Monday, March 30, 2015

Roh kanak-kanak Newburyports



Semuanya bermula sekitar tahun 1870. Lucy Ann Perkins merupakan seorang guru. Dia ditugaskan mengajar di sebuah sekolah di Newburyports dalam daerah Massashussets, Amerika Syarikat. Lucy tidak tahu ada sesuatu yang menghuni sekolah itu. Para penduduk sekitar dan guru-guru yang mengajar di situ sudah sedia maklum dengan kehadiran 'seseorang'. Namun, tidak ada seorang pun yang membuka mulut sewaktu Lucy mula mengajar.

Pernah suatu ketika semasa Lucy mengajar di dalam kelas, kedengaran pintu bilik darjah diketuk bertalu-talu. Gegarannya terlalu kuat sehingga dinding bilik itu terasa seperti bergoncang. Menyangka mungkin ada sesuatu yang buruk sedang terjadi di luar, Lucy segera membuka pintu. Sebaik di buka, tiada sesiapa yang berada di luar bilik darjah. Malah, laluan pejalan kaki juga kosong.

Mana mungkin ada manusia yang mampu menggegar pintu kelas kemudian berlari menyembunyikan diri dalam masa yang singkat. Dalam kejadian lain, loceng yang terletak di atas meja guru berbunyi tanpa henti padahal tiada sesiapa yang menyentuhnya. Loceng itu kemudian terapung di udara sebelum dihempaskan ke lantai. Angin kencang juga sering bertiup dalam kawasan sekolah walaupun pada ketika itu cuaca sebenarnya sangat baik.

Biasan cahaya yang terang juga sering memenuhi bangunan oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan sekolah tersebut. Adakah kejadian itu hanya menimpa Lucy seorang? Tidak! Selain guru-guru, penjaga dan tukang cuci yang bekerja di sekolah itu juga sering diganggu. Sampai satu tahap, mereka jadi takut untuk masuk dan membersihkan kawasan sekolah.

Bukan itu saja, ramai pelajar juga tidak hadir ke sekolah kerana takut kepada gangguan yang tidak henti-henti muncul sewaktu pembelajaran berlangsung.

Apa puncanya?

Gangguan demi gangguan yang dialami Lucy membuatkan dia kadangkala takut untuk ke sekolah. Namun, memikirkan tanggungjawabnya sebagai seorang guru, dia sedaya upaya menepis rasa takutnya.

Penduduk yang tidak tahan dengan pelbagai gangguan hingga menyebabkan anak-anak mereka takut ke sekolah mula menjalankan siasatan. Ada yang mendakwa salah seorang penduduk telah merasuah seorang kanak-kanak lelaki untuk mengaku bersalah di atas semua kekacauan yang telah terjadi di sekolah tersebut. Ini semua bagi menutup misteri yang masih gagal dirungkaikan.

Walaupun, kanak-kanak bernama Amos Currier telah mengaku bersalah, kejadian-kejadian misteri tetap melanda sekolah itu. Ini membuatkan penduduk tidak mempercayai pengakuan Amos. Kemudian, beberapa penduduk yang telah lama menetap di kawasan tersebut akhirnya menceritakan kejadian sebenar.

Khabarnya, kejadian misteri disekolah itu bermula pada tahun 1860. Seorang kanak-kanak telah melakukan satu kesalahan yang tidak dinyatakan. Sebagai hukuman, kanak-kanak itu telah dipukul dengan teruk sebelum dikurung dalam bilik bawah tanah di sekolah itu. Keesokannya, kanak-kanak itu didapati sudah meninggal dunia. Kemungkinan akibat cedera teruk dipukul. Kerana kes itu, sekolah Newburyports telah ditutup untuk beberapa ketika bagi meredakan keadaan. Beberapa tahun kemudian, sekolah itu dibina semula dan dibuka seperti biasa.

Sejak pembukaan semula sekolah itu, satu persatu kejadian misteri kembali menghantui guru-guru dan pelajar. Gagguan itu dikaitkan dengan roh kanak-kanak tersebut. Dikatakan rohnya tidak tenang dan mahukan keadilan. Begitu juga dengan Lucy. Tidak tahan dengan gangguan yang dihadapi, dia akhirnya meninggalkan sekolah itu. Tidak lama selepas pemergian Lucy, sekolah itu telah dirobohkan dan dibina semula sebagai rumah persendirian.


Mungkin roh itu ingin membalas dendam
kepada guru yang menghukumnya

Menurut cerita setempat, setelah dirobohkan, tiada lagi gangguan yang berlaku kepada pemilik rumah disitu. Mungkin roh kanak-kanak itu hanya mahu membalas dendam kepada guru-guru yang menghukumnya. Siapa tahu?




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...