Sunday, August 30, 2015

Hantu Jambatan Overtoun




Penduduk yang tinggal di Milton berhampiran Dunbartonshire, Scotland gempar selepas menerima berita mengenai imej hantu berwarna putih di sebuah rumah agam di Estet Overtoun sekitar Jun lepas. Rata-rata berpendapat kehadiran hantu di Overtoun House itu menjadi punca kepada kematian lebih 600 ekor anjing yang membunuh diri di Jambatan Overtoun sejak 70 tahun dahulu. "Lokasi ini diselubungi misteri sejak bertahun-tahun dahulu kerana ia menjadi kawasan kegemaran anjing untuk membunuh diri. Anjing peliharaan saya juga menjadi mangsa sumpahan jambatan ini," ujar salah seorang penduduk Donna Copper yang kehilangan haiwan kesayangannya itu pada tahun 1995.

Berdasarkan rekod, lebih 600 ekor anjing telah mati dengan terjun ke bawah jambatan itu sejak lima dekad lalu. Pada tahun 2005, sebanyak lima ekor anjing telah membunuh diri disitu dalam tempoh lima bulan berturut-turut. Berdasarkan cakap-cakap penduduk setempat, kelibat lembaga berbaju putih yang berdiri disebalik langsir di Overtoun House itu dipercayai seorang wanita yang dikenali sebagai Lady Overtoun. Hantu itu dirakam berdiri menghadap ke arah Jambatan Overtoun yang dikatakan dibina oleh suaminya, Baron Overtoun sebelum mati pada tahun 1908.

Roh tidak tenang

Penulis buku misteri jambatan itu, Paul Owen, 51, berkata, selepas kematian suaminya, Lady Overtoun sering dilihat  berkeliaran di jambatan itu untuk melepaskan kesedihannya. Katanya, Lady Overtoun atau dikenali sebagai White Lady meratapi kematian suaminya selama bertahun-tahun sebelum mati pada tahun 1931. "Ada penduduk berpendapat tempat ini berpuaka kerana kehadiran roh Lady Overtoun yang tidak tenang. Sebab itulah, ada segelintir pengunjung yang pada awalnya rasa gembira tiba-tiba menjadi sangat sedih tatkala melalui jambatan ini," katanya. Menurut Owen, ramai penduduk yang mendakwa pernah melalui pengalaman pelik ketika berada di sekitar kawasan Estet Overtoun.

"Saya sendiri pernah diganggu hantu jambatan ini ketika sedang menjalankan kajian untuk buku saya. Saya rasa seolah-olah ada jari-jari ghaib  mencucuk belakang saya sebanyak dua kali. Kemudian saya rasa seperti ditolak dan ia pengalaman yang sangat menakutkan," ceritanya. Seorang wanita, Alice Trevorrow, 50, pula hampir kehilangan anjing kesayangannya, Cassie semasa membawa haiwan itu bersiar-siar di jambatan tersebut pada tahun lalu.

Buku The Rainbow Bridge karya Paul Owen
mendedahkan sisi mistik Jambatan Overtoun

Bayi syaitan

"Cassie terus meluru ke arah jambatan sebaik kami keluar daripada kereta. Ia melolong-lolong seperti ternampak sesuatu yang aneh. Sebelum sempat saya mendapatkan Cassie, ia terjun ke bawah jambatan. Saya ingat dia pasti akan mati, namun umurnya masih panjang,"cerita Trevorrow.

Kisah Jambatan Overtoun bertambah seram selepas tempat itu turut dikaitkan dengan tragedi pembunuhan menyayat hati. "Di jambatan inilah seorang lelaki tempatan yang bernama Kevin Moy membuang bayi lelakinya yang baru berusia dua minggu ke bawah jambatan ini pada Oktober 1994. "Bayi itu, Eoghan Moy mati di tempat kejadian. Kevin kemudiannya cuba membunuh diri dengan terjun ke lokasi anaknya itu dicampakkan," katanya.

