Friday, August 7, 2015

Versi berbeza legenda ikan duyung




Kisah dongeng ikan duyung sering digambarkan sebagai jelmaan wanita cantik yang berkakikan ekor seperti ikan. Menurut dongeng, makhluk tersebut menghuni di lautan. Kisah ikan duyung merupakan antara kisah dongeng popular yang wujud dalam pelbagai versi di seluruh dunia termasuk di Eropah, Afrika dan Asia. Sejarah tentang kewujudan ikan duyung bermula sewaktu zaman kegemilangan kerajaan Mesopotamia di sebuah negeri Iraq purba yang dikenali sebagai Assyria, kira-kira1,250 tahun lalu sebelum masihi.

Mengikut cerita, ikan duyung merupakan jelmaan seorang dewi bernama Atargatis iaitu bonda kepada Ratu Semiramis yang jatuh cinta dengan seorang pemuda daripada kalangan rakyat biasa. Atargatis bagaimanapun secara tidak sengaja telah membunuh tersebut dan dia kemudian membunuh diri dengan melompat ke sungai kerana sungguh malu. Bagaimanapun, air tempat wanita itu jatuh tidak dapat menyembunyikan kecantikannya sehingga yang berubah hanyalah sebahagian tubuhnya yang menyerupai ekor ikan dari paras pinggang ke bawah.

Dalam kisah beberapa masyarakat, ikan duyung biasanya dikaitkan dengan kejadian bencana alam yang dasyat seperti banjir besar, taufan atau laut bergelora kononnya disebabkan oleh kemarahan ikan duyung tersebut. Bagaimanapun, beberapa kisah rakyat menceritakan perihal ikan duyung sebagai jelmaan wanita cantik, baik, dermawan bahkan bercinta dengan manusia.

Suara lunak

Legenda ikan duyung dalam masyarakat Inggeris dipanggil mermaid mengambil nama dari bahasa Inggeris kuno iaitu mere yang bermaksud laut dan maid iaitu gadis. Dalam bahasa Inggeris kuno, ikan duyung dikenali dengan panggilan Merewif yang digambarkan sebagai seorang wanita dengan rambut panjang yang lurus. Manusia ikan itu kononnya memiliki suara lunak untuk menarik perhatian para pelayar kapal sebagai amaran jika terdapat sebarang malapetaka di lautan.

Mengikut kepercayaan masyarakat di bahagian Eropah barat pula, legenda ikan duyung dikenali menerusi karya penulisan sastera dan buku dongeng yang ditulis oleh penulis terkenal, Hans Christian Andersen yang berjudul The Little Mermaid pada tahun 1937. Karya tersebut menceritakan tentang kisah seorang puteri duyung muda yang jatuh cinta dengan seorang anak raja selepas dia menyelamatkan putera tersebut sewaktu kapalnya karam dipukul ombak besar. Puteri duyung itu dengan rela hati mengorbankan hidupnya untuk menjadi bisu buat selama-lamanya selepas membuat pertukaran suara lunak dengan dukun laut. Dukun laut berkenaan didakwa memberinya air jampi agar dia berubah menjadi manusia sepenuhnya semata-mata untuk hidup bersama putera raja tersebut.

Karya tersebut pernah difilemkan oleh syarikat perfileman gergasi Hollywood, Walt Disney Pictures pada tahun 1989, namun beberapa plot dan jalan ceritanya telah di ubah termasuk adegan puteri duyung membunuh putera raja tersebut. Berlainan pula dengan kisah puteri duyung yang dikenali dengan nama Rusalka bagi masyarakat daerah timur Rusia. 

Hantu


Masyarakat di sana percaya, ikan duyung merupakan hantu jelmaan gadis-gadis muda yang mati kerana membunuh diri atau dibunuh. Rusalka biasanya muncul sebagai wanita dengan rambut panjang berwarna hijau serta kulit pucat. Dia kononnya sering muncul pada waktu malam dengan menari di bawah sinaran bulan sambil memanggil nama pelayar sebelum menenggelamkan mereka.


Rusalka digambarkan sebagai puteri duyung
 yang akan memikat pemuda sebelum membunuhnya

Dalam pada itu, di daerah Tiongkok, China, terdapat juga beberapa kisah dongeng mengenai ikan duyung yang dipercayai wujud sejak abad ke-15 lagi melalui penemuan beberapa karya penulisan sejarah yang menceritakan kisah air mata ikan duyung berubah menjadi permata. Sebuah buku yang dihasilkan pada abad ke-19 berjudul Jottings On the South of China menceritakan tentang dua kisah ikan duyung dengan cerita berbeza. Kisah pertama menceritakan tentang seorang pemuda yang berjaya menangkap ikan duyung di pesisir pantai di Pulau Namtao. Ikan duyung itu digambarkan mempunyai rupa seperti manusia, namun tubuhnya dipenuhi dengan rambut bewarna-warni tetapi sayangnya tidak boleh bercakap.

Pemuda tersebut bagaimanapun nekad untuk mengahwini ikan duyung itu sehingga gadis tersebut mati sebelum disemadikan semula ke tempat asalnya. Cerita kedua tentang legenda ikan duyung di China mengisahkan seorang pemuda yang terjumpa ikan duyung dalam keadaan terikat. Pemuda itu kemudian melepaskan ikan duyung tersebut dan berkahwin dengannya sebagai tanda terima kasih.

Walaubagaimanapun, hingga kini, kemajuan sains dan teknologi moden di dunia, pada dasarnya belum mampu mengungkap lebih jauh data data yang berkaitan dengan kehidupan mahluk air misteri ini. 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...