Thursday, February 4, 2016

Jiangshi hantu puntianak Cina



Rambutnya panjang mencecah pinggang dan ditocang ke belakang, wajahnya pula pucat manakala kukunya panjang, tajam serta berwarna kehitaman. Seperti yang biasa dilihat di kaca televisyen, hantu cina itu akan mengejar mangsanya dengan meluruskan tangan ke hadapan sambil melompat seperti pocong. Memakai pakaian tradisional daripada sutera yang dipanggil Changsan serta perhiasan kepala, hantu tersebut lebih dikenali sebagai Jiangshi dalam lagenda masyarakat Cina. Berdasarkan mitos, Jiangshi ialah orang yang telah mati tetapi tidak melalui upacara pengebumian yang sempurna.

Ada juga versi yang mengatakan Jiangshi dihidupkan semula dalam upacara Xiangxi Ganshi bagi membolehkan mayat tersebut mencari jalan ke tanah perkuburan. "Ia satu kaedah kuno yang diamalkan oleh masyarakat Cina terdahulu sekiranya ada saudara mara mereka mati jauh daripada pangkuan keluarga. Sekiranya ahli keluarga tidak mampu menyewa kenderaan untuk mengambil mayat berkenaan, mereka akan mengupah seorang sami yang mengamalkan ajaran Tao untuk menghidupkan mayat tersebut," kata seorang penduduk tempatan.

Menurut mitos itu lagi, Jiangshi akan dibebaskan untuk mencari jalan pulang pada waktu malam. "Loceng akan dibunyikan terlebih dahulu sebagai pemberitahuan kepada orang awam supaya mereka dapat bersembunyi di dalam rumah. Ia dikatakan petanda malang jika mereka terserempak dan bertentangan mata dengan Jiangshi ketika lembaga itu sedang berkeliaran,"katanya. Upacara Xiangxi Ganshi yang bermaksud 'membawa pulang mayat' dilakukan supaya roh si mati dapat disemadikan di tempat asalnya agar dia tidak berasa rindu terhadap kampung halamannya kelak.

Sembunyi ditempat yang gelap

Jiangshi memperoleh namanya daripada perkataan 'Jiang' yang bermaksud keras atau kaku dalam bahasa Mandarin. Menurut kepercayaan, ekoran tidak mampu menggerakkan sendi-sendi yang keras, Jiangshi bergerak secara melompat dan ia dikatakan boleh menyerap tenaga kehidupan yang dipanggil 'qi' daripada masyarakat di sekelilingnya. Tidak seperti puntianak, Jiangshi tidak menghisap darah atau memerlukan darah untuk hidup selama-lamanya. Pun begitu, terdapat versi berbeza dalam menggambarkan Jiangshi sebagai mayat hidup yang gemar menghisap darah manusia. Menurut seorang cendiakawan China, Ji Xiaolan dalam bukunya yang berjudul Yuewei Caotong Biji, hantu itu dipercayai wujud pada abad ke-18 ketika zaman Dinasti Qing.

Jiangshi memperoleh namanya daripada perkataan 'Jiang' yang
bermaksud keras atau kaku dalam bahasa Cina

Katanya, memandangkan Jiangshi bersifat seperti zombi, ia akan bersembunyi dalam keranda atau tempat yang gelap seperti gua pada waktu siang dan keluar mencari mangsa pada waktu malam. "Tidak ubah seperti puntianak, Jiangshi membunuh mangsanya dengan menggigit leher bagi menyedut keluar darah. Ia dikatakan suka meminum darah manusia untuk menyedut 'qi'. Mangsanya juga dipercayai akan berubah menjadi Jiangshi apabila sudah tidak bernyawa," jelasnya. Seperti dipetik buku tersebut, Xiaolan memberitahu, mayat yang kembali hidup dan bertukar menjadi Jiangshi boleh jadi orang yang baru sahaja mati lalu kembali hidup atau mayat yang telah dikuburkan tetapi tidak membusuk.

"Mayat yang tidak busuk mungkin disebabkan oleh komposisi kimia di tanah perkuburan yang tidak sesuai dengan organisma hidup sehingga tiada bakteria yang hadir dalam proses pereputan. "Rambut dan kuku tumbuh semakin panjang dan lama-kelamaan, mayat akhirnya bertukar kepada Jiangshi dari semasa ke semasa. Ada juga kepercayaan yang mengatakan ilmu hitam digunakan oleh ahli sihir untuk menghidupkan kembali orang mati menjadi Jiangshi.

Takut cermin

Selain itu, orang yang mati membunuh diri sehingga rohnya terperangkap dalam tubuh sendiri juga boleh bertukar kepada Jiangshi. "Ada kepercayaan lain yang mendakwa mayat yang tidak dikuburkan dengan sempurna, ia boleh hidup semula jika disambar petir atau sekiranya ada kucing hitam melintas diatasnya. Mayat ini kemudiannya menjadi Jiangshi dalam kepercayaan kuno masyarakat Cina," katanya. Berdasarkan kepercayaan, sekeping kertas azimat yang sudah dibacakan jampi serapah diletakkan di dahi Jiangshi supaya ia patuh pada arahan sami. Bagi menjauhkan gangguan Jiangshi, sekeping papan berukuran 15 sentimeter yang hujungnya dipaku diletakkan dibawah pintu untuk menghalang Jiangshi daripada memasuki rumah.

