Friday, January 30, 2015

Elizabeth, pembunuh wanita paling kejam




Ritual kejam itu bermula pada tahun 1600. Di usia 40 tahun, kecantikan Elizabeth Báthory kian pudar. Kulitnya mulai kedut. Walau segala usaha dilakukan, ia gagal menghalang kecantikannya daripada dimamah usia. Suatu hari, seorang gadis pelayan seperti biasa menyikat rambut wanita bangsawan itu. Tidak sengaja dia tertarik kuat rambut Elizabeth. Kerana marah, gadis itu ditampar. Darah dari hidungnya tersembur mengenai tapak tangan Elizabeth. Dari sinilah ritual kejam ini bermula. 

Elizabeth percaya darah gadis muda mampu mengembalikan semula kecantikannya. Lantas, dia mengarahkan pengawal untuk menggantung gadis pelayan tadi secara terbalik di atas tab mandian. Nadi gadis itu dipotong. Titisan darah mengisi tab tersebut. Kemudian, Elizabeth masuk ke dalam tab itu bermandi darah. Baginya, dia sudah mendapat jawapan rahsia awet muda yang dicarinya selama ini.

Hari demi hari, seorang demi seorang pelayan istananya dikorbankan demi kepercayaan gila Elizabeth. Apabila pelayan semakin berkurang, dia mula membuka peluang kerja kepada gadis-gadis desa dengan ganjaran wang yang lumayan. Nasib serupa menimpa mereka. Nyawa berakhir di bath-tub Elizabeth. Sesekali, Elizabeth turut meminum darah mangsa-mangsanya. Baginya itu salah satu rawatan untuk 'kecantikan dalaman'. Kegilaan Elizabeth tidak berakhir di situ. Dia mula mahukan darah yang lebih 'berkualiti'. Kali ini dia cuba mendapatkan mangsa dari kalangan gadis-gadis bangsawan kelas bawahan. Dia turut menculik gadis-gadis itu untuk dijadikan korban.

Siapa Elizabeth?

Elizabeth Báthory lahir dalam keturunan bangsawan tinggi Hungary pada tahun 1560. Orang tuanya iaitu Georges dan Anna merupakan bangsawan paling kaya ketika itu. Kalangan keluarga Elizabeth adalah orang berpengaruh, memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran Hungary. Salah seorang bapa saudaranya iaitu Stepehen pernah menjadi raja Poland.

Kehidupan Elizabeth sama seperti gadis bangsawan yang lain ketika itu. Dia dijodohkan dengan suaminya, Ferenc Nadasdy sewaktu berusia 15 tahun. Ferenc yang merupakan seorang askar kerap meninggalkan Elizabeth sendirian kerana bertempur di medan perang. Oleh sebab tu, Elizabeth sentiasa berlaku curang semasa ketiadaan suaminya. Bukan itu saja, wanita ini juga terlibat dalam hubungan sejenis bersama para dayangnya sendiri.

Elizabeth rapat dengan salah seorang pembantunya, Dorka. Pelayan inilah yang berjaya mempengaruhi majikannya untuk terpedaya dengan fahaman satanisme yang dibawanya. Ajaran itu menjadi kepercayaan Elizabeth. Dia mula menyenangi kepuasan yang disusuli dengan seksaan. Akibat kepercayaan ini juga, istana Csejthe yang menjadi tempat tinggal wanita bangsawan itu mula berubah menjadi pusat kekejaman dan penyeksaan seksual. Malah, Elizabeth gembira apabila melihat orang lain menderita. Dia pernah menyeksa pencuri yang dijahit pada badan kuda yang hampir mati dan dibiarkan mereput.

Siasatan bermula

Kehilangan anak-anak gadis bangsawan kelas bawahan mendapat perhatian hingga sampai ke pengetahuan raja. Gyorgy Thurzo, seorang pegawai tertinggi kerajaan diarahkan untuk menyiasat. Lebih 300 saksi dipanggil untuk memberi keterangan. Menurut saksi, kebanyakan mangsa Elizabeth adalah anak gadis petani yang diumpan wang lumayan untuk bekerja di istananya. Manakala anak gadis bangsawan yang dihantar ke istananya untuk belajar etika kehidupan turut menjadi korban. wanita itu menggunakan pelbagai cara kejam untuk menyeksa mangsa-mangsanya sehingga mati. Selain dipukul. dia turut membakar dan menggigit bahagian tubuh mangsa. Mereka didera dan dibiarkan mati dalam kesejukan dan kelaparan.

Saksi-saksi kejadian mendakwa telah melihat banyak kesan penderaan pada badan mayat yang ditemui. Ada juga saksi yang mengaku pernah melihat sendiri kekejaman Elizabeth mendera dan membunuh beberapa orang pelayannya. Elizabeth tidak bergerak sendirian. Dia mempunyai sumber untuk mendapatkan mangsanya. Namun, 'pembekal' mangsanya itu tidak pernah ditangkap. Kekejaman Elizabeth telah menjadi buah mulut penduduk tempatan. Mereka menggelarnya 'puntianak' kerana suka minum darah mangsanya.

Tahun 1610, sepasukan tentera menyerbu istana Elizabeth. Terkejut dengan apa yang disaksikan, mereka melihat seorang gadis yang pucat kehabisan darah di atas meja makan. Manakala seorang gadis lagi telah tinggal nyawa-nyawa ikan, terikat pada tiang dengan urat nadinya disiat hampir putus. Elizabeth dan empat pembantunya ditahan lalu dibicarakan. Kekejaman wanita itu telah mengorbankan 650 nyawa demi tuntutan nafsu anehnya.