Menurut Herald Scotland, Kevin bagaimanapun didapati tidak bersalah kerana mengalami gangguan mental ketika kejadian. Dia dimasukkan ke State Hospital di Carstairs pada tahun 1995. Kevin memberitahu pihak polis bahawa dia menyangkakan bayi itu merupakan anak syaitan berikutan kesan tanda lahir yang pelik pada dahi bayi berkenaan. Kisah seram ini menguatkan lagi kepercayaan sebahagian besar masyarakat setempat yang percaya setiap kejadian disini dipengaruhi kuasa mistik puaka jambatan ini," ujar Owen.


Rata-rata anjing yang melalui Jambatan Overtoun akan
membunuh diri dengan terjun ke bawah jambatan
Imej hantu Lady Overtoun yang dirakam di rumah agam
lama yang terletak berhadapan Jambatan Overtoun




Friday, August 28, 2015

Kisah puaka 'Lautan pokok'




Lokasinya yang terletak jauh terpencil di kawasan pedalaman menambahkan lagi sisi seram hutan Aokigahara yang menyimpan 1001 cerita di sebalik hutan tebal itu. Berkeluasan kira-kira 32 kilometer persegi, hutan Aokigahara yang terletak di kaki gunung Fuji di antara barat laut kota Kawaguchiko hingga Narizawa di wilayah Yamanashi, Jepun turut digelar sebagai 'lautan pokok' kerana diliputi dengan pohon-pohon yang padat dan tebal.

Terkenal sebagai salah satu lokasi pelancongan popular di Jepun kerana keindahan alam semula jadi dan struktur batuan yang cantik. Ia menjadikan lokasi hutan itu menjadi tumpuan ramai pelancong. Namun begitu, panorama indah yang dijanjikan bukanlah bahagian paling menarik tentang hutan itu, sebaliknya adalah kisah tentang hutan Aokigahara yang sering menjadi pilihan ratusan penduduk Jepun untuk menamatkan hidup dengan membunuh diri.

Hutan Aokigahara juga tersenarai sebagai tempat paling berhantu di Jepun turut diabadikan dalam bentuk novel bertajuk Koroi Jukai yang dihasilkan oleh penulis terkenal, Seichi Matsumoto. Novel diterbitkan pada tahun 1960 itu menceritakan kisah sepasang kekasih yang berjanji untuk sehidup semati. Mereka akhirnya menamatkan riwayat kisah cinta di dalam hutan berpuaka itu. Bagaimanapun menurut kisah penduduk setempat, aura kematian dalam hutan Aokigahara telah lama wujud sejak tradisi yang dipanggil ritual Ubasute dilakukan sejak abad ke-19 suatu masa dahulu.

Ritual Ubasute

Ritual Ubasute yang turut dikaitkan dengan unsur pemujaan syaitan dan hantu merupakan satu amalan yang mengkehendaki seseorang itu masuk ke dalam hutan seorang diri dan dibiarkan sehingga mati. Dalam masyarakat kuno Jepun sendiri, amalan membunuh diri atau dipanggil Harakiri telah diamalkan oleh panglima perang yang bergelar samurai. Para samurai yang tewas di medan perang akan membunuh diri sebagai tanda berani selain untuk menutup rasa malu akibat kekalahan. Bagaimanapun, tradisi membunuh diri oleh para samurai telah disalah tafsir dengan pelbagai perkara seperti membunuh diri kerana putus cinta, kemurungan, kemiskinan dan tekanan hidup.

Amalan tradisi Harakiri turut disalah tafsir dengan pelbagai perkara
seperti membunuh diri kerana cinta, kemurungan dan tekanan hidup

Berdasarkan laporan sejak tahun 1950, lebih 500 orang telah mengakhiri hidup mereka dengan membunuh diri dalam hutan Aokigahara, atau secara purata sebanyak 30 orang setiap tahun. Apa yang mengejutkan, laporan pada tahun 2003 mendapati, seramai 78 mayat telah dijumpai tergantung dan mereput di dalam hutan sekaligus mangatasi rekod sebelum ini iaitu sebanyak 73 mayat pada tahun 1998. Akibat peningkatan jumlah kes bunuh diri dalam hutan Aokigahara, pihak kerajaan Jepun terpaksa mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan maklumat tentang jumlah bilangan kes bunuh diri dengan tujuan untuk menurunkan populariti hutan Aokigahara sebagai lokasi membunuh diri.

