Thursday, March 23, 2017

Blind Maiden laman web berpuaka



Kecanggihan peralatan teknologi juga tidak terlepas daripada tempias yang dikaitkan dengan unsur mistik biarpun berada dalam dunia serba moden. Pembikinan beberapa buah filem seram seperti The Ring, One Missed Called dan Fear.Com misalnya juga dihasilkan dengan mengisahkan cerita hantu yang dilalui menerusi penggunaan peralatan canggih. Penghasilan filem-filem seperti itu jelas menunjukkan alam paranormal turut dipengaruhi dengan perkembangan teknologi seperti komputer, telefon bimbit dan internet. Salah satu kisah popular yang dikaitkan dengan teknologi adalah kisah tentang sebuah laman web dari Sepanyol yang dikatakan bakal menghantui pengunjungnya dengan pengalaman sungguh menakutkan.

Laman web Tersebut www.blindmaiden.com adalah sebuah laman web yang dikatakan tidak boleh dilayari melainkan pelawat mesti menepati beberapa syarat terlebih dahulu. Antara syaratnya adalah, pengunjung perlu bersendirian, melayari laman web tersebut tepat pada pukul 12 tengah malam, semua lampu perlu ditutup dan berada dalam keadaan gelap, melayari laman web tersebut pada malam tanpa bulan dan tidak mempunyai sebarang objek berkaitan dengan unsur keagamaan berhampiran komputer. 

Pengunjung laman web Blind Maiden perlu mengikut
pantang larang semasa melayari laman web tersebut

'Terima' atau 'Tolak'

Menurut dakwaan beberapa pihak, alamat sebenar laman web tersebut adalah www.blaindmadelaine.com dan pengunjung hanya boleh melayari laman web itu pada hari khamis malam Jumaat sahaja. Selepas melayari laman web tersebut, perkara pertama yang akan muncul ialah paparan imej-imej yang menyeramkan sehingga boleh mengganggu fikiran. Antara imej yang dipaparkan ialah gambar berupa individu tidak bermata dan gambar penyeksaan yang sungguh mengerikan. Paparan imej-imej itu pula disiarkan pada skrin dengan pantas satu persatu dan memberikan pandangan seolah-olah individu yang dipaparkan itu berada dalam keadaan menjerit.

Beberapa ketika kemudian, satu soalan akan muncul pada skrin komputer yang berbunyi "adakah anda berminat untuk merasai pengalaman seram sebenar?" sambil tertera dua butang iaitu 'terima' atau 'tolak'. Jika pengunjung tersebut menekan butang 'terima', ini bermakna pengunjung tersebut berminat untuk meneruskan permainan dan sekali gus sumpahan telah pun diletakkan pada mereka. Sejurus kemudian, pengunjung yang ingin meneruskan permainan itu akan melihat gambaran satu susuk tubuh lembaga pada skrin yang kelihatan pada mendekati pengunjung. Apa yang berlaku, lembaga itu sebenarnya telah dipanggil ke rumah pengunjung laman web tersebut dan akan muncul pada bila-bila masa.

Segala gerak-geri lembaga itu boleh dilihat sendiri oleh pengunjung melalui paparan pada skrin komputer sehinggalah susuk tubuh lembaga itu berdiri di belakang mereka. Pada saat itu, pengunjung laman web itu boleh merasai sendiri kehadiran lembaga tersebut di belakang mereka sebelum bahu mereka ditepuk. Perkara terakhir yang akan dilihat oleh pengunjung adalah wajah sebenar Blind Maiden yang dilihat merenung mereka dengan mata yang dahsyat.