Walaupun didapati bersalah, pengaruh keluarga bangsawan membuat Elizabeth terlepas daripada hukuman berat. Empat pembantunya pula dijatuhi hukuman mati. Wanita itu hanya dikurung di dalam istananya. Elizabeth dikunci dalam sebuah bilik sempit yang hanya mempunyai ruang kecil untuk pengudaraan dan sebuah lubang untuk tempat meletakkan makanan. Hiduplah 'puntianak bangsawan' itu menghabiskan sisa usia sehingga tahun 1614, Elizabeth didapati telah mati dalam bilik tersebut pada usia 54 tahun.

Mayat Elizabeth pada mulanya disemadikan di gereja Csejthe, namun orang awam menentang kehadiran pembunuh kejam itu disitu. Akhirnya, mayat Elizabeth dialihkan ke tempat lahirnya di Ecsed, di mana dia disemadikan dalam makam keluarganya. Kisah kekejaman wanita ini pernah difilemkan pada tahun 2008 berjudul Báthory. Bahkan nama Báthory juga seakan menjadi ikon dalam satanic (pemujaan syaitan) dan sering digunakan dalam klip video underground, menyelitkan babak bermandi darah mirip kelakuan wanita paling kejam itu. 


Elizabeth akhirnya mati di istananya sendiri



Wednesday, January 28, 2015

Hantu Purdah merayau-rayau mencari mangsanya!





Masih ingat kisah misteri hantu purdah yang tersebar meluas sekitar tahun 1997? Hantu purdah ini dikatakan memburu mangsa dengan menaiki kereta kancil merah. Menariknya, ianya bermula dengan kisah seorang gadis IPT yang mengamalkan ilmu hitam bertujuan ingin mencantikkan wajahnya. Antara pantang larang hantu ini dikatakan tidak boleh melihat cermin selama 40 hari.

Setelah gadis itu menjadi cantik semua orang memuji-muji kejelitaannya menyebabkan dia melanggar pantang larang dengan menatap cermin pada hari yang kesepuluh. Akibatnya mukanya mula ditumbuhi bisul. Nanah hanyir bercampur darah mulai keluar dari luka-luka bisul tersebut. Setelah itu dia menemui semula bomohnya dan diberitahu bahawa mukanya hanya akan kembali cantik setelah dia menghisap darah anak dara sunti seramai 40 orang. 

Sebab itulah gadis berpurdah hitam tersebut merayau-rayau mengetuk pintu dari rumah ke rumah bagi mencari anak dara sunti sambil memberi salam 'kum-kum.' Sesetengah pendapat mengatakan, kisah hantu purdah sejenis jembalang yang sering berkeliaran sekitar 1970-an sengaja dicipta ketika kebangkitan semula Islam dikalangan orang-orang Melayu. Ketika itu, para gadis mula mengenakan hijab. Keadaan ini amat tidak disenangi oleh kumpulan gadis yang suka memakai pakaian seksi lalu terciptalah kisah hantu purdah semata-mata untuk memburukkan imej wanita yang menutup aurat. Ada juga pihak yang mengatakan kisah ini sengaja diada-adakan untuk menakut-nakutkan gadis-gadis remaja yang gemar berpeleseran sehingga dinihari.



Tuesday, January 27, 2015

Kereta berhantu tagih nyawa



Tragedi tidak diduga ini bermula pada pagi 28 Jun 1914. Pasangan diraja, Franz Ferdinand bersama isterinya ditembak mati sewaktu berada di dalam kereta ketika sedang mengadakan kunjungan ke Sarajevo yang ketika itu merupakan wilayah dalam kekuasaan Austria. Franz merupakan pewaris raja Austria-Hungary. Kematiannya telah menyebabkan pengisytiharan perang oleh Austria terhadap Serbia yang akhirnya mencetuskan Perang Dunia Pertama. Namun, bukan kisah Franz yang hendak diceritakan, tetapi kereta berkapasiti enam penumpang yang dipandu sewaktu ajalnya tiba. Sejak kali pertama meragut nyawa bangsawan diraja itu, kereta ini terus menagih mangsa.

Kereta ini dibina pada tahun 1910. Ia direka khas dengan bumbung terbuka untuk kegunaan keluarga diraja. Asalnya ia dimiliki oleh Count Franz Von Harrach, seorang pegawai dalam pengangkutan tentera Austria. Pada hari kejadian, kereta yang asalnya berwarna merah itu dipinjamkan untuk kegunaan pasangan diraja itu melawat Sarajevo. Selepas kematian Franz, kereta itu digunakan oleh seorang jeneral Austia. Malang mula menimpanya. Bukan saja mendapat malu kerana tenteranya kalah dalam medan peperangan, jeneral itu mengalami masalah mental dan mati dalam keadaan gila.

Kemudian, kereta itu diambil oleh seorang kapten ketenteraan. Sewaktu sedang memandu, dia telah melanggar dua orang petani dan menyebabkan keretanya terbabas dan merempuh pokok. Ketiga-tiga mereka menemui ajal. Kereta itu telah berpindah kepada pemilik baru iaitu seorang Gabenor Yugoslavia. Semasa dalam tempoh menggunakan kereta tersebut, gabenor itu telah mengalami empat kemalangan berasingan yang turut mengorbankan sebelah lengannya. Akhirnya dia tidak mahu terus menyimpan kereta itu kerana berpendapat ia telah 'disumpah' dan sesiapa yang menggunakannya akan mendapat musibah.

