Saturday, January 23, 2016

La Pascualita gadis pengantin yang disumpah




Patung yang memakai pakaian pengantin di sebuah butik di bandar Chihuahua di utara Mexico ini bukan sembarangan. Teori yang berlegar sejak dulu, La Pascualita sebenarnya bukanlah sekadar patung. Kononnya, La Pascualita berasal dari tubuh seorang gadis yang telah diawetkan menjadi patung! Ada juga yang menggelarnya sebagai pengantin yang mati akibat disumpah! Pada bulan Mac 1930, pertama kali patung La Pascualita dipertontonkan kepada umum disebalik kaca butik tersebut. Sebaik diletakkan di sebalik cermin, patung yang didandan dengan pakaian pengantin ini cukup mudah menarik perhatian mata pengunjung yang lalu lalang di situ.

Ramai yang memuji La Pascualita dianggap sebagai manequin yang terbaik kualitinya pada zaman itu. Raut wajah yang cantik dan mempersona, bola mata yang bulat dan galak serta kulit wajah yang cantik kemerahan, membuatkan mata yang memandang tidak lekang untuk terus melihat La Pascualita. Bagaikan ada kuasa magnet yang menarik mata pengunjung untuk terus memerhatikan susuk tubuh patung ini. Warga kota Chihuahua berasakan ada sesuatu kelainan pada manequin La Pascualita. Memandang patung ini bagaikan melihat seorang gadis hidup yang mempunyai jiwa.

Banyak ciri-ciri manusia yang terlihat pada patung ini. Rambutnya, raut wajahnya, kulit malah kukunya tampak seperti manusia asli. Apabila diamati, penduduk mendapati wajah La Pascualita mirip dengan wajah Pascuala Esparza, pemilik butik itu pada zaman berkenaan. Maka, tersebarlah khabar angin yang mengaitkan patung itu dengan anak pemilik butik tersebut. Penduduk mula percaya manequin La Pascualita adalah anak gadis Esparza yang telah menemui ajal akibat digigit labah-labah beracun pada hari perkahwinannya.

Esparza dituduh mengawet mayat anak gadisnya, lalu dipakaikan pakaian pengantin yang sepatutnya dipakai pada hari perkahwinan tersebut. Setelah itu, patung mayat anak gadisnya ditayangkan disebalik cermin butik itu. Saat gosip itu hebat diperkatakan, Esparza tampil menafikan dakwaan penduduk. Namun, tindakannya itu sudah terlambat. Tiada siapa yang percaya dengan penafiannya itu. Dari sudut positif, khabar angin itu berjaya menarik perhatian ramai pengunjung. Bukan saja dari kalangan penduduk tempatan, malah pengunjung dari luar termasuk para pengkaji sanggup datang untuk menyaksikan sendiri keanehan La Pascualita.

Ini kerana manequin berpakaian pengantin ini turut diiringi dengan pelbagai kisah seram. Kononnya anak mata patung ini boleh bergerak-gerak, mengikut gerak langkah pengunjung di dalam butik berkenaan. Ada yang mengatakan posisi patung ini sering berubah-ubah daripada posisi asal. Kononnya La Pascualita akan 'hidup' dan bergerak-gerak pancainderanya terutama pada waktu malam. Namun, apa yang lebih menggemparkan sejak tahun 70-an ialah kulitnya yang kelihatan 'hidup' terutama pada jari-jemari dan tangannya. Garisan tapak tangan dan kukunya kelihatan betul-betul seperti manusia. Bahkan, pada kakinya juga terlihat garisan varises atau urat nadi yang timbul, menguatkan lagi kepercayaan bahawa La Pascualita pada asalnya seorang manusia.

Anak mata yang kononnya boleh bergerak

kuku dan jari jemarinya tampak hidup

Wajah anak gadis pemilik butik Pascuala Esparza

Bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh sebuah muzium menafikan dakwaan itu. Ini kerana mustahil seseorang itu mampu mengawetkan mayat manusia dengan bentuk yang amat sempurna. Ditambah pula dengan kulitnya yang mulus seperti porselin walaupun sudah berusia puluhan tahun. Namun, penafian itu tidak berjaya mengekang kepercayaan pengunjung. Cukup ramai yang datang, bukan sekadar memerhati bahkan turut merenung berjam-jam lamanya ke arah patung ini. Jawapannya tetap sama, mereka percaya La Pascualita berasal daripada seorang manusia.





Monday, January 18, 2016

Misteri jelmaan Nona Baker di Sungai Lembing




Siapakah Nona Baker?