Sebagai langkah membendung budaya membunuh diri di hutan Aokigahara, pihak kerajaan Jepun turut memasang papan tanda larangan membunuh diri di kawasan tersebut selain menubuhkan satu pasukan khas yang ditugaskan untuk membuat pemantauan selain bertugas untuk mencari dan membawa keluar mayat. 

Bahagian rangka manusia yang telah membunuh diri
di dalam hutan Aokigahara
Papan tanda amaran turut dipasang di kawasan
dalam hutan Aokigahara 
Pita dipasang sebagai panduan untuk membantu
mereka keluar dari kawasan hutan

Tekanan hidup

Mayat yang ditemui akan diletakkan di dalam sebuah bilik khas bagi mangsa bunuh diri sebelum para pekerja hutan akan membuat undian sesama mereka bagi menentukan siapa yang akan ditugaskan untuk menjaga dan tidur bersama mayat tersebut. Ini kerana, mengikut kepercayaan, mayat yang dibiarkan keseorangan akan menyebabkan roh mereka yang dipanggil Yurei menjadi tidak tenteram. Mayat itu kononnya akan menjerit sepanjang malam, malah mayat tersebut akan bergerak dengan sendirinya ke tempat lain.

"Amalan membunuh diri biasanya meningkat pada bulan Mac apabila ramai orang datang ke sini untuk membunuh diri kerana masalah kemiskinan dan tekanan hidup," ujar Imasa Watanabe yang merupakan pegawai kerajaan di Yamanashi Prefecture. Mungkin ini adalah harga yang perlu dibayar oleh penduduk Jepun di mana kebanyakan rakyatnya perlu bekerja siang dan malam bagi menampung kos hidup yang terlampau tinggi. Kebanyakan antara mereka berpendapat bahawa membunuh diri adalah jalan penyelesaian terbaik.




Sunday, August 16, 2015

Misteri Pulau Anak Patung



Dari jauh kelihatan sebuah pulau kecil yang mempamerkan suasana suram dan menyeramkan dengan ratusan anak patung sengaja dibiarkan tergantung pada pokok-pokok di pulau tersebut. Terletak di bahagian selatan Bandar Raya Mexico berhampiran dengan terusan Xichimico, pulau kecil itu yang dikenali sebagai Isla de las Munecas atau Pulau Patung telah menjadi tarikan pengunjung untuk mengalami sendiri suasana berada di pulau yang menyeramkan itu.

Menurut cerita penduduk tempatan, pulau itu telah ditemui oleh seorang lelaki bernama Julian Santana Barrera sebelum dia mengubah pulau tersebut menjadi Pulau Patung dengan alasan untuk menenangkan roh seorang kanak-kanak perempuan. Kisahnya bermula apabila Barrera menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai mati lemas di perairan pulau tersebut kira-kira 50 tahun lalu. Beberapa hari kemudian, lelaki itu menemui sebuah anak patung tidak berapa jauh dari lokasi mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui dan percaya kemungkinan anak patung tersebut milik kanak-kanak malang itu.

Sejak daripada peristiwa itu, Barrera mendakwa seringkali terlihat kelibat roh kanak-kanak selain terdengar suara seperti orang yang kelemasan sedang meminta tolong.

Hormat dan simpati

Bagi menenangkan roh kanak-kanak itu yang dipercayai tidak tenteram, Barrera telah menggantung patung yang ditemuinya sebagai cara untuk menunjukkan rasa hormat dan simpati atas kematian kanak-kanak itu. Bagaimanapun, usaha tersebut gagal apabila roh kanak-kanak misteri itu terus menghantui hidupnya sebelum Barrera menghias pulaunya dengan ratusan anak patung yang digantung pada pokok-pokok untuk mententeramkan roh kanak-kanak tersebut.