Temannya Dr. Srikis tidak percaya lalu membeli kereta itu. Hanya dalam tempoh enam bulan menggunakannya, doktor itu terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kereta itu terbalik lantas meragut nyawanya. Seorang peniaga barang kemas yang kaya raya kemudian membeli kereta itu. Pun tidak lama apabila kemudiannya dia membunuh diri. Sekalipun dikaitkan dengan 'badi', kereta itu masih menggamit pembeli. Pemilik baru, seorang pelumba kereta berbangsa Swiss. Dia turut kemalangan dalam satu perlumbaan ketika memandu kereta tersebut. Dia menemui ajal apabila tubuhnya tercampak keluar lalu terhentak pada dinding batu.

Tidak lama untuk kereta itu berehat apabila mendapat pemilik baru, seorang petani berbangsa Serbia. Kerana kereta itu ada masalah untuk dihidupkan, dia mahu menunda kereta itu untuk dibaiki. Entah bagaimana tiba-tiba kereta itu tersengguk-sengguk lalu meluncur dan melanggarnya sehingga menyebabkan petani itu terbunuh.

Tiber Hirshfield, merupakan orang terakhir yang menjadi pemilik kereta 'penagih nyawa' itu. Sewaktu pulang dari majlis perkahwinan seorang rakan, Tiber memandu kereta itu. Turut sama empat rakan baiknya. Sewaktu sedang memecut untuk memotong kenderaan lain, tiba-tiba kereta itu hilang kawalan menyebabkan kereta itu berpusing-pusing dan akhirnya berlanggar dan meragut nyawa kesemua lima orang sahabat itu. Satu demi satu kematian yang dikaitkan dengan kereta itu. Akhirnya pihak berkuasa tidak membenarkan lagi kereta itu bertukar pemilik baru. Sebaliknya, kereta itu ditempatkan di sebuah muzium di Vienna untuk pameran.

Jika ada pengunjung yang bertanya bolehkah mereka memanjat naik ke dalam kereta itu, jarang petugas muzium mengizinkan. Jelas petugas itu, kereta itu telah mencetuskan peperangan Dunia Pertama yang telah mengorbankan lebih 20 juta nyawa. Setiap pemiliknya pasti akan ditimpa bencana dan menemui ajal. Kereta masih 'berhantu' dan tidak akan pernah berhenti menagih nyawa jika ada sesiapa yang cuba menaikinya.



Sunday, January 25, 2015

Roh Zona muncul ceritakan punca kematiannya


Di rumah inilah mayat Zona ditemui

Bulan Oktober tahun 1896, bibit percintaan mula bersemi antara seorang gadis dan pemuda yang datang menetap ke bandar Greenbrier di bahagian barat Virginia, Amerika Syarikat. Gadis tempatan itu bernama Elva Zona Heaster. Manakala pemuda yang bekerja sebagai tukang besi itu adalah Erasmus Stribbling Trout Shue yang juga dikenali sebagai Edward. Sekelip mata jatuh cinta, Pasangan itu mengambil keputusan berkahwin, walaupun hubungan itu ditentang hebat oleh Mary Jane Heaster, ibu Zona. Jauh di sudut hati, Mary merasakan Edward bukan seorang lelaki yang baik.


Mary Jane Heaster


Tidak sampai tiga bulan hidup bersama, satu tragedi menimpa pada tanggal 23 Januari 1897. Seorang budak lelaki yang datang ke rumah pasangan itu setelah disuruh Edward untuk melihat isterinya, dikejutkan dengan penemuan mayat Zona yang terbaring kaku di kaki katil. Budak itu berlari pulang memberitahu ibunya tentang Zona, lalu si ibu menghubungi Dr. George W. Knapp. Hanya sejam kemudian, baru doktor itu tiba di rumah Zona. Ketika itu, Edward sudah pulang. Dia telah mengangkat mayat isterinya dan dibaringkan di atas katil. Dia turut membersihkan, dan menukarkan pakaian Zona, memakaikan mayat isterinya dengan gaun berkolar tinggi. Edward terus memangku leher Zona dan menangis teresak-esak saat Dr. Knapp menjalankan pemeriksaan ke atas mayat itu. Namun, apabila hendak memeriksa bahagian leher dan kepala mayat, ia terhalang kerana tindakan Edward yang tidak mahu berenggang daripada mayat isterinya.

Keesokannya, mayat Zona sedia untuk dikebumikan. Namun, tingkah laku Edward agak pelik. Dia sentiasa berdiri di samping keranda Zona dan tidak membenarkan pelawat datang terlalu dekat dengan keranda. Dia turut menyangga kepala mayat isterinya dengan bantal. Edward turut menutup bahagian leher mayat itu dengan mengikatkan sehelai selendang yang tidak sesuai. Bila ditegur, Edward berkeras mengatakan itu adalah selendang kegemaran isterinya. Tetapi tidak bagi Mary, ibu Zona. Sejak dari awal, naluri keibuannya kuat mengatakan ada sesuatu tidak kena dengan kematian anaknya. Apatah lagi sewaktu membasuh kain pelapik keranda, Mary terhidu bau yang kurang menyenangkan. Air basuhan dalam besen bertukar kemerahan seketika sebelum jernih semula.

