Monday, October 24, 2016

Hantu paya Taman Dobbin



“Tiada sesiapa datang menolong saya ketika saya lemas di paya ini. Sekarang, tiada sesiapa akan datang untuk menolong kamu, jadi kamu rasakan apa yang saya rasakan saat saya terkubur di sini.” Itulah antara ungkapan yang cukup ditakuti dan tidak berani disebut sesiapa jika ditanya mengenai legenda hantu paya Taman Dobbin. Terletak di Bell Island, Newfoundland dan Labrador, Kanada, lokasi itu cukup digeruni penduduk setempat dan tidak dibenarkan untuk dikunjungi selepas pukul 6 petang. Menurut cakap-cakap masyarakat setempat, kisah hantu itu bukan dongeng semata-mata sebaliknya cerita itu berdasarkan kisah kehilangan seorang gadis yang dipercayai dibunuh di kawasan itu pada tahun 1940-an.

Dikisahkan, gadis yang berasal dari Carbonear itu bekerja sebagai pembantu rumah di salah sebuah kediaman mewah di Wabana, Bell Island. Dia dipercayai dicemburui kebanyakan wanita di situ kerana kecantikan rupa parasnya. Oleh kerana iri hati dan hasad dengki, dia difitnah sebagai perempuan murahan dan perampas suami serta kekasih orang. Wanita malang itu kemudiannya dibelasah dan ditinggalkan di paya itu sehingga mati. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia sempat menyumpah sesiapa yang mendekati paya itu akan mati bersamanya.

Wajah berlubang

Meskipun puas menjerit meminta tolong, tiada sesiapa datang untuk menyelamatkannya. Digelar dengan nama The Hag dan The swamp Hag, hantu itu digambarkan dalam keadaan mereput dan menakutkan. “Dia ibarat ahli sihir yang tua dan hodoh. Rambutnya dipenuhi selut, manakala wajahnya berlubang-lubang. “Ia juga pernah dilihat dalam keadaan bertengkorak dan memiliki gigi berdaki kehitam-hitaman manakala mulutnya dipenuhi dengan lumpur sebelum dia mati,” kata seorang penduduk tempatan, Henry Crane seperti dipetik portal The telegram

Diceritakan, roh The Hag akan bangkit setiap kali malam menjelma dan menyerang sesiapa sahaja yang bersendirian di Taman Dobbin. Ia akan muncul sebagai seorang wanita cantik yang berpakaian serba putih. Apabila ia semakin dekat, wajahnya bertukar hodoh dan bajunya menjadi buruk serta kotor. Sambil merangkak kearah mangsa, mulutnya terkumat-kamit seolah-olah cuba menyampaikan sesuatu. Mangsa, kemudian akan terdengar suara bisikan wanita itu di telinga. “Kamu mendengar suara jeritan saya tetapi kamu tidak menghiraukannya. Saya mati dalam keadaan yang dahsyat di dalam paya ini. Sekarang saya datang untuk membalas dendam dan mengambil nyawa kamu,” kata bisikan itu. Ia disusuli bau busuk yang menusuk hidung sekali gus membuatkan mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri. “Bau itu seperti telur busuk tetapi 10 kali ganda lebih teruk. Bau itu yang membuatkan mangsa sesak nafas lalu pengsan,” kata Crane yang mendengar cerita hantu itu daripada neneknya.

Mangsa akan terhidu bau busuk dan mendengar bisikan
The Hag yang penuh dendam sebelum diserang

Bau lumpur

Kisah hantu The Hag diceritakan dalam buku
 Haunted Canada 6 karya Joel A. Sutherland

Berdasarkan buku Haunted Canada 6: More Terrifying True Stories karya Joel A. Sutherland, sejak tahun 1943 lebih 24 orang lelaki dijumpai mati dalam keadaan yang sama iaitu berlumuran selut dan berbau seperti lumpur. “Kononnya ada wanita tiba-tiba muncul dari paya itu dan menyerang mereka, namun tiada sesiapa tahu punca sebenar di sebalik kematian misteri itu,” kata buku itu. Seorang saksi, Mary Delaney mendakwa, dia pernah ternampak seorang gadis berjalan seorang diri di kawasan tersebut. “Gadis itu pada mulanya berjalan di hadapan tetapi entah macam mana dia berada di belakang saya. “Peliknya, saya tidak sempat memintas dia. Apa yang saya tahu, dia tiba-tiba hilang daripada pandangan apabila saya menoleh ke belakang,” katanya. Oleh kerana sumpahan berpuaka itu, orang ramai khususnya kanak-kanak dilarang mendekati paya tersebut terutamanya selepas senja. Bagi sesiapa yang tidak dapat mengelak daripada melalui jalan berhampiran Taman Dobbin, mereka diingatkan membawa kitab suci pada setiap masa bagi mengelakkan daripada diganggu roh tersebut.

Crane menunjukkan kawasan paya di Taman Dobbin
 yang menjadi lokasi yang menyeramkan gara-gara legenda hantu The Hag

Bell Island terkenal dengan kisah legenda hantu
The Hag dan pelbagai kisah hantu yang menyeramkan






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...