tidak digunakan di dalam stor rumahnya.

Kesemua lampu dipadamkan kecuali lampu meja yang di kelilingi oleh John serta rakan-rakannya. Setelah jari diletakkan pada alat penunjuk, suasana sunyi sepi, yang didengari hanya lah bunyi kenderaan yang lalu di hadapan rumah. Masing-masing menumpukan penuh perhatian kepada alat berkomunikasi dengan roh itu. John mula bertanya kepada roh-roh yang mungkin  ada di sekeliling mereka. “Ada sesiapa di sana?,” petunjuk Oujia tidak beranjak.



Selepas beberapa kali mencuba, tiba-tiba alat penunjuk beranjak perlahan-lahan ke arah YA. “Siapa kamu?” soal John, penunjuk di jari John dan rakan-rakannya mula bergerak perlahan-lahan, J-A-M-E-S, “ apa yang kamu mahu,” John menyoal lagi. T-O-L-O-N-G, C-A-R-I, S-A-Y-A. “ Kamu di mana?” penunjuk Ouija tidak bergerak semula.

Memandangkan  masih banyak lagi maklumat yang perlu di cungkil dari roh berkenaan, jadi John serta rakan-rakannya mencuba sekali lagi untuk berkomunikasi dengan roh tersebut pada minggu berikutnya. Mereka yakin dapat menghubungi roh berkenaan. Setelah memanggil roh tersebut, alat penunjuk mula bergerak. “Adakah awak James?”, John bertanya. “YA”.  “Kamu di mana?” soalnya lagi. P-A-N-T-A-I, W-E-S-T-B-A-Y, S-A-Y-A, S-U-D-A-H, M-A-T-I. John serta rakan-rakannya terkejut lantas menarik tangan masing-masing dari penunjuk Ouija. Perasaan seram mula menyelubungi mereka.

Setelah bersepakat untuk mengetahui kebenaran tentang Ouija Board, John dan rakan-rakannya bersetuju untuk mencari mayat James di pantai West Bay, Bridport. Kerja mencari dimulakan pada waktu tengah hari kerana pantai lengang ketika itu dan memudahkan John dan rakan-rakannya mengesan James tanpa ada sesiapa mengesyaki.

John dan rakan-rakannya berpecah kepada dua kumpulan. Semasa mencari,  Gareth telah merenung pada satu batu besar di pantai tersebut, Gareth berasa ada sesuatu yang ganjil pada batu tersebut. Tanpa membuang masa, batu-batu kerikil di bawah dan sekitar batu berkenaan di selongkar. Tidak sampai seminit kemudian, Gareth terjumpa sehelai jean biru serta kemeja-T hitam di bawah timbunan pasir.

Akhirnya satu mayat yang sudah reput dan berbau telah dijumpai dalam keadaan tertiarap. Lalu John dan rakan-rakannya membuat laporan polis. Beberapa hari kemudian, John serta rakan-rakannya mendapat maklumat bahawa mayat tersebut adalah salah seorang nelayan yang hilang di perairan Weymouth, berhampiran West Bay dan nama mayat tersebut adalah Peter James!!!




Misteri disebalik potret Dorian Gray





Dorian Gray merupakan seorang pemuda inggeris yang terkaya di kota London pada zaman era Victoria. Seperti pemuda-pemuda yang lain, dia amat menggemari seni dan juga wanita-wanita cantik. Dorian bukan sahaja kaya malah kacak, matanya berwarna biru cerah dan rambutnya pula perang keemasan. Wajahnya yang tampan menyebabkan ramai wanita yang tergila-gilakannya.

Seorang pelukis potret terkenal, Basil Hallward ingin mengabadikan wajah jejaka tampan itu dalam lukisannya. Bagaimanapun permintaan tersebut ditolak. Setelah puas dipujuk, barulah Dorian bersetuju dengan permintaan Basil. Tetapi sebaik sahaja melihat potret wajahnya yang telah siap, Dorian cuba memusnahkannya.