Nama perawan Inggeris itu memang popular sewaktu tinggal di Sungai Lembing dan boleh berbahasa Melayu dengan penduduk tempatan. Sebelum pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941, perawan Inggeris ini berhijrah ke Pahang semata-mata mahu menemani abangnya, V.B.C Baker yang ketika itu bertugas sebagai pengurus besar lombong bijih timah di Sungai Lembing. Namun, tanpa disangka perawan Inggeris ini menempuh pengalaman pahit yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayatnya apabila dia dan abangnya terpaksa melarikan diri ke dalam hutan untuk mencari perlindungan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Semasa melarikan diri ke hutan, ditakdirkan abangnya menemui ajal akibat serangan wabak penyakit dan tinggallah Nona Baker sendirian. Khabarnya Nona Baker tiada pilihan dan bergabung pula dengan pihak tentera anti Jepun di hutan. Selepas Jepun menyerah kalah, Nona Baker dipercayai terus bersama kumpulan gerila di hutan. Sejak itulah, terdengar khabar tentang perawan Inggeris itu memperjuangkan ideologi songsangnya di samping bertanggungjawab menulis risalah subversif.

Riwayat hidup Nona Baker dibukukan bertajuk 'Pai Naa: The Story Of Nona Baker' hasil penulisan Dorothy Thatcher dan Robert Cross. Antara episod yang diceritakan memoir itu bagaimana abang Nona Baker iaitu General Manager PCCL, V.B.C Baker mematikan lima unit pam yang mengeluarkan air dari lombong bawah tanah yang selama ini berfungsi tanpa gagal. Memoir itu membongkar rahsia bagaimana abangnya telah menenggelamkan lombong di Sungai Lembing ketika tentera Jepun menduduki Tanah Melayu. Lombong bawah tanah itu diletupkan satu demi satu bagi menghalang dibangunkan semula tentera Jepun selepas Tanah Melayu ditakluki pada 1941. Tujuan utama V.B.C Baker bertindak begitu bagi mengelakkan Jepun mengambil alih serta mendapat hasil lumayan hasil lombong yang telah diusahakan oleh British dan pekerja-pekerja tempatan ketika itu. Ketika itu pengurus besar lombong itu diberikan sebuah banglo yang diberi nama 'The European Bungalow 1' atau singkatannya EB1. Di sinilah juga Nona Baker dan abangnya menghabiskan masa sewaktu malam tiba dan cuti umum berseronok bersama rakan-rakannya di rumah kelab yang hanya dikhaskan untuk warga Eropah. Mereka minum arak, bersuka ria dan menyanyi bagi menghiburkan hati selepas penat bekerja.

Lombong bawah tanah Sungai Lembing

Antara peralatan pejabat pentadbiran di Syarikat PCCL
pada sekitar tahun 1940an ke 1950an

Banglo Pengurus PCCL ini dijadikan sebagai Muzium Sungai Lembing

Papan tanda ini terdapat di bahagian pintu masuk

Pekerja tempatan yang terdiri dari kaum Melayu dan Cina tinggal di beberapa buah rumah bersambung  yang dibina di sepanjang Sungai Kenau. Kawasan ini digelar 'Banglo Orang Asia' yang terpisah dari kawasan kediaman orang Eropah. Pada zaman kegemilangannya, Sungai Lembing tidak pernah sunyi dari segala hiruk pikuk manusia dari Eropah dan 2,500 para pekerja dari Asia termasuk kaum Melayu dan Cina. Ketika itu Pak Itam atau nama sebenarnya Muhamad Sharif Muhammad dan para pekerja lombong berpeluang membeli belah barangan berjenama yang diimport di gudang premis syarikat itu seperti kemeja Arrow, Burdle dan kasut pula jenama Clarks dan John White yang bebas cukai, jauh lebih murah berbanding dari Kuantan atau Kuala Lumpur. Banyak kedai menjual pelbagai barangan keperluan harian dibuka untuk menjual barangan import termasuk rokok, arak dan buah-buahan tanpa dikenakan cukai. Nona Baker dan abangnya telah memperkenalkan suatu gaya hidup masyarakat Inggeris  yang ekslusif. Rumah kelab adalah tempat untuk mereka bersosial dan keahlian terbuka kepada komuniti Eropah sahaja. Rumah kelab juga merupakan sumber maklumat terkini Nona Baker mengetahui hal ehwal Eropah kerana di sini terdapat majalah dan surat khabar seperti London Illustrated, Time dan Life.