Pada tahun 2001, lelaki tersebut telah ditemui mati secara misteri yang dipercayai kerana lemas di sekitar perairan yang sama mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui. Akhirnya, kisah misteri yang menghantui pulau itu tersebar luas sehingga menarik minat orang ramai untuk mengunjungi pulau tersebut dan merasai pengalaman berada di situ. Menurut pengalaman pengunjung yang pernah berada di Pulau Patung itu, suasana di pulau tersebut cukup menyeramkan, malah kelihatan suram dan gelap walaupun pada waktu tengah hari.

Dirasuk

Patung-patung yang tergantung pada pokok menambahkan lagi suasana tidak menyenangkan apabila ada di antara patung tersebut tidak mempunyai tangan dan kepala selain mata anak patung yang dicungkil. Beberapa saksi mendakwa, mereka pernah terlihat kepala dan tangan anak patung yang digantung bergerak, malah turut mendengar anak patung tersebut berbisik antara satu sama lain. Persoalan tentang jumlah ratusan anak patung yang terdapat di pulau itu telah menimbulkan tanda tanya dari mana Barrera mendapat anak patung tersebut.

Seorang kenalan kepada lelaki itu yang enggan dikenali memberitahu, selepas Barrera sering diganggu roh kanak-kanak itu, dia kelihatan seperti dirasuk dengan terus mengumpul anak patung yang dibeli dan menggantungnya diseluruh pulau tersebut. Orang ramai mendakwa bahawa Barrera telah dirasuk  oleh semangat atau roh jahat yang ada di pulau tersebut dan membunuh diri dengan terjun ke dalam tasik di Pulau Patung itu. 

Sejak kematian Barrera, Pulau Patung menjadi terkenal dan telah dikomersialkan sebagai salah satu destinasi tarikan pelancongan menarik di Mexico pada hari ini.

Ada juga patung yang digantung berada dalam keadaan
menyeramkan dengan mata yang dicungkil

Ada antara anak patung yang dibawa sendiri oleh pengunjung bagi
menunjukkan rasa simpati pada roh yang ada di Pulau Patung

Keadaan anak patung yang reput dan berlumut
kerana terlalu lama terdedah dengan cuaca

Ada pengunjung mendakwa anak patung di pulau ini
seolah-olah merenung dan berbisik kepada mereka

Kepala anak patung yang kelihatan seperti berdarah




Friday, August 7, 2015

Versi berbeza legenda ikan duyung




Kisah dongeng ikan duyung sering digambarkan sebagai jelmaan wanita cantik yang berkakikan ekor seperti ikan. Menurut dongeng, makhluk tersebut menghuni di lautan. Kisah ikan duyung merupakan antara kisah dongeng popular yang wujud dalam pelbagai versi di seluruh dunia termasuk di Eropah, Afrika dan Asia. Sejarah tentang kewujudan ikan duyung bermula sewaktu zaman kegemilangan kerajaan Mesopotamia di sebuah negeri Iraq purba yang dikenali sebagai Assyria, kira-kira1,250 tahun lalu sebelum masihi.

Mengikut cerita, ikan duyung merupakan jelmaan seorang dewi bernama Atargatis iaitu bonda kepada Ratu Semiramis yang jatuh cinta dengan seorang pemuda daripada kalangan rakyat biasa. Atargatis bagaimanapun secara tidak sengaja telah membunuh tersebut dan dia kemudian membunuh diri dengan melompat ke sungai kerana sungguh malu. Bagaimanapun, air tempat wanita itu jatuh tidak dapat menyembunyikan kecantikannya sehingga yang berubah hanyalah sebahagian tubuhnya yang menyerupai ekor ikan dari paras pinggang ke bawah.

Dalam kisah beberapa masyarakat, ikan duyung biasanya dikaitkan dengan kejadian bencana alam yang dasyat seperti banjir besar, taufan atau laut bergelora kononnya disebabkan oleh kemarahan ikan duyung tersebut. Bagaimanapun, beberapa kisah rakyat menceritakan perihal ikan duyung sebagai jelmaan wanita cantik, baik, dermawan bahkan bercinta dengan manusia.