Kejadian pelik itu meyakinkan hati Mary bahawa Zona sebenarnya telah dibunuh. Lalu, setiap malam Mary akan berdoa meminta anaknya 'kembali' untuk menceritakan perkara yang sebenar. Empat minggu kemudian, doa Mary dijawab. Zona hadir dalam mimpi Mary empat malam berturut-turut. Dalam mimpi itu, Zona menceritakan bahawa dia telah diseksa oleh Edward. Pada malam sebelum kematiannya, berlaku pertengkaran hanya kerana berang dengan masakan Zona, Edward menyerang dan memusing leher isterinya hingga patah dan menemui ajal.

Mayat digali semula

Hanya berdasarkan penceritaan daripada 'roh' anaknya, Mary bersungguh-sungguh meyakinkan John Alfred Preston, seorang pendakwa untuk membuka kertas siasatan baru. Walaupun teragak-agak dan belum dibuat dakwaan berdasarkan kejadian yang diceritakan oleh 'hantu', namun Preston setuju membantu. Dr. Knapp dipanggil semula dan mengakui dia tidak dapat menjalankan pemeriksaan lengkap pada mayat Zona kerana tingkah laku Edward yang tidak mahu melepaskan mayat isterinya ketika itu. Lantas, Preston mendapatkan arahan agar mayat Zona digali semula untuk dilakukan autopsi menyeluruh. Pada 22 Februari 1897, mayat Zona dikeluarkan walaupun ditentang oleh Edward.

Hasil pemeriksaan mendapati, leher Zona mengalami kecederaan parah. Ligamennya koyak dan pecah. Pada bahagian kerongkongnya, terdapat bekas jari menandakan dia turut dicekik. Berdasarkan hasil autopsi, ditambah dengan cerita jiran tetangga tentang kelakuan pelik sewaktu pemakaman Zona, akhirnya lelaki itu ditahan dan dihadapkan ke muka pengadilan atas tuduhan membunuh isterinya.

Sewaktu Edward dalam tahanan menanti perbicaraan, siasatan terus dilakukan terhadap masa silamnya. Didapati Edward pernah berkahwin dua kali sebelum itu. Perkahwinan pertama berakhir dengan penceraian. Bekas isterinya menceritakan, Edward seorang yang kejam dan suka mengasarinya. Perkahwinan kedua pula hanya bertahan kurang dari setahun apabila isterinya mati dalam keadaan misteri.

Atas segala bukti dan fakta yang berjaya dikumpulkan, Preston berjaya mengaitkan penglibatan Edward dengan kematian Zona. Setelah mendengar segala keterangan, para juri sepakat mendapati Edward bersalah, lalu menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat. Edward menemui ajal dalam penjara pada September 1916 angkara wabak penyakit yang menyerang pada zaman itu. Kes ini mendapat liputan meluas kerana untuk pertama kalinya disebut dalam perbicaraan tentang 'hantu' yang membantu merungkaikan kematian tersebut. Malah, kerana bantuan 'hantu' juga, pesalah akhirnya berjaya didakwa dan dijatuhi hukuman.


Tempat persemadian Elva Zona Heaster

Tanda peringatan yang didirikan untuk memperingati kes Zona


Kerana itu, satu penanda peringatan telah didirikan berhampiran kubur Zona. Pada papan tanda itu tertulis kisah Zona, gadis yang ditemui mati pada tahun 1897 sebelum rohnya muncul dalam mimpi ibunya, memberitahu tentang perbuatan suaminya yang kejam. Kisah Zona turut dikenali dengan julukan The Greenbrier Ghost.



Friday, January 23, 2015

Misteri The Blair Witch Project



Masih ingatkah anda akan filem seram The Blair Witch Project di mana tiga orang pelajar filem yang cuba membongkar kisah legenda puaka ahli sihir yang bernama Blair yang menjadi penunggu hutan Burkittsville di Maryland? Ketiga-tiga pelajar yang terlibat dalam projek itu Michael William, Heather Donahue dan Joshua Leonard telah dilaporkan hilang.




Walaupun filem The Blair Witch Project merupakan filem rekaan semata-mata, namun terdapat peristiwa-peristiwa yang digambarkan di dalam filem tersebut sememangnya berlaku dalam kehidupan sebenar. Dalam tempoh lima tahun, 10 orang telah dilaporkan hilang di kawasan berhampiran Green Mountains Vermont. Pendudduk-penduduk tempatan mengatakan kawasan di hutan itu dipercayai berhantu dengan bayang-bayang pelik dan menyeramkan.

Pada 12 November 1945, Middie Rivers, 74, seorang pemburu berpengalaman sedang mengetuai sekumpulan lelaki untuk berburu di kawasan pergunungan Glastenbury di Vermont, New England. Dalam perjalanan pulang melalui lereng gunung tersebut, Rivers yang berada jauh di hadapan tiba-tiba hilang. Jejaknya tidak dapat dikesan. Pasukan penyelamat melakukan gerakan untuk mencari Rivers namun menemui jalan buntu. Yang ditemui hanya katrij peluru yang masih bersisa berdekatan sungai. Anehnya, kemana Rivers menghilang? Adakah masih hidup atau mati? Sukar sekali untuk mengatakan Rivers sesat kerana dia begitu arif dengan laluan di kawasan tersebut. 

