Masyarakat kuno daripada pelbagai negara memang terkenal dengan kisah-kisah mitos dan kepercayaan yang pelbagai. Di negara Jepun, antara kisah paling popular dan diketahui sejak zaman berzaman ialah wujudnya hantu kanak-kanak lelaki yang dikatakan membawa tuah dan kesejahteraan berpanjangan dalam hidup masyarakat setempat. Kanak-kanak tersebut bernama Zashiki-Warashi. Zashiki dalam bahasa Jepun bermaksud bilik di dalam rumah tradisional Jepun, manakala Warashi pula bermaksud kanak-kanak atau seorang anak kecil.
Zashiki-Warashi yang disebut-sebut sejak dulu lagi oleh masyarakat dari Negara Matahari Terbit itu dikatakan merupakan jelmaan seorang kanak-kanak berambut pendek paras bahu atau rambut potongan bob. Ia dipercayai boleh melindungi penghuni sesebuah kediaman zaman dahulu daripada sebarang kejadian buruk. Anak kecil itu dikatakan berumur dalam lingkungan lima atau enam tahun dan jantinanya adalah lelaki. Kelibatnya hanya boleh dilihat mulai lewat malam oleh sesetengah orang sahaja.
Nasib malang
Menurut cakap-cakap orang di Jepun, Zashiki-Warashi yang selalunya akan memakai kimono berwarna biru atau putih. Ia akan masuk ke bilik utama rumah-rumah tertentu dan akan duduk di atas perut penghuninya ketika sedang tidur. Kadangkala, ia juga gemar menarik bantal daripada kepala orang yang sedang tidur untuk mengusik tuan rumah yang disinggahinya. Berdasarkan kepercayaan masyarakat setempat, pada zaman pemerintahan Maharaja Meiji iaitu pada tahun 1868-1912, sesebuah keluarga yang kehilangan Zashiki-Warashi dari kediamannya menandakan keluarga itu bakal menerima nasib malang.
Kehilangan Zashiki-Warashi dari sesebuah rumah kuno Jepun juga dikatakan menjadi petunjuk awal kepada kejatuhan keluarga yang menghuni kediaman itu. Jiran yang tinggal di kediaman berdekatan sering menggunakan alasan kehilangan kelibat kanak-kanak itu sebagai cara untuk menakutkan jiran lain dan memberitahu akan nasib malang yang bakal menimpa mereka. Untuk mengekalkan tuah sesebuah keluarga itu, kanak-kanak itu perlu dijaga dan diberi perhatian. Kehadirannya juga dikatakan perlu sentiasa diketahui oleh penghuni rumah. Jika ia dijaga dengan baik, ia akan selalu singgah di kediaman tuannya dan akan mengekalkan tuah penghuni rumah itu. Bagaimanapun, jika diberi terlalu banyak perhatian, ia akan lari. Masyarakat Jepun juga percaya akan kenakalan budak itu. Dia dikatakan gemar 'mengusik' tuan rumah sama seperti kanak-kanak normal lain.
Sesiapa yang ternampak Zashiki-Warashi dirumahnya dipercayai akan mendapat tuah |
Bunyi kagura
Zashiki-Warashi dipercayai gemar menyelerakkan bantal-bantal dan kadangkala akan meninggalkan jejak kakinya menggunakan abu. Selain itu, ia juga gemar menghasilkan bunyi kagura iaitu sejenis muzik asli Jepun yang dikatakan muzik kegemaran dewa Jepun. Muzik itu akan dihasilkan biasanya dari bilikyang tidak dihuni di dalam sesuatu kediaman. Kanak-kanak itu disifatkan sebagai hantu yang tidak berbahaya dan tidak perlu digeruni kerana ia tidak akan mengganggu mahupun menakutkan orang ramai. Ia juga disifatkan sebagai unik kerana tidak akan sesekali melakukan sesuatu yang buruk terhadap tuan rumahnya seperti membunuh atau membalas dendam. Selain itu, ia suka singgah di kediaman yang cantik dan dijaga rapi. Zashiki-Warashi merupakan hantu yang 'baik'.
Zashiki Warashi dikatakan tidak berbahaya dan tidak menakutkan orang ramai |