Setiap kali tiba hari Krismas, Nona Baker dan dan abangnya turut mengadakan sambutan besar-besaran dan meriah di Rumah Kelab Sungai Lembing. Mereka berdua menjemput kenalan pelbagai kaum untuk menghadiri perayaan itu. Sebagai memenuhi masa lapang, Nona Baker dan komuniti di Sungai Lembing turut berpeluang menonton filem dari Britain dan Hollywood  di sebuah panggung wayang yang dibina di situ sebagai hiburan. Ketika itu hidupan sosial di sungai lembing begitu bebas. Percampuran antara lelaki dan perempuan dianggap perkara biasa hasil gaya hidup yang dibawa oleh warga Eropah. Malah nama PCCL itu sendiri menjadi gurauan dikalangan bekas pekerja tempatan seperti Pak Itam sehingga sekarang yang menyarankan pelbagai makna antaranya 'Putus Cinta Cari Lain'.

Tang! Tang! Tang! Dentingan aneh loceng Lombong

Suatu malam Pak Itam bertugas sebagai pemandu Q. Tugas Pilot Q bukan mudah. Pak Itam ditugaskan menurunkan pekerja-pekerja lombong menggunakan lif yang disediakan mengikut arahan tekong. Setiap kumpulan biasanya terdapat 50 orang pekerja. Setiap pekerja perlu menekan loceng mengikut destinasi yang hendak dituju mengikut kedalaman lombong yang hendak dimasuki. Biasanya dalam setiap kumpulan itu salah seorang akan ditugaskan menarik loceng. Jika pekerja hendak turun ke dalam lombong sedalam 1,000 kaki isyarat pertama perlu mereka lakukan ialah membunyikan tiga kali 'dentingan' loceng dan diikuti dengan 10 kali 'denting'. Satu 'denting' bermakna seratus kaki.

Tang! Tang! Tang! Sesudah tiga kali dentingan loceng lif itu dibunyikan barulah Pak Itam faham ada pekerja yang perlu dihantar ke destinasi yang dituju. Suatu malam, Pak Itam diarah bertugas lagi sebagai pemandu Q. Sebaik masuk bertugas malam berkenaan, dia terdengar bunyi dentingan sebanyak tiga kali. Tang! Tang! Tang! Bunyi itu bergema-gema. Pak Itam mendiamkan diri. Pak Itam amat arif dengan setiap bunyi dentingan. Jika berbunyi tiga kali 'denting' sekali gus itu petanda ada penghuni sedang berada di dalam lif tersebut. Tetapi jika bunyi dentingan melebihi tiga kali itu hanya mainan semata-mata dan Pak Itam tidak perlu ambil berat. Lif tidak boleh bergerak selagi bunyi dentingan itu belum dilengkapkan sepenuhnya mengikut kedalaman lombong yang hendak dituju seseorang. Tang! Tang! Tang! Tang! Tang! Tang! Bunyi dentingan bertalu tanpa memenuhi syarat ditetapkan. Kenapa dentingannya terhenti setakat enam kali. Kenapa tiada dentingan seterusnya? 10 atau 8. Kenapa senyap?

Siapakah gerangan yang membunyikan loceng itu tanpa mencukupkan bilangannya? "Esoknya Pak Itam bertanya rakan-rakanny. Ada tak sesiapa yang turun semalam?" Jawapannya memang tiada! Aneh. Jadi siapakah yang membunyikan loceng lif itu bertalu-talu pada malam tadi? Sudah berpuluh tahun Pak Itam bertugas di Lombong Sungai Lembing. Sejak itulah beliau sudah lali dengan 'permainan' bunyi dentingan yang sengaja dibunyikan bagi menakutkan penjaga loceng malam seperti Pak Itam tetapi Pak Itam tak pernah takut dan tahu 'makhluk' itu sengaja mahu mempermainkannya. Pernah suatu malam ketika Pak Itam sedang bertugas, tiba-tiba dia ternampak sebiji bebola api sebesar tong dram jatuh tak jauh dari tempatnya berdiri. Peliknya sewaktu dia mengamati tempat objek itu jatuh, tiada apa-apa yang terbakar. Keanehan itu belum berakhir. Ketika dia sedang bertugas pada pukul 10 malam di dalam lombong Pak Itam pernah bertembung dengan seorang budak kecil berusia kira-kira dua tahun melintas di hadapannya. Lembaga berbentuk kanak-kanak itu muncul selama 10 minit sebelum menghilangkan diri.

Sebenarnya bukan Pak Itam seorang yang pernah bertembung dengan kanak-kanak itu malah sudah ramai yang mengadu bertemu lembaga aneh berkenaan. Siapakah kanak-kanak berkenaan? Adakah budak itu ada kaitan dengan Nona Baker? Cerita-cerita keanehan tentang keanehan Nona Baker, dentingan loceng lif, bebola api, jelmaan kanak-kanak serta bunyi aneh deringan telefon antik, mesin taip berbunyi sendiri masih belum terjawab. Segala-galanya tinggal misteri seiring dengan penutupan lombong Sungai Lembing yang pernah mendapat jolokan El-Dorado Timur itu.