Tanpa mata

Blind Maiden dikatakan akan merobek mata pengunjung dan kejadian itu dirakam untuk diabadikan sebagai sebahagian daripada paparan imej menakutkan di laman web tersebut. Walaupun sukar untuk dipercayai kewujudan laman web itu, beberapa pelayar internet di Sepanyol mengesahkan ia benar-benar wujud beberapa tahun lalu. "Blind Maiden atau di dalam bahasa Sepanyol, La Doncella Ciega memang benar-benar wujud, malah saya sendiri pernah melaluinya semasa melayari laman web tersebut," ujar seorang lelaki Sepanyol. Katanya lagi, dia tidak mempedulikan nasihat orang lain dan tekad untuk menekan butang 'terima' sebelum mendakwa terlihat susuk tubuh lembaga berjalan mendekati rumahnya.

Hantu Blind Maiden dikatakan tidak mempunyai mata dan
akan mengorek mata pengunjung laman web itu

Menerusi paparan pada skrin komputer, lelaki tersebut mendakwa melihat dirinya sendiri di dalam komputer sementara susuk tubuh lembaga itu berada di belakangnya. Apabila lelaki itu memusingkan kepalanya, ternyata susuk lembaga itu benar-benar berada di dalam rumah dan sedang memandangnya dengan pandangan yang amat menakutkan, namun tidak mempunyai mata. "Dia berbisik kepada saya dalam bahasa yang tidak difahami," kata lelaki itu yang akhirnya bangun dan lari, namun tergelincir sebelum kepalanya terhantuk pada bucu meja. 

Sejak daripada kejadian itu, lelaki tersebut tidak lagi berani untuk menggunakan komputer dan memandang rendah pada kewujudan alam paranormal. Walaupun terdapat beberapa pihak mendakwa kewujudan perkara menyeramkan itu, namun diketahui laman web tersebut tidak lagi wujud untuk dilayari oleh pengguna internet.





Tuesday, February 14, 2017

Misteri hantu Tiyanak pemburu manusia



Tangisan bayi kecil yang didengari itu benar-benar menakutkan sesiapa sahaja terutama jika ia terjadi pada lewat tengah malam. Rata-rata dalam masyarakat Filipina, mereka percaya bahawa suara tangisan anak kecil itu bukanlah suara dari seorang bayi yang mungkin terjaga di tengah malam kerana dahagakan susu ataupun minta untuk ditukarkan lampin. Sebaliknya, ia adalah suara tangisan daripada hantu Tiyanak atau Tianak yang dahagakan darah manusia. Dalam kepercayaan masyarakat Filipina, terdapat sejenis hantu yang dinamakan Tiyanak dan digambarkan seperti seorang bayi kecil.

Tangisan seolah-olah seperti bayi itu adalah bertujuan untuk menarik perhatian manusia bagi mendekatinya dan dijadikan mangsa dengan membunuh dan menghisap darahnya. Ketika dihampiri mangsa, Tiyanak akan berubah dengan mempamerkan wajah yang menyeramkan dan akan menghisap darah mangsanya sehingga mati. Walaupun Tiyanak dikhabarkan mempunyai pelbagai cerita, namun kebanyakan kisah mempunyai versi yang sama iaitu Tiyanak akan menyamar sebagai seorang bayi dan akan menangis dengan kuat untuk memikat mangsanya.

Roh bayi

Sewaktu zaman penjajahan Sepanyol di Filipina pada abad ke-16, mitos Tiyanak telah diceritakan mengikut kepercayaan agama Kristian. Di dalam versi tersebut, Tiyanak diceritakan sebagai roh bayi yang telah mati sebelum sempat menjalani upacara keagamaan untuk menyucikan diri. "Bayangkan jika sedang berjalan di sebuah kawasan perkampungan, tiba-tiba terlihat sekujur tubuh bayi sedang menangis. Sebagai manusia yang mempunyai hati, pasti kita tidak akan membiarkan bayi itu tersebut menangis begitu sahaja," ujar seorang penduduk dari suku kaum Mandaya di kepulauan sekitar Mindanao.