Lukisan itu terlalu indah sehinggakan Dorian tidak dapat menerima kenyataan. Menurutnya dia akan tua dan hodoh manakala potretnya akan terus muda dan tampan. Basil cuba menghalang niat Dorian itu dan berjaya memujuknya agar menggantungkan potret itu di dalam perpustakaan di rumahnya. Beberapa hari kemudian, beberapa kejadian ganjil telah berlaku. Kelakuan Dorian mula berubah. Dia memutuskan pertunangannya dengan seorang pelakon, Sybil Vane. Lama kelamaan sikapnya semakin buruk. Bekas tunangnya yang terlalu kecewa membunuh diri dengan meminum racun.

Sehari selepas kematian tunangnya, Dorian masuk ke perpustakaan. Sewaktu dia melihat potretnya, satu kejadian aneh telah berlaku. Dia ternampak kedut-kedut halus di sekeliling mulut mulai muncul pada potretnya. Lalu Dorian mengalihkan potretnya ke sebuah bilik di tingkat atas supaya tiada sesiapa dapat melihat potretnya yang semakin hari semakin hodoh dan menyeramkan.

Tahun demi tahun berlalu, kisah mengenai kelakuan buruknya semakin tersebar di kota London. Tetapi mereka berasa terkejut melihat wajah Dorian yang masih tampan dan tidak sedikit pun berubah. Suatu hari, pelukis potretnya, Basil telah berkunjung ke rumahnya untuk melihat lukisan itu. Bagaimanapun Dorian tidak membenarkannya. Tanpa pengetahuan Dorian, Basil berjaya melihat potret lukisannya. Namun dia begitu terkejut apabila melihat dalam potret itu adalah wajah seorang lelaki tua.

Tiba-tiba Dorian masuk ke bilik itu dan menyalahkan Basil kerana melukis potret yang sangat indah daripada wajahnya yang sebenar. Akibat terlalu marah, dia menikam Basil dan tidak semena-mena lukisan potret tangannya berlumuran darah. Selepas kejadian itu Dorian masih meneruskan kelakuan buruknya sehinggalah satu ketika dia jatuh cinta dengan seorang gadis jelita yang baik hati. Dia bertekad untuk kembali ke pangkal jalan.

Memikirkan potret itu mungkin boleh membuka lembaran baru dalam hidupnya, Dorian merenung potret wajahnya. Tapi apa yang dilihatnya hanyalah wajah bengis, sementara darah ditangan lebih merah daripada biasa. Melihatkan keadaan itu Dorian menikam potret itu bertubi-tubi dengan pisau yang digunakan untuk membunuh Basil. Dia yakin dengan menikam potretnya itu, dia boleh memusnahkan kisah silamnya dan memulakan lembaran baru dalam hidupnya. Apa yang berlaku seterusnya tidak diketahui.




Selepas beberapa hari Dorian tidak muncul, pembantu rumahnya mula mencari, sebaik sahaja masuk ke biliknya, seorang lelaki tua dan hodoh ditemui mati dengan pisau tertusuk didadanya. Lelaki berkenaan dikenali sebagai Dorian daripada cincin yang dipakainya. Berhampiran dengan mayat tersebut terdapat sebuah potret dengan wajah Dorian Gray yang masih muda, kacak dan tersenyum mesra.




Wednesday, February 4, 2015

Temui ajal angkara sumpahan filem berhantu!

Filem-filem ini hebat, hangat dan mendapat sambutan ramai di seluruh dunia. Tetapi di sebalik pelbagai populariti yang dikecapi, bagai ada kutukan maut mengiringi produksi filem itu. Adakah hanya kebetulan atau ia bagai satu sumpahan?

The Exorcist



Filem seram The Exocist amat popular sekitar tahun 70-an. Filem ini ditulis berdasarkan kisah benar yang menimpa seorang budak lelaki yang dirasuk hantu pada tahun 1940-an. Sebenarnya bukan hanya setakat dalam filem, namun pelbagai kisah seram dan misteri turut berlaku di luar set penggambaran. Pernah set penggambaran ini terbakar tanpa sebab hingga set baru terpaksa dibina semula. Pelakon utamanya, Linda Blair turut dirasuk ketika berada di set penggambaran. Malah, beberapa kru filem ini menemui ajal semasa filem tersebut masih dalam penggambaran. 

