Monday, July 25, 2016

Sumpahan wanita tak berwajah



Kanada sememangnya terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai pemandangan yang cantik dan memukau. Kononnya, pada zaman dahulu, terdapat sebuah kawasan tasik dengan pemandangan yang sungguh memukau di sebuah pekan kecil di daerah Ontario. Kanak-kanak dikatakan cukup gemar bermain di situ, manakala pasangan kekasih dikatakan gemar berjalan-jalan di kawasan tersebut sambil menikmati udara yang segar. Namun, kawasan tasik itu yang dahulunya dipenuhi orang ramai bertukar suram dan sepi selepas berlakunya satu insiden kematian.

Pada suatu petang, semasa musim panas, sekumpulan polis tiba-tiba memenuhi kawasan tasik tersebut setelah seorang kanak-kanak dilaporkan ditemui mati mengejut. Tiada sesiapa pun tahu bagaimana budak itu mati atau siapa suspek yang telah membunuhnya. Kes itu kemudiannya ditutup dan ia kekal sebagai misteri. Selepas kejadian tersebut, ada warga tempatan telah mendakwa kerap melihat kelibat seorang wanita misteri yang berjalan-jalan di kawasan itu. Wanita itu didakwa memakai pakaian serba hitam berserta vel rona sama yang menutupi keseluruhan wajahnya. Oleh kerana itu, dia digelar sebagai wanita misteri tanpa wajah oleh penduduk tempatan.

Wanita itu akan bersiar-siar di tasik tersebut tidak mengira masa. Tiada sesiapa pun tahu siapakah wanita yang berdiri di sebalik vel hitam itu. Musim demi musim berlalu dan tiada satu hari pun penduduk tempatan tidak melihat kelibatnya di tasik tersebut.

Misteri

Sehinggalah pada satu malam, sepasang kekasih dikatakan sedang bersiar-siar dan mengambil angin di kawasan tasik tersebut. Namun, malangnya keesokan pagi kedua-dua mereka ditemui mati dalam keadaan kaki dan tangan mereka diikat dengan tali pada sebatang pokok selain mata mereka terbeliak besar seolah-olah telah melihat sesuatu yang amat mengerikan. Hanya mereka berdua sahaja yang ditemui di kawasan tersebut sekali gus menjadikannya satu kes kematian misteri, sama seperti kejadian yang berlaku kepada kanak-kanak lelaki di lokasi yang sama. Pihak polis kemudian mula menyiasat kematian pasangan itu, namun usaha mereka gagal dan menemui jalan buntu.

Misteri kematian tersebut semakin meruncing apabila selepas itu, semakin ramai orang ditemui mati di kawasan tasik tersebut dalam keadaan yang sama. Kawasan tersebut kemudiannya menjadi semakin sunyi dan sepi selepas orang ramai mula menjauhinya kerana bimbang perkara sama terjadi kepada mereka. Ada yang mendakwa, ia mempunyai kaitan dengan wanita berpakaian hitam itu kerana hanya dia sahaja yang sering dilihat di kawasan tasik tersebut. Mereka yang melalui kawasan tersebut juga berkata, kawasan tasik itu kelihatan amat berbeza dan amat menyeramkan.

Tiada wajah

Dikatakan sesiapa sahaja yang cuba untuk melihat wajah
 wanita tanpa wajah tersebut akan mati serta merta

Menurut seorang penduduk tempatan yang hanya dikenali sebagai Tom Larock, pada suatu malam dia telah termimpikan wanita berpakaian hitam itu. Dalam mimpinya, dia telah mendekati wanita tersebut dan cuba untuk melihat wajahnya. "Saya cuba menyingkap vel yang menutupi wajahnya itu dan ia teramat ngeri dan selepas melihatnya saya terus mati," ceritanya. Sebaik sahaja terjaga dari mimpi itu, lelaki tersebut terus menceritakan apa yang dialami kepada ibunya. Bagaimanapun, ibunya enggan mempercayai lelaki itu dan menganggap itu hanyalah bayangannya. Tiba-tiba, mereka terdengar bunyi siren polis dari luar rumah dan mendapat khabar berita bahawa salah seorang daripada jiran mereka telah ditemui mati.

Jiran tersebut dikatakan sedang bersiar-siar bersama anjingnya berdekatan tasik tersebut. Larock kemudian mula mengaitkan kes tersebut dengan mimpinya dan dia yakin mereka yang terbunuh adalah kerana cuba untuk melihat wajah wanita misteri itu.


Wanita misteri ini dikatakan sering bersiar-siar
seorang diri di sebuah tasik di Kanada







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...