Semasa mangsa mengangkat bayi tersebut untuk diselamatkan, secara tiba-tiba wajah bayi itu akan berubah dengan mengeluarkan taring dan kuku yang tajam sebelum merobek-robek tubuh mangsanya. Bagi masyarakat Mandaya, mereka percaya bahawa Tiyanak adalah roh seorang bayi yang mati bersama ibunya semasa berada di dalam kandungan dan dikebumikan bersama-sama. Dalam kepercayaan lain, mereka menyatakan bahawa Tiyanak adalah roh daripada bayi yang mati akibat dibunuh dengan kejam atau bayi yang ditinggalkan oleh ibunya sehingga mati akibat kelaparan dan menjadikan darah manusia sebagai minumannya.

Hantu Tiyanak akan memburu mangsa dengan suara tangisan
sebelum menunjukkan rupa sebenar yang menakutkan

Beberapa khabar mengatakan bahawa Tiyanak juga ditemui menyerupai susuk tubuh seorang lelaki tua dengan kulitnya yang berkedut, bermisai panjang, hidung yang panjang dan mata hitamnya kelihatan besar. Bagi masyarakat Filipina, mereka sangat-sangat berhati-hati jika ternampak wanita yang membawa bayi pada waktu malam, kerana diberitahu, Tiyanak juga boleh menyamar untuk menjadi individu lain. kononnya, Tiyanak suka menyerang pengembara yang tersesat di dalam hutan atau orang luar yang baru berpindah di sesuatu kawasan penempatan itu kerana mereka belum mengenali penduduk yang ada disitu sekali gus memudahkan Tiyanak untuk mendekati mereka.

Hantu Tiyanak biasanya akan menyamar menjadi seorang bayi biasa
sambil menangis dan menghisap darah mangsanya sehingga mati




Friday, February 10, 2017

Sumpahan Ivan Vassili


Kisah-kisah seram yang melibatkan sebuah kapal kargo milik Rusia iaitu Ivan Vassili dikatakan merupakan satu kisah benar. Sehingga kini, tiada sesiapa pun yang tahu apa yang menyebabkan kapal tersebut cukup digeruni. Dibina pada tahun 1897, kapal besar itu dikatakan cukup stabil dan semasa mula-mula beroperasi, tiada apa-apa perkara aneh yang berlaku di atas kapal tersebut. Begitu pun, pada tahun 1903, satu insiden yang menakutkan telah terjadi di atas Ivan Vassili dan kapal itu terus menjadi bualan dalam kalangan masyarakat di Rusia.

Pada tahun itu, kerajaan Rusia dikatakan sedang bersedia untuk berperang dengan Jepun dan Ivan Vassili ditugaskan untuk membawa peralatan-peralatan perang untuk digunakan sepanjang tempoh tersebut. Dalam salah satu misinya, kapal itu telah ditugaskan ke Cape Town, Afrika Selatan untuk mengambil arang batu tetapi dalam pelayaran itu, kesemua anak kapal terasa mereka seolah-olah sedang diperhatikan. Kawasan di dek kapal terasa muram dan negatif seolah-olah ada sesuatu yang tidak baik akan menimpa mereka.

Pergaduhan

Begitu pun, mereka tetap meneruskan perjalanan seperti biasa. Sehingga pada satu malam, salah seorang anak kapal memberitahu kapten, dia ternampak satu lembaga hitam yang sedang berjalan menuju ke bahagian belakang kapal sebelum tiba-tiba hilang. Pada malam yang sama juga, mereka tiba-tiba terdengar satu jeritan yang cukup kuat yang datangnya daripada salah seorang anak kapal yang sedang berehat, sebelum kesemua anak kapal yang lain tiba-tiba sahaja bergaduh sesama sendiri. Mereka seolah-olah sedang dirasuk dan keadaaan menjadi bertambah buruk apabila salah seorang daripada mereka tiba-tiba terjun ke dalam laut. Terkejut dengan keadaan itu, mereka semua mendiamkan diri dan tidak sedar dengan apa yang berlaku.