Semasa kehilangan Rivers masih menjadi bualan, setahun kemudian iaitu pada tarikh 1 Disember 1946, seorang pelajar perempuan tahun dua di Kolej Bennington pula didapati hilang di pergunungan tersebut. Paula Wedden, 18, didapati hilang semasa sedang mendaki berseorangan. Anehnya, Paula mendaki di laluan yang disediakan. Malah, ada pendaki yang nampak kelibatnya berada dihadapan mereka pada jarak lebih kurang 100 kaki. Namun ketika pendaki itu sampai di selekoh yang sebelum itu turut dilalui Paula, kelibat gadis itu tidak lagi kelihatan. Pencarian dilakukan, bahkan turut mendapat bantuan agensi FBI, termasuk tawaran sebanyak lima ribu dolar untuk sesiapa yang berjaya menemui Paula. Namun, jangankan mayat, jejak gadis itu juga tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini.


Paula hilang ketika mendaki

Misteri kehilangan masih terus berlaku. Tiga tahun setelah Paula hilang, seorang lelaki tua bernama James E Tetford pula menerima nasib yang sama. Ia berlaku pada 1 Desember 1949, sewaktu Tetford dalam perjalanan pulang ke Bennington setelah melawat saudaranya di Alabama. Tetford pernah berkhidmat sebagai tentera dan tinggal di Soldier's Home di Bennington dikatakan tidak pernah turun dari bas apabila sampai di destinasinya. Pihak polis melaporkan beg dan barang miliknya masih ada didalam bas tersebut. Kehilangan Tetford menimbulkan misteri dan tanda tanya.

Misteri ini masih belum berakhir, pada 12 Oktober 1950, seorang kanak-kanak pula didapati hilang. Paul Jepson yang berusia lapan tahun mengikut ibunya menaiki truk. Ibunya berhenti seketika dan meninggalkan Paul di dalam truk sementara dia turun untuk memberi makan haiwan ternakan. Sejam kemudian apabila dia kembali ke truk, didapati Paul telah hilang. Jepson yang berjaket merah tidak berjaya ditemui di dalam hutan. Bahkan anjing pengesan yang mengikut jejak Paul juga terhenti di jalan raya dan gagal mengesan jejak seterusnya.

Misteri kehilangan mangsa-mangsa di atas berlaku di pekan Bennington di bahagian selatan daerah Vermont, Amerika Syarikat. Dikawasan ini juga terletak gunung Glastenbury yang terkenal dikalangan pendaki. Kesemua mangsa yang hilang secara misteri berdekatan kawasan pergunungan ini juga merupakan penduduk tempatan Bennington. Disebabkan itu, kawasan tersebut digelar 'Segi tiga Bennington' yang menggambarkan sebuah wilayah yang menyebabkan kehilangan misteri terhadap mangsa-mangsanya. 

Segelintir penduduk asli di kawasan tersebut percaya, kawasan segi tiga Bennington selalu 'menghilangkan' manusia itu adalah kawasan terkutuk yang dipenuhi kuasa jahat. Pelbagai andaian dibuat terhadap misteri kehilangan mangsa disini. Tak kurang juga yang mengaitkan kejadian ini dengan penculikan dan pembunuhan berantai. Walaubagaimanapun, tiada bukti kukuh untuk dakwaan ini. Apa yang pasti, sehingga kini pergunungan ini tetap menjadi kunjungan pelancong dan pendaki, termasuklah pengkaji paranormal untuk mengkaji misteri yang dikaitkan dengan Bennington.





Tuesday, January 20, 2015

Misteri pembunuhan Black Dahlia masih belum terungkai



Pasukan polis Los Angeles melalui titik hitam apabila menghadapi suatu kes pembunuhan yang masih belum terungkai sehinggalah ke hari ini. Kes yang menjadi tabu dalam pasukan polis ini melibatkan pembunuhan ngeri seorang wanita yang diberikan jolokan, Black Dahlia. Pada 15 Januari 1947, seorang suri rumah, Betty Bersinger menjumpai sekujur mayat wanita muda ketika sedang bersiar-siar bersama-sama anaknya yang berumur tiga tahun di kawasan lapang sebuah taman di Liemert Park, Los Angeles. Mayat tersebut ditemui terbaring di dalam semak. Tubuhnya dikerat dua, terpisah dari bahagian pinggang tanpa seurat benang. Manakala sebahagian lagi, kedua-dua belah tangannya di letakkan di bawah kepala seolah-olah seperti sedang beraksi dalam sesi fotografi.

Kepala mayat mendongak setinggi 45 darjah. Wajahnya dikelar-kelar dari hujung bibir hingga pipi sepanjang lima sentimeter. Terdapat kesan lebam kelihatan pada bahagian buku lali mangsa. Kedua-dua belah kakinya terkangkang. Pada pergelangan tangan mangsa terdapat kesan tali dipercayai mangsa telah diikat dan dibelasah sebelum dibunuh. Di bahagian paha mayat kelihatan torehan jelas susunan abjad 'BD'. Dua detektif Harry Hansen dan Finis Brown dikerah untuk merungkai kes ini. Bahagian forensik bertungkus lumus mencari bahan-bahan bukti seperti darah dan cap jari tetapi hampa. Pihak polis telah membuat andaian, mangsa telah dibunuh setelah dicampak ke situ. lebih merumitkan struktur tubuh mangsa yang terbelah dua itu telah pun dicuci sebelum dihumban ke taman berkenaan.


