Sunday, March 29, 2015

La Sayona ditakuti suami curang


La Sayona merupakan hantu jelmaan seorang wanita bernama
Melissa yang mencari mangsa dalam kalangan lelaki curang 

La Sayona, satu gelaran yang cukup indah didengar, namun nama di sebalik nama tersebut menyimpan seribu satu rahsia mengenai kisah seram yang cukup terkenal di negara Amerika Latin, Venezuela. Sama seperti kepercayaan kebangkitan roh yang dianiaya dalam masyarakat di seluruh dunia, La Sayona berkisahkan tentang semangat roh seorang wanita yang bangkit untuk menghantui hidup mana-mana lelaki yang bermain kayu tiga dalam perkahwinan mereka.

Nama 'Sayona' dalam bahasa Latin bermaksud kain panjang berwarna putih yang menyerupai pakaian semasa zaman pertengahan. Dalam bahasa Perancis pula, Sayona atau dipanggil 'Sayon' membawa maksud algojo atau 'tukang bunuh' yang menjalankan hukuman bunuh pada pesalah. Menurut cerita, legenda La Sayona berkisahkan tentang seorang wanita muda bernama Melissa yang tinggal di sebuah bandar kecil di Dataran Venezuela dan merupakan wanita paling cantik di perkampungan tersebut.

Kehidupan Melissa sungguh bahagia selepas berkahwin dengan seorang lelaki yang cukup tampan dan gagah selain dikurniakan seorang anak lelaki. Dalam diam, kecantikan wanita itu telah menambat hati ramai lelaki di kampungnya, termasuk seorang pemuda yang selama ini sentiasa mengintai Melissa mandi dalam keadaan bogel di sungai. Melissa yang sedar dirinya diintai telah bertindak memarahi pemuda tersebut dan memberi amaran supaya tidak menganggunya, namun dia telah diperdaya oleh pemuda itu yang memberitahu tujuannya berada di situ adalah untuk menceritakan tentang hubungan sulit suaminya yang berlaku curang dengan ibu mentua sendiri di rumah.

Bakar suami, anak

Mendengar fitnah pemuda itu, Melissa telah bergegas pulang ke rumah dan mendapati suaminya sedang tidur bersama anak lelaki mereka, namun kerana telah diselubungi perasaan marah, Melissa bertindak membakar rumahnya dengan niat untuk membunuh suami dan anaknya sehinggakan jeritan mereka meminta tolong didengari sehingga ke seluruh kampung, manakala wanita itu melarikan diri ke rumah ibunya.

Tindakan membunuh suami dan anaknya belum cukup meredakan kemarahan Melissa apabila wanita itu bertindak membunuh ibunya sendiri dengan menikam wanita itu yang difitnah telah menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya. Ibunya yang dalam keadaan nazak selepas ditikam dengan parang telah mengutuk tindakan anaknya dan bersumpah bahawa Melissa akan terus membunuh mana-mana suami yang didapati curang dengan isteri mereka. Mendengar sumpahan dari mulut ibunya, Melissa telah membunuh diri dan rohnya digelar La Sayona.

Menurut cerita beberapa penduduk kampung yang pernah terserempak dengan La Sayona, roh wanita itu sering ditemui berada dalam keadaan sedang menangis sambil memeluk anaknya yang berada dalam dakapan. Selepas disapa mana-mana lelaki, La Sayona akan menggunakan helah dengan meminta rokok atau ingin menumpang menaiki kenderaan, sebelum mangsa yang menyangkakan La Sayona merupakan seorang wanita cantik terkejut apabila mendapati wanita itu hanya berwajah tengkorak dengan gigi yang menakutkan.

Gigit zakar

Kebanyakan mayat mangsa yang ditemui mati di dalam hutan berada dalam keadaan yang hampir sama dengan hampir semua mangsa ditemui dengan kesan mata dikorek, manakala perut mereka terburai dan mempunyai kesan cakar seperti diserang haiwan buas. Sesetengah cerita memberitahu, kesemua mangsa yang terdiri dalam kalangan lelaki yang sudah berkahwin ditemui mati dalam keadaan tidak mempunyai zakar kerana dipercayai telah digigit oleh La Sayona sehingga putus.

Perubahan zaman yang kian membangun membuatkan kisah legenda ini semakin dilupakan masyarakat pada hari ini. Namun, beberapa kawasan terutama di kawasan pedalaman Venezuela masih percaya akan kewujudan roh La Sayona yang membuatkan ramai suami takut untuk berlaku curang kerana dikhuatiri akan mati dibunuh La Sayona.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...