Sungai Lembing pernah digelar El-Dorado Timur
banyak menyimpan sejarah yang tak ternilai

Nota: Bermula sebagai sebuah bandar perlombongan yang makmur pada penghujung abad ke-19 hingga pertengahan 1980-an, Sungai Lembing terbiar sepi selepas operasi dihentikan lantaran harga bijih timah jatuh merudum sehingga tidak lagi menguntungkan para pelabur. Penutupan lombong bersejarah pada 1986, meninggalkan kesan mendalam ke atas penduduknya. Keputusan itu menyebabkan ribuan pekerja sama ada penduduk tempatan atau luar terpaksa meninggalkan Sungai Lembing untuk mencari pekerjaan baru di tempat lain. Rumah-rumah banglo Eropah dan Asia ditinggalkn sepi. Rumah kedai pula dijual kepada penduduk tempatan manakala panggung wayang telah ditukar menjadi dewan orang ramai.

Sejak itulah bandar ini digelar 'ghost town' yang menyeramkan sesiapa saja. Lombong bersejarah di pinggir Sungai Kenau dikelilingi Gunung Tapis itu hanya tinggal kenangan belaka. Tanda-tanda Sungai Lembing kembali bernafas kembali bermula pada Jun 2001 apabila Muzium Sungai Lembing dibuka kepada umum setelah Jabatan Muzium dan Antikuiti membaik pulih rumah banglo pengurus besar lombong yang usang menghadap ke arah Sungai Kenau itu.  





Tuesday, January 5, 2016

Misteri kehilangan Tara




Awal pagi 20 September 1988, Tara Leigh Calico memulakan rutin hariannya dengan berbasikal. Sudah menjadi kebiasaan bagi gadis manis berambut perang itu untuk berbasikal sejauh 45 kilometer sekitar kawasan perumahannya di New Mexico. Bezanya hari itu, Tara tidak menaiki basikalnya sendiri kerana tayar basikalnya pancit, dia meminjam basikal berwarna merah jambu milik ibunya, Patty Doel. Pukul 9.30 pagi, Tara keluar meninggalkan perkarangan rumahnya di New Mexico dengan memakai baju sejuk berwarna jingga. Sudah menjadi kebiasaan buat gadis berhidung mancung itu untuk mendengar lagu di perakam kaset miliknya hanya sekadar mahu menghilangkan rasa bosan.

Tara Leigh Calico

Tara digambarkan sebagai seorang gadis yang sangat teratur dan gemar merancang jadual sehariannya. Kerana itu, Tara telah meminta ibunya untuk datang mencarinya jika dia tidak pulang pada pukul 12.00 tengah hari, kerana Tara telah berjanji untuk bermain tenis bersama kekasihnya sebelum menghadiri kuliah pada pukul 4.00 petang hari yang sama. Tara adalah pelajar di Universiti New Mexico pada ketika itu. Pada pukul 12.05 tengah hari, Doel keluar mencari Tara kerana anak gadisnya itu masih belum pulang ke rumah. Doel melalui jalan yang biasa dilalui oleh Tara setiap kali berbasikal namun gagal menemui anak gadisnya itu. Bimbang sesuatu yang buruk terjadi kepada Tara, Doel akhirnya menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan mencari Tara Leigh Calico.

24 jam berlalu namun masih tiada berita mengenai Tara. Doel yang runsing bertindak melalui jalan yang biasa dilalui oleh Tara dan akhirnya menjumpai perakam kaset milik Tara ditinggalkan di tepi jalan raya beberapa kilometer dari rumah mereka. Doel percaya kaset itu ditinggalkan di sana ialah salah satu cara Tara meninggalkan 'jejak'nya. Berhampiran kawasan perakam kaset itu dijumpai, terdapat kesan tayar yang dipercayai merupakan kawasan berlakunya pergelutan. Namun, kelibat basikal dan anaknya masih tidak kelihatan. Menurut saksi yang mengaku ada terlihat Tara berbasikal pada hari dia dilaporkan hilang, terdapat sebuah trak pikap berwarna kelabu mengekori Tara sewaktu dia berbasikal. Namun tidak dapat dipastikan sama ada trak itu mempunyai kaitan dengan kes kehilangan Tara.

