Thursday, March 23, 2017

Blind Maiden laman web berpuaka



Kecanggihan peralatan teknologi juga tidak terlepas daripada tempias yang dikaitkan dengan unsur mistik biarpun berada dalam dunia serba moden. Pembikinan beberapa buah filem seram seperti The Ring, One Missed Called dan Fear.Com misalnya juga dihasilkan dengan mengisahkan cerita hantu yang dilalui menerusi penggunaan peralatan canggih. Penghasilan filem-filem seperti itu jelas menunjukkan alam paranormal turut dipengaruhi dengan perkembangan teknologi seperti komputer, telefon bimbit dan internet. Salah satu kisah popular yang dikaitkan dengan teknologi adalah kisah tentang sebuah laman web dari Sepanyol yang dikatakan bakal menghantui pengunjungnya dengan pengalaman sungguh menakutkan.

Laman web Tersebut www.blindmaiden.com adalah sebuah laman web yang dikatakan tidak boleh dilayari melainkan pelawat mesti menepati beberapa syarat terlebih dahulu. Antara syaratnya adalah, pengunjung perlu bersendirian, melayari laman web tersebut tepat pada pukul 12 tengah malam, semua lampu perlu ditutup dan berada dalam keadaan gelap, melayari laman web tersebut pada malam tanpa bulan dan tidak mempunyai sebarang objek berkaitan dengan unsur keagamaan berhampiran komputer. 

Pengunjung laman web Blind Maiden perlu mengikut
pantang larang semasa melayari laman web tersebut

'Terima' atau 'Tolak'

Menurut dakwaan beberapa pihak, alamat sebenar laman web tersebut adalah www.blaindmadelaine.com dan pengunjung hanya boleh melayari laman web itu pada hari khamis malam Jumaat sahaja. Selepas melayari laman web tersebut, perkara pertama yang akan muncul ialah paparan imej-imej yang menyeramkan sehingga boleh mengganggu fikiran. Antara imej yang dipaparkan ialah gambar berupa individu tidak bermata dan gambar penyeksaan yang sungguh mengerikan. Paparan imej-imej itu pula disiarkan pada skrin dengan pantas satu persatu dan memberikan pandangan seolah-olah individu yang dipaparkan itu berada dalam keadaan menjerit.

Beberapa ketika kemudian, satu soalan akan muncul pada skrin komputer yang berbunyi "adakah anda berminat untuk merasai pengalaman seram sebenar?" sambil tertera dua butang iaitu 'terima' atau 'tolak'. Jika pengunjung tersebut menekan butang 'terima', ini bermakna pengunjung tersebut berminat untuk meneruskan permainan dan sekali gus sumpahan telah pun diletakkan pada mereka. Sejurus kemudian, pengunjung yang ingin meneruskan permainan itu akan melihat gambaran satu susuk tubuh lembaga pada skrin yang kelihatan pada mendekati pengunjung. Apa yang berlaku, lembaga itu sebenarnya telah dipanggil ke rumah pengunjung laman web tersebut dan akan muncul pada bila-bila masa.

Segala gerak-geri lembaga itu boleh dilihat sendiri oleh pengunjung melalui paparan pada skrin komputer sehinggalah susuk tubuh lembaga itu berdiri di belakang mereka. Pada saat itu, pengunjung laman web itu boleh merasai sendiri kehadiran lembaga tersebut di belakang mereka sebelum bahu mereka ditepuk. Perkara terakhir yang akan dilihat oleh pengunjung adalah wajah sebenar Blind Maiden yang dilihat merenung mereka dengan mata yang dahsyat.

Tanpa mata

Blind Maiden dikatakan akan merobek mata pengunjung dan kejadian itu dirakam untuk diabadikan sebagai sebahagian daripada paparan imej menakutkan di laman web tersebut. Walaupun sukar untuk dipercayai kewujudan laman web itu, beberapa pelayar internet di Sepanyol mengesahkan ia benar-benar wujud beberapa tahun lalu. "Blind Maiden atau di dalam bahasa Sepanyol, La Doncella Ciega memang benar-benar wujud, malah saya sendiri pernah melaluinya semasa melayari laman web tersebut," ujar seorang lelaki Sepanyol. Katanya lagi, dia tidak mempedulikan nasihat orang lain dan tekad untuk menekan butang 'terima' sebelum mendakwa terlihat susuk tubuh lembaga berjalan mendekati rumahnya.

Hantu Blind Maiden dikatakan tidak mempunyai mata dan
akan mengorek mata pengunjung laman web itu

Menerusi paparan pada skrin komputer, lelaki tersebut mendakwa melihat dirinya sendiri di dalam komputer sementara susuk tubuh lembaga itu berada di belakangnya. Apabila lelaki itu memusingkan kepalanya, ternyata susuk lembaga itu benar-benar berada di dalam rumah dan sedang memandangnya dengan pandangan yang amat menakutkan, namun tidak mempunyai mata. "Dia berbisik kepada saya dalam bahasa yang tidak difahami," kata lelaki itu yang akhirnya bangun dan lari, namun tergelincir sebelum kepalanya terhantuk pada bucu meja. 

Sejak daripada kejadian itu, lelaki tersebut tidak lagi berani untuk menggunakan komputer dan memandang rendah pada kewujudan alam paranormal. Walaupun terdapat beberapa pihak mendakwa kewujudan perkara menyeramkan itu, namun diketahui laman web tersebut tidak lagi wujud untuk dilayari oleh pengguna internet.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...