Kesemua anak-anak kapal tidak menyedari mereka sedang
bergaduh sesama sendiri semasa menaiki Ivan Vassili

Beberapa hari kemudian, insiden yang sama berulang dan kali ini lebih ramai anak kapal yang terjun ke dalam laut selepas bergaduh sesama sendiri. Mereka kemudian tetap meneruskan perjalanan sehingga tiba ke destinasi. Kerajaan Rusia kemudian mengambil keputusan untuk menghentikan khidmat kapal Ivan Vassili buat sementara waktu selepas insiden misteri itu. Begitu pun, beberapa bulan kemudian, Ivan Vassili mula kembali beroperasi seperti biasa dan ia belayar ke Hong Kong. Kesemua anak kapal masih lagi ragu-ragu untuk menaiki kapal itu kerana bimbang insiden sama berulang.

Kekal misteri

Dalam pelayaran ke Hong Kong itu, anak-anak kapal dirasuk lagi dan mereka mula bergaduh dan bercakaran sesama sendiri sehingga lebih ramai anak kapal yang terjun ke dalam laut dan mati. Insiden tersebut berlaku berlanjutan selama beberapa hari sehinggalah kesemua mereka tiba di Hong Kong. Setibanya ke negara itu, kapten kapal bertindak membunuh diri dengan menembak kepalanya. Kerajaan Rusia kemudiannya melantik kapten baru dan Ivan Vassili kembali belayar ke San Francisco, Amerika Syarikat. Sebaik sahaja tiba disana, kapten baru itu juga membunuh diri dan tiada siapa yang tahu mengapa dia bertindak demikian.

Anak-anak kapal yang masih hidup tahu ada sesuatu yang tidak kena pada kapal itu dan bertekad tidak akan menaiki Ivan Vassili lagi. Kapal itu dihantar pulang ke Rusia dan kerajaannya mengambil langkah membakarnya. Ketika dibakar, beberapa orang bekas anak kapal terdengar jeritan yang amat kuat dari dalam kapal tersebut dan mereka terdiam kerana terlalu takut. Sehingga kini, tiada siapa pun tahu makhuk apa sebenarnya yang tinggal di dalam Ivan Vassili dan menganggu anak-anak kapal di situ.

Salah seorang anak kapal mendakwa pernah terlihat
satu lembaga hitam misteri di atas kapal tersebut





Tuesday, February 7, 2017

Tidak hanya popular di Malaysia



Kisah van putih tidak hanya popular di Malaysia. Ia turut popular di seluruh dunia dengan modus operandi yang hampir sama iaitu menculik kanak-kanak. Kebanyakan kes dikatakan, penculik hanya menggunakan van putih dan jarang sekali penjenayah dikatakan menggunakan van warna lain.



KES 1 - SEPTEMBER 2016

MISSOURI, Amerika Syarikat - Pihak polis memulakan siasatan berkaitan laporan penculikan di kawasan tersebut. Sebelum ini seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cuba diculik seorang wanita yang memandu sebuah van putih sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah. Kanak-kanak itu menolak pelawaan, namun ditarik masuk oleh dua orang lelaki ke dalam. Menurut kanak-kanak itu, dia berjaya melarikan diri dengan terjun daripada van berkenaan dan tidak mengalami kecederaan.

KES 2 - SEPTEMBER 2016

CALIFORNIA, Amerika Syarikat - Polis sedang menyiasat dakwaan seorang remaja perempuan yang mengatakan dia hampir diculik. Remaja yang berusia 13 tahun itu memaklumkan kepada pihak polis Chula Vista pada jam 8 pagi, dia berjalan kaki untuk ke sekolah tetapi datang sebuah van putih dan seorang lelaki turun, lalu cuba menariknya masuk. Namun dia berjaya melepaskan diri lalu pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian tersebut kepada ibu bapanya.