Media memainkan peranan penting dalam kes Black Dahlia

Selain itu, pihak polis turut membuat andaian bahawa pembunuh adalah seorang yang pakar membuat kerja-kerja pemotongan. Mangsa telah dibawa ke hospital dan dibedah siasat. Mangsa dicam dan dikenali sebagai Elizabeth Short, dilahirkan pada 29 Julai 1924 di Hyde Park, Massachusetts. Pada tahun 1940-an, hubungan media dan polis begitu akrab. Pihak polis menggunakan bantuan alatan pembesar cap jari daripada akhbar. Secara tidak langsung, akhbar menerima maklumat tunjang daripada pihak polis dan peluang ini dijadikan sebagai scoop berita untuk mensensasikan kes ini.

Akhbar Examiner menggunakan kelebihan ini untuk menjejaki ibu kepada Elizabeth dan mendapatkan maklumat lanjut semasa hayatnya. Untuk mengorek rahsia, pihak akhbar terlebih dahulu memberitahu ibunya yang Elizabeth baru saja memenangi peraduan ratu cantik. Selepas ibunya selesai bercerita tentang anaknya, barulah pihak akhbar memberi pengkhabaran tragis yang menimpa anak gadisnya. 'Kecantikan Seks & kekejaman'. Begitulah tajuk berita yang terpampang didada-dada akhbar di seluruh negara  keesokan harinya. Siasatan demi siasatan dijalankan untuk mencari pembunuh gadis cantik ini. Apakah motif pembunuhan? Pihak polis masih buntu. Setelah menyiasat, barulah satu demi satu kisah Black Dahlia didedahkan.

Black Dahlia merupakan nama jolokan Elizabeth Short, seorang gadis kampung yang berhijrah ke Hollywood untuk menjadi anak wayang. Dia tinggal dengan bapanya di restoran California dan bekerja sebagai pelayan. Namun selepas beberapa bulan tinggal dengan bapanya, Elizabeth keluar dari rumah. Lampu neon kota Hollywood dan tubuh yang cantik menjadikan gadis ini lupa diri. Black Dahlia mula berpeleseran dan berpoya-poya di kelab-kelab malam untuk berhibur dan menghabiskan wang lelaki-lelaki yang dikenalinya. Susuk tubuhnya seakan seorang wanita yang matang dengan kulit putih mulus menjadikan gadis ini kegilaan lelaki-lelaki hidung belang di kelab-kelab malam. Elizabeth diberi jolokan Black Dahlia kerana gadis ini dikatakan sering mengenakan busana bewarna hitam. Rambut asal yang bewarna perang juga diwarnakan hitam.

Akhirnya pada Disember 1944, Black Dahlia menghentikan tabiat playgirlnya selepas bertemu cinta dengan Matt Gordon, seorang tentera udara berpangkat mejar. Tetapi pada bulan Ogos 1945, ketika perang Amerika-Jepun tamat, Matt yang bertugas dilaporkan terbunuh dalam nahas kapal terbang. Selepas kematian cintanya, Black Dahlia kembali menjadi liar dan hilang arah tuju. Dia merancakkan semula kehidupan di kelab-kelab malam dan menghabiskan wang jantan-jantan miang di Miami. Sasarannya, askar, ahli perniagaan, lelaki tua atau muda, yang penting mereka semua berduit. Enam bulan sebelum hari-hari terakhirnya, Black Dahlia hilang punca dalam hidupnya. Dia keluar masuk hotel, apartment dan bilik-bilik sewa di California. Selagi boleh menginap secara percuma, Black Dahlia akan tidur. Pernah sekali Black Dahlia tinggal di sebuah rumah bersama 12 wanita lain.

Gadis ini sering bertukar bertukar pasangan setiap malam, selain tidak mempunyai teman rapat, dia rela diusung orang-orang asing ke hulu ke hilir. Situasi ini merumitkan pihak polis membuat siasatan terhadap kematian Black Dahlia. Lebih seribu orang disoal siasat dan berpuluh-puluh suspek ditahan, tetapi tiada satu pun yang dapat merungkaikan kes ini. Individu terakhir yang dikatakan bersama Black Dahlia turut disoal siasat serta menjadi suspek utama polis. Malangnya, tiada satu pun bukti yang dapat mengaitkan Robert Manley sebagai pembunuh kerana beliau hanyalah salah seorang jantan-jantan poyo yang mahu berasmara dengan Black Dahlia.

Lebih 40 anggota dikerahkan untuk membantu siasatan kes ini. Polis menyerbu beberapa buah rumah yang disyaki untuk mencari bahan bukti. Parit-parit besar, kedai dobi layan diri, tong-tong sampah digeledah namun usaha ini gagal. Apabila kes ini seakan tidak berpenghujung, akhbar Examiner dikejutkan dengan kehadiran bungkusan yang memuatkan gambar-gambar Black Dahlia, sijil kelahirannya, kad keselamatan sosial, surat pengesahan kematian kekasihnya, Matt Gordon serta petunjuk baru. 75 nama lelaki lengkap bersama alamat. Pengirimnya tidak diketahui. Polis segera memanggil dan menyiasat kesemua 75 orang, namun usaha ini turut gagal serta menemui jalan buntu. Deretan nama-nama lelaki ini hanyalah beberapa kali saja menemui Black Dahlia. Tiada motif dapat dibuktikan untuk membawa mereka ke muka pengadilan. 