Bukan hanya terjadi pada kru, malah banyak kecederaan dan kematian juga dilaporkan melibatkan ahli keluarga mereka yang terlibat dalam penggambaran ini. Malah, sewaktu dipertontonkan kepada umum, banyak kes histeria dilaporkan berlaku kepada penonton The Exocist sehingga filem ini diharamkan tayangannya di England. Segala misteri dan tragedi berkaitan filem ini dikaitkan dengan sumpahan makhluk halus. Kononnya, roh-roh jahat bertindak mengganggu kelancaran filem ini kerana ia diambil berdasarkan kisah benar.

Poltergeist




Salah satu genre filem seram yang popular dikaitkan dengan pelbagai misteri dan kutukan ialah Poltergeist. Kebanyakkannya dikaitkan dengan nasib malang yang menimpa para pelakonnya. Walaupun filem ini mencetuskan fenomena dan pecah panggung sekitar tahun 80-an, tetapi ia juga popular dengan kematian yang dikaitkan dengan para pelakonnya. 

Kutukan dikatakan bermula apabila Dominique Dunne, salah seorang pelakon dalam Poltergeist I mati dibunuh oleh bekas kekasihnya pada tahun 1982. Kemudian pada tahun 1985, Julian Beck yang berlakon sebagai roh jahat dalam Poltergeist II pula meninggal dunia kerana penyakit kanser perut. Sumpahan itu berterusan apabila pemain watak roh baik dalam Poltergeist II iaitu Will Sampson turut menemui ajal pada tahun 1987 sewaktu menjalani pembedahan pemindahan jantung.

Tahun 1988 pula, pelakon watak budak kecil dalam filem itu iaitu Heather O'Rouke pula meninggal sewaktu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ususnya yang tersumbat akibat jangkitan kuman. Seorang lagi pelakon filem itu, Louis Perryman pula mati dibunuh di rumahnya pada April 2009. Louis berusia 67 tahun sewaktu menemui ajal. Selain itu, James Kahn juga pernah menceritakan peristiwa pelik yang dialaminya sewaktu menulis skrip filem tersebut. Sebaik selesai menulis ayat untuk skripnya yang berbunyi 'lightning ripped open the sky', sejurus itu bangunan tempat tinggalnya disambar kilat.

The Crow




Filem The Crow lakonan Brandon Lee, iaitu anak kepada mendiang Bruce Lee ini pernah ditayangkan pada tahun 1994. Filem ini juga sering dikaitkan dengan kutukan dan sumpahan kerana banyak peristiwa pelik dikaitkan sewaktu penggambaran. Antaranya. seorang petugas telah terbakar tubuhnya setelah kren yang dipandu melanggar talian bervoltan tinggi. Seorang lagi petugas pula kemalangan setelah keretanya terbabas ke dalam sebuah kedai. Dan kemuncaknya, apabila pelakon utamanya iaitu Brandon Lee maut apabila salah seorang pelakon dalam filem tersebut secara tidak sengaja menembaknya menggunakan peluru hidup sewaktu beliau sedang menjalani penggambaran filem berkenaan. 

Anehnya, tiada siapa tahu bagaimana peluru hidup boleh digunakan dalam pistol berkenaan. Sedangkan pada asalnya, tiada peluru hidup digunakan sewaktu Brandon Lee melakonkan adegan tembak menembak itu.




Tuesday, February 3, 2015

Wild Rose, misteri yang masih dihantui



Kecantikan Elisa membuatkannya dibunuh dengan kejam oleh
seorang lelaki yang baru dikenalinya.  - Gambar hiasan

Di sebuah perkampungan di Ireland, terdapat seorang wanita muda yang dikenali sebagai Wild Rose oleh penduduk setempat disebabkan kecantikan dan kejelitaan luar biasa yang dimilikinya. Wanita yang bernama Elisa Day itu sering dilihat mundar mandir di tepi sungai berhampiran dan tindakannya itu seperti ada sesuatu yang tidak kena. Namun, perlakuan Elisa itu tidak diendahkan penduduk kerana rata-rata mengetahui kelibat lembaga itu hanya merupakan jelmaan wanita tersebut yang sudah lama meninggal dunia.

