Di Jepun, orang ramai dikatakan cukup gerun apabila
mendengar perkataan rumah agam Himuro. Terletak di Tokyo, rumah agam yang juga dikenali dengan nama Himikyru itu
menyimpan satu kisah pembunuhan paling ngeri di Jepun. Kononnya, pada zaman
dahulu, sebuah keluarga iaitu keluarga Himuro telah turut serta dalam satu upacara
pelik masyarakat Shinto yang bernama The Strangling Ritual atau upacara
mengikat orang. Upacara tersebut dijalankan untuk tujuan menghalau roh jahat
atau nasib malang daripada menimpa keluarga tersebut. Kononnya, upacara
tersebut perlu dijalankan pada bulan Disember setiap 50 tahun. Sebelum
menjalankan upacara tersebut, ketua keluarga tersebut perlu memilih seorang
kanak-kanak perempuan dalam kalangan keluarga mereka dan kanak-kanak perempuan
itu perlulah diasingkan daripada dunia luar.
Diikat
Dia tidak boleh bergaul dengan sesiapa pun kerana ia
bertujuan untuk menghalang kanak-kanak tersebut daripada ditimpa musibah
daripada dunia luar. Jika tidak, ia akan menyebabkan upacara tersebut gagal.
Leher, lengan dan buku lali kanak-kanak itu kemudiannya akan diikat pada badan
kuda dan kuda-kuda tersebut akan menarik tubuh kanak-kanak malang tadi sehingga
ia terbelah menjadi empat. Tali yang digunakan tersebut akan dipenuhi dengan
darah kanak-kanak perempuan tadi dan ia kemudian akan diletakkan di pintu rumah
agam tersebut, kononnya bagi menghalau nasib malang. Ia akan berkekalan
sehinggalah ritual sama diulang semula 50 tahun kemudian.
Menurut kisah masyarakat tempatan, upacara tersebut sudah
tidak lagi dijalankan selepas satu insiden. Kira-kira 100 tahun lalu, seorang
kanak-kanak perempuan dari satu keluarga telah dipilih sebagai korban dalam
upacara The Strangling Ritual yang mengerikan itu. Kanak-kanak perempuan itu
dikatakan telah jatuh cinta dengan seorang jejaka yang amat baik dan mereka
amat mencintai antara satu sama lain.
Nasib malang
Lelaki tersebut tahu bahawa gadis idamannya terpaksa dibunuh
dalam upacara tersebut, hanya kerana mahu menyelamatkan ahli keluarga yang lain
daripada menerima nasib malang dalam hidup mereka. Lelaki itu cuba untuk
menyelamatkan gadis malang itu daripada menjadi mangsa korban. Ketua keluarga
tersebut amat marah setelah tahu tentang kisah percintaan kanak-kanak perempuan
itu dengan kekasihnya. Memandangkan dia sedar upacara tersebut akan gagal dan
keluarganya akan menerima nasib malang seumur hidup mereka, dia terus mencapai
sebilah pedang dan membunuh kesemua ahli keluarganya sebelum membunuh diri.
Kisah pembunuhan tersebut cukup terkenal dalam kalangan
masyarakat Jepun dan selepas daripada insiden itu, rumah agam itu terbiar tidak
berpenghuni sehingga kini. Ada yang mendakwa, mereka kerap melihat kelibat
seorang gadis berbaju putih berkeliaran sekitar kawasan rumah tersebut kerana
rohnya tidak tenteram. Daripada kisah seram itu, satu permainan computer
bernama Fatal Frame yang dicipta oleh syarikat Tecmo yang berpengkalan di
Amerika Utara. Rumah agam yang ada di dalam permainan tersebut dikatakan
menyerupai rumah agam Himuro dan ia menimbulkan spekulasi dalam kalangan orang
ramai. Begitu pun, ada yang mendakwa cerita disebalik permainan tersebut
bukanlah diambil daripada kisah tersebut dan keadaan rumah yang seakan-akan
sama dengan rumah agam Himuro itu cuma kebetulan sahaja.
Rumah agam Himuro yang dikatakan menyerupai rumah agam di dalam permainan computer bernama Fatal Frame |