Kertas azimat ditampal pada dahi Jiangshi agar ia patuh
pada arahan sami yang menyerunya bangkit daripada kematian

Cermin juga dikatakan boleh menakutkan-nakutkan Jiangshi kerana ia dikatakan takut melihat refleksnya sendiri. Selain itu, Jiangshi dikatakan takut pada kokokan ayam jantan selain penyapu dan kapak.





Wednesday, February 3, 2016

Wanita musang berekor sembilan



Ketika mula-mula mengenali Mi-ho, Dae Woong berasa takut kalau-kalau wanita itu akan membunuhnya. Manakan tidak, Mi-ho yang dibebaskan selepas terperangkap dalam lukisan dewa kelahiran, Samshin-halmuni merupakan gumiho atau musang berekor sembilan. Bagaimanapun, wanita itu tidak mahu apa-apa daripada Dae Woong melainkan membantunya menjadi manusia normal. Selepas saling mengenali, kedua-dua watak itu jatuh cinta antara satu sama lain dan disebalik kesukaran yang dihadapi, mereka bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhir hayat.

Itu merupakan antara babak dalam drama Korea romantik komedi popular Korea, My girlfriend is a Gumiho lakonan aktor Lee Seung-gi dan aktres Shin Min-ah. Meskipun digambarkan sebagai naif dan kebudak-budakan dalam drama tersebut, menurut legenda Korea, Gumiho sebenarnya adalah makhluk yang kejam dan jahat. Diceritakan Gumiho boleh berubah menjadi seorang wanita cantik dengan niat memikat mana-mana lelaki yang dikehendaki untuk memakan hati atau jantungnya. Terdapat juga versi yang mengatakan Gumiho suka berkeliaran di kawasan perkuburan pada waktu malam untuk mencari mayat bagi memakan organ tersebut.




Roh musang

"Gumiho memburu jantung atau hati untuk terus hidup di dunia. Jika ada wanita cantik menggoda anda, ia bukan Gumiho," demikian kata penduduk setempat. Terdapat juga versi lain yang mengatakan Gumiho boleh hidup abadi di muka bumi jika ia mampu bertahan daripada memburu jantung serta hati kaum lelaki selama 100 hari. Legenda musang berekor sembilan itu juga terkenal di China dan dikenali sebagai Huli Jing, manakala dalam mitos masyarakat Jepun, ia dikenali sebagai Kitsune. Berdasarkan cerita rakyat China, Gumiho memburu mangsa untuk mendapatkan esen kehidupan yang dipanggil 'qi' untuk terus hidup.

Mitos musang berekor sembilan juga terkenal di negara China dan Jepun

Dalam sebuah novel China yang berjudul Fengshen Yanyi yang diterbitkan pada zaman Dinasti Ming pada abad ke-16, Gumiho digambarkan sebagai roh musang yang boleh menjelma sebagai wanita cantik dan menggoda lelaki dengan kecantikannya. Bagaimanapun, ia perlu mengahwini lelaki tersebut bagi membolehkannya menyedut keluar 'qi' daripada pasangan mereka. Selepas dikahwini, Gumiho akan merasuk pasangannya lalu menyedut keluar 'qi' sehingga mereka ditinggalkan dalam keadaan tidak bernyawa. ia kemudiannya akan kembali mencari lelaki lain untuk dikahwini dan terus melakukan perkara yang sama untuk meneruskan hidup. Kisah musang berekor sembilan ini juga turut terdapat dalam Filem Hong Kong, Painted Skin lakonan Zhao Wei, Zhou Xun dan Chen Kun.

Dalam mitos masyarakat Jepun pula, Gumiho berubah menjadi wanita biasa untuk mencari cinta sejati tanpa mengharapkan rupa, kekayaan mahupun status daripada pasangannya. Menurut mitos tersebut, jika Gumiho berjaya menemui cinta sejati, ia akan berubah menjadi manusia normal dan hidup di dunia selama-lamanya. Ada juga versi berbeza yang mengatakan Gumiho perlu merahsiakan identiti daripada pengetahuan kekasihnya untuk hidup sebagai manusia biasa. Berdasarkan ketiga-tiga legenda, Gumiho dipercayai berasal daripada musang yang hidup lebih daripada 1,000 tahun sehingga ia memperoleh kuasa untuk berubah rupa dan bentuk.

Ada juga versi mitos lain yang mengatakan, Gumiho perlu meratah 1,000 hati lelaki dalam tempoh 1,000 tahun untuk memiliki kuasa tersebut. Meskipun boleh menjelma sebagai manusia, terdapat juga ciri-ciri musang yang tidak dapat disorokkan antaranya telinga yang runcing serta kesembilan-sembilan ekornya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...