Monday, January 23, 2017

Sumpahan barangan dicuri




Walaupun sains mempunyai penjelasan dalam setiap perkara yang berlaku terhadap alam, namun tidak dalam hal kepercayaan tahyul dan magis. Setiap persoalan dalam hal saintifik tidak pernah mempunyai jawapan yang dapat dirungkai melalui penyelesaian magikal. Ini termasuklah apa yang berlaku terhadap beberapa barangan dicuri orang awam namun terpaksa dipulangkan semula kerana dipercayai mempunyai sumpahan yang menakutkan.

Cincin Silvianus

Cincin Silvianus yang memiliki sumpahan menjadi
sumber inspirasi filem The Lord of the Rings

Jika anda menonton filem trilogi The Lord of the Rings, tentu sahaja anda boleh mengagak sebagaimana ia dikaitkan dengan sebentuk cincin ini. Cincin Silvianus ditemui pada 1700an dan dimiliki oleh organisasi pemuliharaan berpengkalan di United Kingdom, National Trust. Cincin seberat 12 gram itu mempunyai reka bentuk aneh dan muat untuk disarung ke ibu jari yang sedang memakai sarung tangan kulit. Beberapa dekat selepas ditemui, sekeping tablet purba Roman pula ditemui dengan inskripsi yang merujuk kepada cincin itu. Ia ditulis oleh seorang berbangsa Roman bernama Silvianus untuk memaklumkan kepada tuhan Nodens bahawa cincin itu telah dicuri oleh seorang lelaki bernama Senicianus. Inskripsi itu tertulis Sesiapa yang membawa cincin itu menanggung kesihatan yang tidak baik sehingga dia memulangkan semula kepada kuil Nodens. Cincin itu telah menjadi inspirasi kepada J.R.R Tolkien untuk menulis novel The Lord of the Rings.

Ukiran hieroglif Mesir

Ukiran hieroglif Mesir yang memiliki sumpahan

Sumpahan terhadap ukiran dan bahan arkeologi purba Mesir bukan sesuatu yang aneh lagi. Ia sering terjadi sebaik barangan purba atau tapak makam raja Mesir digali sejak beberapa abad lalu. Namun satu kejadian yang berlaku bukan kebetulan apabila seorang pelancong dari Jerman membawa pulang sekeping ukiran yang retak ketika melawat tapak purba Mesir pada 2004. Beberapa tahun kemudian, anak kepada lelaki tersebut telah memulangkan semula kepingan ukiran itu kepada Kedutaan Mesir di Berlin kerana bapanya telah meninggal dunia. Sebenarnya lelaki tersebut telah mengalami lumpuh dan demam panas dan kemudiannya telah disahkan mengidap kanser yang membunuh sebaik pulang dari melawat Mesir. Artifak itu telah dipulangkan anaknya dengan harapan roh bapanya dapat bersemadi dengan aman setelah apa yang diambil olehnya di Mesir. Manakala kedutaan Mesir di Berlin  yang menerima artifak itu menghantarnya kembali ke Muzium Kebangsaan Mesir selepas kejadian itu.

Batu Nisan Virginia

Batu nisan Virginia menjadi sasaran pencuri namun dipulangkan
selepas mereka mengalami pelbagai kejadian malang

Ini sememangnya perbuatan aneh. Tapak perkuburan sebuah bandar perlombongan di bandar Virginia dibina pada 1867 bagi menyelesaikan masalah pengkebumian mayat yang tidak selaras. Namun satu masalah lain timbul apabila kebanyakan batu nisan di kubur itu dicuri. Bagaimanapun pencuri-pencuri tersebut memulangkan semula batu itu. Pengurus tapak itu, Candace Wheeler pula memutuskan untuk menghubungi semula pencuri itu dan menyiasat sebab mereka memulangkan batu nisan tersebut. Dia mendapati kesemua mereka mencuri batu nisan itu untuk dijadikan perhiasan pada kediaman termasuk diletakkan di pintu dan sebagainya. Bagaimanapun, kesemua mereka mengalami pelbagai kejadian buruk termasuk pasangan bercerai, masalah kewangan sehinggalah ada yang mati. Mereka yang mencuri itu kemudian turut mahu mengetahui sama ada batu nisan yang diambil itu telah dikembalikan kepada kubur asal dengan harapan ia dapat memulihkan sumpahan itu.

Sumpahan peluru meriam

Dua biji peluru meriam yang dipulangkan
 oleh pencuri akibat sumpahan

Lewat 1980an, ahli arkeologi menemui beberapa ratus biji peluru meriam sebesar sebiji bola sepak yang digunakan ketika era pemerintahan Empayar Rom di sempadan Israel-Syria. Menurut rekod, bandar purba Gamla telah ditawan oleh orang Rom pada zaman purba dan 9,000 penduduknya mati akibat terjatuh di dalam gaung ketika melarikan diri ketika itu. Pada 2015, dua biji peluru meriam itu ditemui dihadapan sebuah muzium dengan nota yang menyatakan bahawa ia telah dicuri pada 1995 ketika peluru-peluru itu dibawa keluar dari tapak penemuan. Nota itu berbunyi, 'Ini adalah dua biji peluru meriam Roman dari Gamla. Saya mencurinya pada 1995 dan sejak itu, ia membawa masalah besar. Tolong jangan curi barang antikuiti!.

Relik Pompeii

Relik Pompeii yang dicuri orang ramai di tapak arkeologi Pompeii
dipulangkan semula akibat sumpahan

Akibat mencuri relik pompeii, seorang lelaki terpaksa berhadapan dengan kejadian malang yang menghantui seluruh keluarganya. Itu antara apa yang diketahui oleh Penyelia Arkeologi Pompeii, Massimo Osanna yang menerima kira-kira 100 pakej barangan mengandungi bermacam-macam barangan termasuk patung, kepingan mozek dan lukisan dinding beserta surat penjelasan oleh orang yang mencuri barangan itu. Osanna kemudian mendapat idea untuk mempamerkan kesemua surat-surat penjelasan itu pada satu pameran bagi memberi gambaran bahawa adalah bahaya untuk mencuri barangan antikuiti.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...