KES 3 - MAC 2016

UNITED KINGDOM - Polis menasihati ibu bapa supaya lebih berhati-hati apabila wujud cubaan culik dua kanak-kanak oleh lelaki yang menaiki van putih. Dalam kejadian berasingan, kanak-kanak berusia 10 tahun dan 12 tahun telah diajak menaiki van. Selain itu, sebuah kolej teknologi di UK turut memberi amaran kepada ibu bapa mengenai kehadiran lelaki menggunakan van putih yang cuba menculik pelajarnya selepas tamat sesi pembelajaran.

KES 4 - FEBRUARI 2016

AUSTRALIA - Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun hampir diculik dua lelaki sewaktu berjalan seorang diri di Jalan Sydney. Berdasarkan siasatan yang dijalankan, sebuah van putih menghampiri kanak-kanak tersebut dengan seorang penumpang wanita yang memulakan perbualan dan cuba menariknya ke dalam kereta. Namun, kanak-kanak itu terselamat selepas dia menggigit

KES 5 - DISEMBER 2014

FILIPINA - Lima pelajar lelaki mendakwa mereka hampir menjadi mangsa culik selepas sebuah van putih berhenti dan seorang lelaki cuba menarik masuk salah seorang daripada mereka ke dalam van tersebut.

Kes culik van putih juga turut popular di luar negara

Kes jenayah penculikan membabitkan van putih bukan asing dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa. Beberapa kejadian culik kanak-kanak membabitkan van putih, pernah dilaporkan. Ada antaranya sengaja direka bagi melepaskan diri dari tekanan. Ada yang dilaporkan kepada polis kerana bimbang keselamatan anak walaupun kelibat van berkenaan tidak dikesan. Beberapa kes pula dikesan benar berlaku dan berjaya diselesaikan pihak polis.



Monday, January 23, 2017

Sumpahan barangan dicuri




Walaupun sains mempunyai penjelasan dalam setiap perkara yang berlaku terhadap alam, namun tidak dalam hal kepercayaan tahyul dan magis. Setiap persoalan dalam hal saintifik tidak pernah mempunyai jawapan yang dapat dirungkai melalui penyelesaian magikal. Ini termasuklah apa yang berlaku terhadap beberapa barangan dicuri orang awam namun terpaksa dipulangkan semula kerana dipercayai mempunyai sumpahan yang menakutkan.

Cincin Silvianus

Cincin Silvianus yang memiliki sumpahan menjadi
sumber inspirasi filem The Lord of the Rings

Jika anda menonton filem trilogi The Lord of the Rings, tentu sahaja anda boleh mengagak sebagaimana ia dikaitkan dengan sebentuk cincin ini. Cincin Silvianus ditemui pada 1700an dan dimiliki oleh organisasi pemuliharaan berpengkalan di United Kingdom, National Trust. Cincin seberat 12 gram itu mempunyai reka bentuk aneh dan muat untuk disarung ke ibu jari yang sedang memakai sarung tangan kulit. Beberapa dekat selepas ditemui, sekeping tablet purba Roman pula ditemui dengan inskripsi yang merujuk kepada cincin itu. Ia ditulis oleh seorang berbangsa Roman bernama Silvianus untuk memaklumkan kepada tuhan Nodens bahawa cincin itu telah dicuri oleh seorang lelaki bernama Senicianus. Inskripsi itu tertulis Sesiapa yang membawa cincin itu menanggung kesihatan yang tidak baik sehingga dia memulangkan semula kepada kuil Nodens. Cincin itu telah menjadi inspirasi kepada J.R.R Tolkien untuk menulis novel The Lord of the Rings.