Apa yang mengerikan, pada dahi wanita itu terdapat kesan darah yang menitik sehingga terkena bajunya yang berwarna putih, manakala ditangannya pula terdapat setangkai mawar merah. Menurut penduduk setempat, Elisa dibunuh kejam oleh seorang lelaki yang tidak dikenali yang berasal dari sebuah bandar berdekatan. Kisahnya bermula apabila lelaki itu melihat kecantikan Elisa yang tidak pernah dimiliki oleh mana-mana gadis yang pernah ditemuinya. Perasaan cinta yang membuak-buak menyebabkan lelaki itu berazam untuk memiliki dan mendekati Elisa dengan lebih dekat. Pada suatu hari, lelaki itu datang mengetuk pintu rumah Elisa lalu memperkenalkan diri dan tidak semena-mena lelaki itu terus memeluk lalu menciumnya.

Mawar liar

Ibarat terkena sumpahan, Elisa tidak membantah atau melawan sebaliknya hanya membiarkan sahaja perlakuan lelaki tersebut terhadap dirinya. Keesokan harinya, lelaki itu kembali semula ke rumah Elisa tetapi kali ini dia membawa setangkai ros berwarna merah untuk diberikan kepadanya. Lelaki itu memberitahu Elisa bahawa kecantikan yang dimilikinya itu diibaratkan seperti bunga mawar. Melalui pertemuan kedua itu, lelaki tersebut mengajak Elisa untuk berjumpa dengannya pada keesokan hari di tepi sungai berhampiran dimana tempat mawar liar tumbuh dengan mekar. Elisa pergi ke sungai itu pada hari yang dirancangkan untuk berjumpa dengan lelaki itu dan di situlah riwayat Elisa berakhir.


Kisah wanita yang digelar 'Wild Rose' itu turut dimuatkan dalam
buku berjudul Epic Book of Mind-Boggling Top 10 List


Mengikut cerita dalam buku Epic Book of Mind-Boggling Top 10 List, lelaki itu dikatakan menarik Elisa ke dalam sungai sambil memberikan ciuman terakhir kepada wanita malang itu secara perlahan-lahan. Ketika Elisa memalingkan muka ke arahnya, lelaki tersebut bertindak memukul kepala Elisa dengan seketul batu yang ada di tangannya sambil berbisik "semua yang cantik harus mati."

Balas dendam

Tindakan lelaki itu tidak berakhir di situ sahaja, dia kemudiannya meletakkan setangkai mawar pada mulut Elisa dan menghanyutkan mayat wanita itu mengikut aliran sungai. Jasad Elisa hilang begitu sahaja dan sehingga kini mayatnya masih tidak ditemui. Roh Elisa dikatakan tidak tenang dan ingin mencari lelaki itu untuk membalas dendam.

Kisah misteri Elisa menjadi perhatian ramai, malah pada tahun 1995 Vocalis band dari Australia, Nick Cave and The Bad Seeds telah menulis lirik mengenai kisah sedih Elisa dan menyanyikan lagu itu bersama penyanyi Kylie Minogue menerusi lagu Where The Wild Roses Grow.


Patung Elisa turut direka dan dijual
 seperti patung berhantu Chucky dan Annabelle

Bait-bait lirik yang dihasilkan menggambarkan Elisa mati secara tidak rela, malah kumpulan itu juga merekodkan klip video dengan menggambarkan keadaan sebenar bagaimana Elisa mati. Malah, patung Elisa juga turut dijual oleh sebuah syarikat di Amerika Syarikat, Living Dead Dolls yang turut menjual patung-patung berhantu lain seperti Chucky dan Annabelle.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...