Akhirnya kes Black Dahlia tiada berpenghujung. Tidak ada lagi pihak yang tampil untuk membantu siasatan melainkan beratus-ratus surat cemuhan dan usikan yang dihantar kepada jabatan polis Los Angeles. Kes Black Dahlia telah menjadi inspirasi kepada berpuluh-puluh novel, pembuat filem dan memberi inspirasi kumpulan muzik tetapi malangnya pembunuh Black Dahlia sehinggalah sekarang atau mungkin juga sudah lama menemui ajalnya tanpa diadili undang-undang! Kes Black Dahlia terus diselubungi misteri!


Monday, January 19, 2015

Fantasi filem beracun!

Filem ini hebat! dijayakan aktor handalan, mengutip jutaan keuntungan. Dan lebih daripada itu, ia rupa-rupanya turut memberi 'inspirasi' kapada mereka yang 'terpilih'. Inspirasi yang bagaimana? Mari kita baca...

Inspirasi dari The Matrix




Ingat filem The Matrix yang ditayangkan pada tahun 1999? Lakonan watak Neo oleh aktor Keanu Reeves memang tampak cool, bukan. Rupa-rupanya, watak Neo itu mudah memberi inspirasi. Pada tahun yang sama, Eric Harris dan Dylan Keybold, telah membunuh 13 orang pelajar dan telah mencederakan 34 yang lain dalam serangan Sekolah Tinggi Columbine di Amerika. Sewaktu kejadian, Eric dan Keybold memakai jaket hitam labuh seperti watak Neo. Kedua-duanya membunuh diri dalam perpustakaan sekolah setelah mangsa dibunuh dengan kejam.

Kisah lain, seorang penjenayah bernama Lee Boyd Malvo yang ditangkap pada tahun 2002 adalah penonton tegar filem The Matrix. Sewaktu dalam penjara, Malvo membuat banyak catatan mengenai filem ini termasuk satu nota berbentuk rayuan agar semua orang membebaskan diri daripada filem ini. malah dia menyarankan pihak FBI menonton filem itu bagi mengetahui bagaimana cara dia berfikir sebagai salah satu cara membantu siasatan.


Fantasi watak Freddy Krueger




Pada tahun 2004, seorang pemuda, Donald Gonzales, 25, disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh empat orang awam di Utara England. Dia telah menikam keempat-empat mangsa sehingga mati dan cuba untuk mencederakan dua lagi mangsa yang sempat menyelamatkan diri. Donald mendakwa sangat mengagumi watak Freddy Krueger dalam filem Nightmare on Elm Street.


American Psycho lahirkan pembunuh bersiri



Filem ini telah dikaitkan dengan pembunuhan yang dilakukan oleh Michael Hernandez pada tahun 2004. Michael Hernandez yang berusia 14 tahun ketika itu telah menikam rakan sekelasnya sehingga mati dan mendakwa bahawa dia meniru cara pembunuhan yang dilakukan dalam filem American Psycho. Hernandez mengatakan bahawa dia ingin menjadi seorang pembunuh bersiri sebagaimana watak yang digambarkan filem tersebut. Filem American Psycho menceritakan tentang seorang pembunuh bersiri yang mempunyai latar belakang yang berbeza iaitu seorang pegawai perbankan yang berjaya dan seorang profesor yang genius. Michael Hernandez didapati bersalah atas tuduhan membunuh peringkat pertama pada tahun 2008.


Child's Play dorong membunuh




Masih ingat watak patung Chucky yang menakutkan dalam filem Child's Play? Ini kisahnya. Empat orang suspek ditahan pada bulan Disember tahun 1991 atas tuduhan membunuh Suzanne Capper. Keempat-empat suspek tersebut telah mendera mangsa dengan menggunakan playar dan menyuntiknya dengan dadah selain turut membakar rumah mangsa. Ketika melakukan kesemua kekejaman tersebut, mereka menuturkan dialog daripada filem Child's Play.

Kepada pembaca, anda jangan tiru inspirasi begini, berfantasi dengan filem yang telah meracuni pemikiran mereka!




Saturday, January 17, 2015

Nyawa Anneliese tamat selepas 600 Ritual Exorcism


Dilahirkan pada 21 September 1952 di Jerman, Anneliese Michel menjalani kehidupan normal sama seperti gadis seusianya. Anak kepada pasangan Josef dan Anna Michel ini dibesarkan dalam pegangan agama katolik yang kuat. Gadis ini dikenali sebagai seorang yang periang dan disukai ramai. Namun, itu semua sebelum Anneliese ditimpa penyakit misteri yang bermula pada tahun 1968.

Awalnya, doktor mengatakan gadis itu sekadar menghidap penyakit batuk kering. Lalu dia diberi rawatan di Hospital Mittleberg di Jerman. Setelah sembuh, Anneliese dibenarkan pulang ke rumah. Seperti biasa, gadis tersebut memulakan persekolahan di sekolah menengah Aschefenburg. Awalnya, semua berjalan lancar sehinggalah tiba-tiba Anneliese menghadapi kesukaran untuk bertutur. Dia juga mulai sukar berjalan dan sering berpaut pada meja, kerusi atau apa-apa sahaja yang berada dalam capaian tangannya untuk membantunya berdiri.