Ukiran hieroglif Mesir

Ukiran hieroglif Mesir yang memiliki sumpahan

Sumpahan terhadap ukiran dan bahan arkeologi purba Mesir bukan sesuatu yang aneh lagi. Ia sering terjadi sebaik barangan purba atau tapak makam raja Mesir digali sejak beberapa abad lalu. Namun satu kejadian yang berlaku bukan kebetulan apabila seorang pelancong dari Jerman membawa pulang sekeping ukiran yang retak ketika melawat tapak purba Mesir pada 2004. Beberapa tahun kemudian, anak kepada lelaki tersebut telah memulangkan semula kepingan ukiran itu kepada Kedutaan Mesir di Berlin kerana bapanya telah meninggal dunia. Sebenarnya lelaki tersebut telah mengalami lumpuh dan demam panas dan kemudiannya telah disahkan mengidap kanser yang membunuh sebaik pulang dari melawat Mesir. Artifak itu telah dipulangkan anaknya dengan harapan roh bapanya dapat bersemadi dengan aman setelah apa yang diambil olehnya di Mesir. Manakala kedutaan Mesir di Berlin  yang menerima artifak itu menghantarnya kembali ke Muzium Kebangsaan Mesir selepas kejadian itu.

Batu Nisan Virginia

Batu nisan Virginia menjadi sasaran pencuri namun dipulangkan
selepas mereka mengalami pelbagai kejadian malang

Ini sememangnya perbuatan aneh. Tapak perkuburan sebuah bandar perlombongan di bandar Virginia dibina pada 1867 bagi menyelesaikan masalah pengkebumian mayat yang tidak selaras. Namun satu masalah lain timbul apabila kebanyakan batu nisan di kubur itu dicuri. Bagaimanapun pencuri-pencuri tersebut memulangkan semula batu itu. Pengurus tapak itu, Candace Wheeler pula memutuskan untuk menghubungi semula pencuri itu dan menyiasat sebab mereka memulangkan batu nisan tersebut. Dia mendapati kesemua mereka mencuri batu nisan itu untuk dijadikan perhiasan pada kediaman termasuk diletakkan di pintu dan sebagainya. Bagaimanapun, kesemua mereka mengalami pelbagai kejadian buruk termasuk pasangan bercerai, masalah kewangan sehinggalah ada yang mati. Mereka yang mencuri itu kemudian turut mahu mengetahui sama ada batu nisan yang diambil itu telah dikembalikan kepada kubur asal dengan harapan ia dapat memulihkan sumpahan itu.

Sumpahan peluru meriam

Dua biji peluru meriam yang dipulangkan
 oleh pencuri akibat sumpahan

Lewat 1980an, ahli arkeologi menemui beberapa ratus biji peluru meriam sebesar sebiji bola sepak yang digunakan ketika era pemerintahan Empayar Rom di sempadan Israel-Syria. Menurut rekod, bandar purba Gamla telah ditawan oleh orang Rom pada zaman purba dan 9,000 penduduknya mati akibat terjatuh di dalam gaung ketika melarikan diri ketika itu. Pada 2015, dua biji peluru meriam itu ditemui dihadapan sebuah muzium dengan nota yang menyatakan bahawa ia telah dicuri pada 1995 ketika peluru-peluru itu dibawa keluar dari tapak penemuan. Nota itu berbunyi, 'Ini adalah dua biji peluru meriam Roman dari Gamla. Saya mencurinya pada 1995 dan sejak itu, ia membawa masalah besar. Tolong jangan curi barang antikuiti!.

Relik Pompeii

Relik Pompeii yang dicuri orang ramai di tapak arkeologi Pompeii
dipulangkan semula akibat sumpahan

Akibat mencuri relik pompeii, seorang lelaki terpaksa berhadapan dengan kejadian malang yang menghantui seluruh keluarganya. Itu antara apa yang diketahui oleh Penyelia Arkeologi Pompeii, Massimo Osanna yang menerima kira-kira 100 pakej barangan mengandungi bermacam-macam barangan termasuk patung, kepingan mozek dan lukisan dinding beserta surat penjelasan oleh orang yang mencuri barangan itu. Osanna kemudian mendapat idea untuk mempamerkan kesemua surat-surat penjelasan itu pada satu pameran bagi memberi gambaran bahawa adalah bahaya untuk mencuri barangan antikuiti.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...