Monday, September 28, 2015

7 hantu Amerika Latin yang menakutkan!

Masihkah anda ingat zaman kanak-kanak di mana ibu atau ayah sering menakutkan anak-anak dengan kisah hantu semata-mata ingin menyakat kita? Kisah seram beginilah yang kadangkala membuatkan anak-anak takut untuk ke tandas pada waktu malam. Berikut merupakan 7 kisah lagenda hantu Latin yang menakutkan!

El Silbon


'Si penyiul' merupakan salah satu karakter yang amat menakutkan di Venezuela. Mengikut lagenda, hantu ini merupakan seorang lelaki berhati hitam yang telah membunuh ayahnya sendiri dengan kejam sebelum memakan organ dalaman. Dia dikatakan telah disumpah dan akibatnya, dia merayau-rayau di bumi membawa satu kantung yang berisi tulang-temulang bapanya. Dia digelar 'Si penyiul' kerana dikatakan setiap kali melalui sesuatu kawasan, dia akan mengeluarkan bunyi yang seakan-akan orang yang sedang bersiul.

Penduduk setempat mendakwa, jika bunyi siulan yang kedengaran seakan-akan jauh, El Silbon sebenarnya berada berhampiran! Ramai orang tidak menyedari kehadiran 'Si penyiul' kerana bunyinya yang sayup-sayup kedengaran, dan apabila mereka menyedari hakikat yang sebenar...semuanya sudah terlambat!

La Ciguapa


La Ciguapa merupakan makhluk mitos dalam lagenda Dominican. Ia digambarkan sebagai seorang wanita liar yang aneh dan tinggal dikawasan gunung selain mempunyai kuasa sihir yang kuat. Wanita misteri yang cantik ini didakwa mempunyai rambut panjang yang membaluti tubuh badannya. Apa yang menakutkan tentangnya ialah kaki La Ciguapa dikatakan menghadap belakang badannya, membuatkan mangsanya sukar menentukan dari arah mana sebenarnya ia datang. Diceritakan lagi, jika ada individu yang cuba memandang tepat ke arah matanya, orang itu akan dipukau oleh kuasa sihir La Ciguapa lalu seterusnya menjadikan mangsa yang mudah bagi hantu rakus ini!

El Sombreron



Lagenda Guatemalan ini mengisahkan tentang satu bayangan menakutkan yang sering kali berlegar-legar selepas waktu senja. Tiada siapa dapat memastikan apakah sebenarnya makhluk ini. Sama ada hantu, syaitan, lelaki mahupun jembalang. Ia hanya digambarkan sebagai satu makhluk kecil, berpakaian hitam, memakai tali pinggang besar bersinar, kasut but dan memakai topi besar yang menyorokkan wajah sebenarnya.

El Sombreron akan menggoda wanita muda, menarik perhatian mereka dengan suara yang merdu. Sebaik sahaja mangsanya terkena sihir, dia dikatakan akan mendandan rambut mereka. Apabila terkena sumpahan El Sombreron ini, mangsa tidak akan mampu makan dan tidur sehinggalah maut datang.

La Casa Matusita



Merupakan sebuah bangunan berwarna kuning, terletak di bandar Lima. La Casa Matusita yang kelihatan tenang sebenarnya merupakan sebuah bangunan yang sering kali dikaitkan dengan pelbagai peristiwa yang menyeramkan. Banyak versi mengenai sejarah bangunan tersebut. Ada pihak yang mendakwa rumah tersebut asalnya milik seorang lelaki yang telah membunuh semua ahli keluarganya sebelum dia membunuh diri. Ada pula kisah yang mengatakan bahawa di rumah tersebut telah berlakunya pembunuhan besar-besaran sewaktu majlis makan malam berlangsung. Ada juga yang mendakwa rumah tersebut pada asalnya diduduki oleh seorang ahli sihir yang kejam.

Apa pun yang terjadi di rumah tersebut, roh-roh didalamnya ternyata tidak gembira dengan keadaan mereka. Tiada sesiapa yang berani naik ke tingkat dua bangunan tersebut. Menurut kisah, sesiapa yang berani untuk melanggar amaran itu dengan cuba masuk, orang itu akan jadi gila sebelum menemui ajal dalam keadaan menyedihkan.

La Luz Mala



Cahaya misteri ini merupakan antara legenda yang terkenal di Argentina. Ada di antara pemerhati mendakwa, kerlipan cahaya misteri ini masih kekal di horizonnya, tidak bergerak dan mengganggu sesiapa. Ada juga yang pernah terserempak dengan cahaya ini mendakwa, cahaya misteri tersebut telah mengejar mereka dengan kadar yang sangat laju. Apa pun dakwaan mereka, fenomena misteri ini masih belum dapat dirungkaikan. Namun, ramai yang percaya, cahaya misteri tersebut merupakan roh si mati yang tidak dikebumikan dengan cara yang betul.

El Cucuy



Hantu ini sangat terkenal di kalangan kanak-kanak di kawasan Latin. Ia sering kali diceritakan oleh ibu bapa untuk menakutkan anak-anak mereka supaya tidak berkelakuan nakal. El Cucuy ialah makhluk menyeramkan yang suka menyorok di dalam almari dan juga dibawah katil. Mangsa kegemarannya ialah kanak-kanak degil yang tidak mendengar kata.

La llorona



Salah satu legenda Amerika Latin yang paling terkenal sepanjang masa. La llorona merupakan seorang wanita yang telah membunuh kesemua anaknya dengan kejam, hanya kerana mahu hidup bersama lelaki yang dicintainya. Dia kemudiannya membunuh diri setelah lelaki idamannya menolak cintanya. Dan kini, rohnya tidak tenteram itu dikatakan merayau sambil meratapi kematian anak-anaknya ditangannya sendiri. Menurut kisah, La llorona akan menculik kanak-kanak yang merayau pada waktu malam.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...