Hari demi hari, misteri kehilangan Tara masih belum dapat dirungkai. Pihak penyiasat menemui jalan buntu kerana tiada langsung bukti yang boleh membawa kepada penangkapan suspek mahupun penemuan Tara. Hampir setahun selepas kehilangan Tara, sekeping gambar polaroid ditemui di Port St. Joe, Florida. Gambar itu menunjukkan seorang perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki yang tangannya diikat dan mulut mereka berdua ditampal tape. Menurut saksi, sebuah kereta Toyota dipercayai di parkir di kawasan di mana gambar tersebut dijumpai. Menurut pakar analisis, gambar tersebut telah diambil dalam sebuah kereta Toyota tanpa tingkap yang mana menguatkan lagi dakwaan saksi kejadian yang menjumpai gambar tersebut.

Gambar tersebut juga dipercayai diambil selepas bulan Mei 1989, kerana filem polaroid yang digunakan hanya wujud selepas tarikh tersebut. Sebuah novel VC Andrews berjudul 'My Sweet Audrina' cawan plastik dan sebuah pistol air adalah antara barangan yang dapat dilihat dengan jelas dalam gambar polaroid itu. Mungkin hanya kebetulan, tetapi VC Andrews merupakan salah seorang penulis yang diminati oleh Tara. Penyiasat juga menemui tulisan nombor yang seperti sengaja ditulis di atas novel tersebut namun ada beberapa nombor yang ditulis tidak kelihatan jelas menjadikan sukar bagi pihak penyiasat untuk menentukan nombor yang sebenarnya. Pihak berkuasa percaya bahawa gadis didalam gambar tersebut merupakan gadis yang dikatakan dilihat berjalan di tepian pantai Port St. Joe sejurus sebelum gambar tersebut ditemui. Beberapa orang saksi turut mendakwa melihat gadis itu di tepian pantai dan diawasi oleh beberapa orang lelaki yang dikatakan memberikan arahan kepada gadis itu.

Gambar polaroid yang seakan-akan memberi harapan
untuk kes misteri ini selesai

Ada yang mendakwa kanak-kanak lelaki di dalam gambar tersebut merupakan Michael Henley, seorang kanak-kanak yang berusia sembilan tahun yang dikatakan hilang pada tahun 1988 di kawasan berdekatan dengan tempat Tara kali terakhir dilihat. Ibu kepada Michael mendakwa kanak-kanak di dalam gambar polaroid tersebut merupakan anaknya yang hilang. Namun, rangka mayat Michael telah dijumpai di Gunung Zuni pada tahun 1990. Pihak FBI yang turut sama menyiasat kes ini tidak dapat memberi kata putus sama ada individu dalam gambar tersebut benar-benar Tara mahupun tidak. Rambut dan telinga gadis di dalam gambar tersebut mirip Tara namun tidak dapat dipastikan sama ada gambar tersebut sengaja 'direka' mahupun benar kedua-dua individu itu diikat tanpa kerelaan mereka. Dua keping gambar polaroid turut ditemui beberapa tahun selepas gambar yang pertama ini ditemui. Gambar yang pertama ditemui pada tahun 1989, di California.

Gambar misteri yang ketiga ditemui pada tahun 1990, dimana gambar itu menunjukkan seorang gadis yang matanya ditutup dengan kain pembalut luka. Doel tidak pasti sama ada gadis di dalam gambar itu merupakan anaknya dan dia menyifatkan gambar tersebut mungkin hanya diambil untuk dijadikan jenaka. Pihak polis mendapat maklumat yang mana mengatakan sewaktu hari kehilangannya, Tara diekori oleh dua orang remaja lelaki yang dipercayai tidak sengaja telah terlanggar belakang basikal Tara dengan trak mereka. Penyiasat membuat andaian bahawa remaja lelaki tersebut membawa Tara pergi dari tempat kejadian menaiki trak mereka dan kemungkinan Tara telah dibunuh bagi mengelakkan Tara melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa. Namun ia hanyalah andaian kerana sehingga kini, tiada langsung suspek yang ditahan dan kes Tara tergantung tanpa noktah.


Sehingga kini, kehilangan Tara masih menjadi tanda tanya

Ibu Tara, Doel terus tinggal di rumah mereka sehingga 15 tahun selepas kehilangan Tara, sebelum berpindah ke Florida. Ibu Tara meninggal dunia pada tahun 2006. Ayah kandung Tara meninggal pada tahun 2002. Manakala ayah tiri serta adik-beradik Tara yang lain masih hidup dan masih menanti khabar mengenai Tara sehingga ke hari ini. Misteri kehilangan Tara dan gambar polaroid yang ditemui kekal menjadi tanda tanya kepada semua.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...