Pada tahun 1973, Anneliese mula ditimpa kemurungan yang serius. Perubahannya mendadak dan disedari oleh orang-orang disekelilingnya. Keadaan itu berlanjutan agak lama hingga dia mulai mengadu terlihat bayangan menyeramkan yang kerap kali menghantui dirinya. Anneliese sering menggambarkan bahawa dia melihat raut muka hantu pada dinding rumahnya. katanya, hantu tersebut mempunyai tujuh tanduk dan mahkota. Bukan itu saja, ahli keluarganya juga pernah beberapa kali melihat Anneliese dalam keadaan tercampak, seperti dibaling ke tanah. peliknya, tidak kelihatan sesiapa memperlakukan gadis itu sedemikian rupa.

Pernah suatu hari, sewaktu mereka sekeluarga sedang menikmati makan malam, kedua-dua tangan Anneliese membengkak secara mendadak sebelum dia terlambung ke belakang daripada kerusi yang didudukinya. Gadis itu hanya mampu menjerit meminta pertolongan. Josef dan Anna tahu ada sesuatu yang berlaku terhadap Anneliese. Apatah lagi keadaan gadis itu semakin memburuk setiap hari. Dia mula mengamuk dan melakukan bermacam-macam perkara pelik, termasuklah menjilat air kencingnya sendiri.

Anneliese memakan lalat, labah-labah dan juga pernah menelan kepala burung yang sudah mati. Pada ketika yang lain, gadis itu akan merangkak masuk ke bawah meja dan menyalak seperti anjing selama dua hari. Menjerit dan mengoyakkan bajunya sudah menjadi aktiviti harian Anneliese. Kerana tidak sanggup melihat anak gadisnya terseksa, pasangan suami isteri itu bertindak menghubungi paderi. Harapan mereka agar si paderi dapat menggunakan cara alternatif untuk memulihkan keadaan gadis tersebut.

Ritual mengusir hantu

Sebelum bersetuju memberikan khidmat exorcism kepada Anneliese, Paderi Arnold pernah membawa gadis itu bertemu ramai doktor untuk mendapatkan rawatan, namun menemui jalan buntu. Kata doktor, Anneliese menghidap sejenis penyakit sawan, dan hanya diberikan pil bagi membantu menenangkan dirinya. Dua orang paderi pada mulanya tidak percaya Anneliese dirasuk terdiam apabila mereka menyaksikan sendiri bagaimana gadis itu dilambung dan dihempas ke atas lantai tanpa ada sesiapa yang mengangkat atau mencampaknya.

Melihatkan keadaan gadis itu pada tahun 1975, ketua paderi dikawasan tersebut telah memberi kebenaran kepada Paderi Arnold Renz dan Paderi Ernst Alt untuk menjalankan ritual exorcism (pengusiran hantu) terhadap Anneliese. Rawatan berlangsung selama 10 bulan. Dalam tempoh itu, sebanyak 67 kali ritual tersebut dijalankan. Setiap minggu, beberapa kali gadis itu menjalani kaedah spiritual yang menyeksa tubuhnya. Kesemua ritual itu turut dirakamkan dalam bentuk audio.

                                           
Keadaan Anneliese ketika dirasuk
Anneliese melawan 'penunggunya' selama 8 tahun

Anneliese menghadapi kecederaan lutut yang serius sepanjang menjalani proses exorcism. Gadis itu perlu melutut lebih 600 kali pada setiap ritual yang kadang-kala memakan masa berjam-jam lamanya. Hasil daripada ritual tersebut, kedua-dua paderi mendakwa dapat mengesan enam jenis hantu yang telah merasuk Anneliese iaitu Judas, Lucifer, Hitler, Nero, Fallen Priest dan Cain. Sekalipun telah berpuluh-puluh ritual dijalankan untuk menghalau hantu yang dikatakan merasuk tubuh gadis itu, dikatakan semuanya gagal. Anneliese terus hidup terseksa dan akhirnya meninggal dunia pada 1 Julai 1976, setelah lapan tahun bertarung dengan 'penunggu' yang menguasai dirinya.

Hasil bedah siasat mendapati kematian Anneliese Michel disebabkan kekurangan air dan zat makanan. Dia juga menghadapi demam panas dan Pneumonia ketika itu. Berat Anneliese semasa kematiannya hanyalah lebih kurang 30 kilogram. Dua tahun selepas kematian Anneliese, mahkamah memutuskan kedua-dua ibu-bapa gadis itu berserta dua paderi yang 'merawatnya' didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Anneliese. Kesemua mereka dipenjarakan selama enam bulan.

Selepas lebih 30 tahun kematian Anneliese, banyak pihak yang semakin meragui bahawa dia benar-benar dirasuk. Mereka mempersoalkan ubat-ubatan yang diberikan kepadanya. Ramai yang menyokong Anneliese mungkin sebenarnya menderita kerana penyakit schoizophrenia atau sejenis penyakit gangguan mental. Jika diberikan rawatan yang betul, mungkin Anneliese masih boleh diselamatkan. Namun dari sudut lain pula, tiada siapa yang mampu menerangkan kejadian bagaimana gadis itu dilambung dan dihempas ke tanah. Begitu juga dengan rakaman audio yang memperdengarkan suara aneh Anneliese yang dikatakan berbicara dalam bahasa kuno lama yang sudah tidak digunakan lagi ketika itu.

Sehingga kini, persoalan apa yang sebenarnya yang membunuh Anneliese masih menjadi tanda tanya. Tiada jawapan tepat yang mampu diberikan. Malah, kisah yang menimpa Anneliese telah diangkat ke layar perak menerusi filem The Exorcism of Emily Rose yang ditayangkan pada tahun 2005.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...