Suara lunak

Legenda ikan duyung dalam masyarakat Inggeris dipanggil mermaid mengambil nama dari bahasa Inggeris kuno iaitu mere yang bermaksud laut dan maid iaitu gadis. Dalam bahasa Inggeris kuno, ikan duyung dikenali dengan panggilan Merewif yang digambarkan sebagai seorang wanita dengan rambut panjang yang lurus. Manusia ikan itu kononnya memiliki suara lunak untuk menarik perhatian para pelayar kapal sebagai amaran jika terdapat sebarang malapetaka di lautan.

Mengikut kepercayaan masyarakat di bahagian Eropah barat pula, legenda ikan duyung dikenali menerusi karya penulisan sastera dan buku dongeng yang ditulis oleh penulis terkenal, Hans Christian Andersen yang berjudul The Little Mermaid pada tahun 1937. Karya tersebut menceritakan tentang kisah seorang puteri duyung muda yang jatuh cinta dengan seorang anak raja selepas dia menyelamatkan putera tersebut sewaktu kapalnya karam dipukul ombak besar. Puteri duyung itu dengan rela hati mengorbankan hidupnya untuk menjadi bisu buat selama-lamanya selepas membuat pertukaran suara lunak dengan dukun laut. Dukun laut berkenaan didakwa memberinya air jampi agar dia berubah menjadi manusia sepenuhnya semata-mata untuk hidup bersama putera raja tersebut.

Karya tersebut pernah difilemkan oleh syarikat perfileman gergasi Hollywood, Walt Disney Pictures pada tahun 1989, namun beberapa plot dan jalan ceritanya telah di ubah termasuk adegan puteri duyung membunuh putera raja tersebut. Berlainan pula dengan kisah puteri duyung yang dikenali dengan nama Rusalka bagi masyarakat daerah timur Rusia. 

Hantu


Masyarakat di sana percaya, ikan duyung merupakan hantu jelmaan gadis-gadis muda yang mati kerana membunuh diri atau dibunuh. Rusalka biasanya muncul sebagai wanita dengan rambut panjang berwarna hijau serta kulit pucat. Dia kononnya sering muncul pada waktu malam dengan menari di bawah sinaran bulan sambil memanggil nama pelayar sebelum menenggelamkan mereka.


Rusalka digambarkan sebagai puteri duyung
 yang akan memikat pemuda sebelum membunuhnya

Dalam pada itu, di daerah Tiongkok, China, terdapat juga beberapa kisah dongeng mengenai ikan duyung yang dipercayai wujud sejak abad ke-15 lagi melalui penemuan beberapa karya penulisan sejarah yang menceritakan kisah air mata ikan duyung berubah menjadi permata. Sebuah buku yang dihasilkan pada abad ke-19 berjudul Jottings On the South of China menceritakan tentang dua kisah ikan duyung dengan cerita berbeza. Kisah pertama menceritakan tentang seorang pemuda yang berjaya menangkap ikan duyung di pesisir pantai di Pulau Namtao. Ikan duyung itu digambarkan mempunyai rupa seperti manusia, namun tubuhnya dipenuhi dengan rambut bewarna-warni tetapi sayangnya tidak boleh bercakap.

Pemuda tersebut bagaimanapun nekad untuk mengahwini ikan duyung itu sehingga gadis tersebut mati sebelum disemadikan semula ke tempat asalnya. Cerita kedua tentang legenda ikan duyung di China mengisahkan seorang pemuda yang terjumpa ikan duyung dalam keadaan terikat. Pemuda itu kemudian melepaskan ikan duyung tersebut dan berkahwin dengannya sebagai tanda terima kasih.

Walaubagaimanapun, hingga kini, kemajuan sains dan teknologi moden di dunia, pada dasarnya belum mampu mengungkap lebih jauh data data yang berkaitan dengan kehidupan mahluk air misteri ini. 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...